Filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang mungkin boleh dikatakan filem yang ditunggu-tunggu oleh saya. Juga boleh dikatakan ramai orang yang tertunggu-tunggu filem ini. Daya tarikan utama filem ini sudah tentu pada pelakon yang pertama kali beraksi di layar perak iaitu Ustaz Azhar Idrus.
Sebelum masuk ke panggung wayang, harapan saya pada filem ini adalah dapat melihat sebuah filem komedi bercorak agama yang dilakonkan oleh Ustaz Azhar Idrus dan mampu memberi pengajaran dan dalam masa yang sama memberi hiburan sewajarnya bersesuaian dengan watak humor Ustaz Azhar Idrus dalam kuliah.
Bersama dua orang pelajar nasyid, saya pergi menonton filem ini di AEON Jusco Bandaraya Melaka. Sudah booking tiket awal-awal di rumah dan apabila tiba di Golden Screen Cinema, hanya perlu tunjukkan bukti pembayaran dan dapat menerima tiket.
Seperti biasa, sebelum tayangan sebenar dimulakan, akan ada preview filem-filem yang akan ditayangkan pada akan datang beserta iklan. Antaranya seperti Hobbit, Ular, Kolumpo dan lain-lain lagi.
Akhirnya, tiba masa untuk filem Ustaz Mu Tunggu Aku Datang. Intro daripada GSC dan MIG mula membangkitkan rasa. Sound audio intro mula menggamit hati. Moga-moga filem ini juga nanti akan ada kesan-kesan audio yang menggetarkan.
Babak demi babak filem pun bermula. Dimulakan dengan babak Shahrol Shiro menunggang motosikal dan singgah di masjid untuk melepaskan hajat. Apabila selesai Shahrol atau nama wataknya Dadu melepaskan hajat, dia didatangi oleh sekumpulan jemaah tabligh. Bermulalah isi cerita daripada situ. Pierre Andre tidak menunggu masa yang lama untuk mula bercerita dan mengambil jalan pintas dengan terus memulakan ‘jalan cerita’ di awal-awal babak lagi.
Pierre Ajak Penonton Dekati Tabligh
Watak dan babak berkaitan jemaah tabligh menguasai filem ini boleh saya katakan sebanyak 60%. Nampaknya Pierre lebih menyerlahkan babak jemaah tabligh berbanding watak tarikan utama ini sendiri iaitu Ustaz Azhar Idrus. Segala aktiviti jemaah tabligh ditampilkan di dalam filem ini seperti aktiviti ziarah rumah ke rumah, taklim, dan lain-lain lagi. Pierre Andre dilihat cuba menyerlahkan jemaah tabligh dengan maksima untuk penonton berasa lebih dekat dengan aktiviti jemaah tabligh.
Pada pandangan saya, babak berkaitan jemaah tabligh ini tidak perlu terlalu panjang kerana ianya seperti mematikan mood penonton untuk mengharungi babak-babak seterusnya. Penonton datang untuk menonton watak utama Ustaz Azhar Idrus berlakon tetapi apa yang disajikan tidak seperti yang disangka.
Ustaz Mu Tunggu Aku Datang
Sinopsis Ustaz Mu Tunggu Aku Datang
Antara jalan cerita yang terkandung dalam filem ini, secara ringkas ianya tentang dua orang sahabat baik iaitu Dadu dan Muiz lakonan Shahrol dan Ajak Shiro Raja Lawak. Dua sahabat ini jahil berkaitan agama dan tidak pernah bersolat. Namun kejahilan dua watak ini tidak ditunjukkan dengan lakonan sebaliknya hanya melalui dialog-dialog yang dituturkan. Sejauh mana jahil mereka itu hanya dapat digambarkan melalui pertuturan mereka dan bukan pada babak lakonan.
Mereka kemudiannya insaf dan ingin berubah apabila didatangi sepupu Dadu iaitu Hamzah. Hamzah datang ke rumah mereka dan memberi nasihat yang akhirnya mereka mula berubah pada hari itu juga. Babak ini seperti kurang logik tetapi di sinilah bermula plot cerita yang sebenar. Watak Azhar Idrus mula diperkenalkan pada babak ini.
Dadu dan Muiz mula mengembara untuk pergi ke kuliah Ustaz Azhar Idrus. Di dalam pengembaraan ini, mereka lalui pelbagai ujian. Antaranya seperti motor kehabisan minyak, ditangkap polis dan sebagainya. Jalan cerita ini seperti meniru konsep cerita Aku Kaya yang popular semasa zaman VCD satu masa dahulu. Cerita Aku Kaya tersebut adalah lakonan Hamdan, Ilya dan Yasin.
Rakam Ceramah Ustaz Azhar Idrus
Akhirnya mereka dapat hadir ke kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus. Babak ini pada hemat saya adalah kuliah sebenar Ustaz Azhar Idrus di Masjid Kg,Ijok Selangor. Terdapat item-item tempelan yang mungkin akan menjadi bualan pihak tertentu seperti kelibat Tan Sri Khalid Ibrahim, bendera PAS dan lain-lain lagi.
Kelibat pengarah filem ini iaitu Pierre Andre tiba-tiba muncul ketika kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus. Saya tidak tahu fungsi babak memperlihatkan pengarah filem ini selain untuk memanjangkan durasi filem ini sahaja.
Untuk pengetahuan anda, sepanjang babak di atas, Ustaz Azhar Idrus masih belum muncul di layar perak untuk berlakon melainkan satu babak Dadu dan Muiz bermimpi Ustaz Azhar Idrus bertanya kenapa tak datang kuliah yang tak sampai satu minit pun.
Kemunculan Yang Ditunggu
Akhirnya Ustaz Azhar Idrus muncul. Ketika Dadu dan Muiz sedang bercuti di tepi pantai, mereka terserempak dengan Ustaz Azhar Idrus sedang menangkap gambar. Hanya disinilah watak Ustaz Azhar Idrus yang hemat saya sekitar 5 hingga 10 minit. Sebuah filem yang menampilkan watak utamanya sebagai tunjang filem tetapi hanya beraksi beberapa minit dan dua babak iaitu babak berbual di tepi pantai dan babak dalam mimpi.
Adakah penonton berasa tertipu? Soalan ini adalah subjektif tetapi usaha Pierre Andre ini ada kebaikannya. Perkara ini harus dipandang pada sudut yang positif. Dalam limpahan filem yang pelbagai genre, hadirnya filem komedi Islami ini wajar diberi pujian.
Tiada Pelakon Wanita
Antara yang menariknya fakta berkaitan filem ini, tidak ada lansung pelakon wanita. Hanya sedikit terganggu apabila terdapat satu babak semasa jemaah tabligh ziarah rumah ke rumah, seorang pelakon ini tidak memakai baju semasa membuka pintu. Di situlah mungkin sedikit kesilapan sedangkan boleh saja Pierre biarkan pelakon itu berbaju.
Tidak dinafikan, elemen komedi dalam filem ini memang mampu untuk memberi kegembiraan kepada penonton. Sesiapa yang berhajat untuk hadir menonton filem ini, boleh ulas pada persepsi sendiri. Bagi saya, filem ini sesuai untuk sesiapa yang rasa nak beri kegembiraan pada diri sendiri dan melapangkan fikiran disamping memberi ‘roh’ Islami yang ada di dalamnya. Walaupun tidaklah banyak, tetapi ianya mampu menjadi yang terbaik dalam kelasnya yang tersendiri.
Pergilah menonton di pawagam dan rasai pengalaman anda sendiri!
[signoff predefined=”Movie Review Signoff” icon=”icon-camera”]Artikel yang disiarkan di Kolum Tanpa Sempadan ini turut disiarkan di blog peribadi penulis di www.alongsafa.com. [/signoff]
– Munsyeed Dot Com