Connect with us

Terkini

Produksi Islami Lamar Aeril Zafrel?

Diterbitkan

pada

Aeril Zafrel

 

Dari sumber-sumber yang tepat dan sahih, sebuah syarikat produksi Islami yang satu ketika dahulu aktif menerbitkan album-album bacaan Al-Quran, Zikir dan Selawat telah melamar pelakon remaja terkenal, Aeril Zafrel untuk sebuah projek album yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut berita yang kami terima, syarikat produksi tersebut telah mempelawa Aeril Zafrel untuk terlibat dengan projek album ini dan pelawaan itu disambut dengan hati yang terbuka oleh Aeril sendiri.

Pihak kami difahamkan, proses rakaman suara Aeril sudah selesai dijalankan disebuah studio rakaman dan album tersebut akan diterbitkan pada bila-bila masa sahaja.

Seperti yang semua sedia maklum, Aeril Zafrel kini semakin giat mendalami ilmu agama dan perubatan Islam setelah beliau mengalami penyakit misteri awal tahun ini. Aeril dilihat aktif menghadiri majlis ilmu, program-program berunsurkan Islam dan sering mendekatkan diri dengan para ‘ulama tersohor negara dan nusantara.

Terbaru, Aeril turut hadir di Malam Cinta Rasul di Masjid Asy-Syakirin, KLCC dan bergambar bersama Habib Syech Bin Abdul Qadir Assegaff, ulama terkenal dari Solo, Indonesia.

Apa pun, kami akan maklumkan kepada anda berita penuh dengan maklumat yang lebih terperinci  setelah maklumat lengkap berjaya diperolehi.

-Munsyeed{Dot}Com

Iklan
Komen

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Berita

“Saya cipta lagu Jangan Risau untuk bantu orang yang anxiety…” – Ustaz Adnin Roslan

Diterbitkan

pada

Aniq Muhai dan Ustaz Adnin Roslan. Jangan Risau. Sumber: Tarbiah Sentap Records.

Tidak mahu tampil dengan karya tipikal dan tidak bermaya, gandingan penyanyi dan pendakwah muda, Aniq Muhai dan Ustaz Adnin Roslan hadir dengan kelainan di dalam single baharu mereka “Jangan Risau”. Berbeza dengan lambakan karya nasyid sedia ada, “Jangan Risau” membawakan irama nasyid yang rancak dan energetik, sesuai dengan citarasa pendengar masa kini. 

Mengulas tentang perkara ini, Aniq Muhai berpendapat, lagu-lagu dakwah perlu diberikan nafas baru agar kekal relevan. 

“Kita nak pecahkan stereotaip masyarakat yang dakwah ni tak semestinya kena lagu bemelodi yang tidak rancak ataupun melankolik sahaja. Sebenarnya banyak mesej-mesej dakwah yang boleh disampaikan dalam rentak dan mood yang lebih ceria. 

“Irama dan melodi seperti ini lebih mudah diterima oleh pendengar mungkin kerana mood lagunya yang lebih santai dan happy. 

“Percubaan pertama saya lakukan dengan lagu ‘Kun Qowiyyan’ tahun lepas menampakkan hasil. Kejayaan itu saya bawa ke dalam lagu Jangan Risau pula. 

Sehingga kini lagu Kun Qowiyyan terus mendahului Carta Nasyid Zayan setiap minggu selain pernah trending di YouTube Malaysia di awal kemunculannya tahun lalu. 

“Mungkin sudah tiba masanya kita berikan nafas baru dalam penyampaian dakwah dan sebarkan positiviti dalam lagu.

Turut berkolaborasi bersama Aniq Muhai ialah komposer dan pencipta lagu “Jangan Risau”, ustaz Adnin Roslan. 

Menurut komposer dan pempengaruh media sosial itu, beliau mencipta “Jangan Risau” bagi menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang berhadapan anxiety. 

“Saya cipta Jangan Risau untuk bantu orang yang anxiety, yang terlebih memikirkan benda yang belum tentu terjadi. Kerana kerap fikir benda yang akan datang, membuatkan kita takut untuk buat keputusan dan buat pilihan hidup.

Jelas pendakwah muda itu, keadaan dan situasi itu menyebabkan terjadinya kecelaruan serta gangguan dalam hidup. 

“Perasaan risau berlebihan ini akan buatkan kita semakin stress dan susah nak maju kehadapan. 

“Sebab itu saya cipta lagu dengan rentak sebegini. Lagu sedih, melayan perasaan dah banyak dipasaran. Why not buat lagu happy untuk buat orang tersenyum dan dapat kekuatan darinya.

Turut menjadi keunikan di dalam single terbaru ini apabila watak kameo ustaz Adnin Roslan di dalam music video ini dinyanyikan oleh penyanyi yang juga rapper, Albert Rahim. 

“Jangan Risau” merupakan sebuah karya yang memaparkan mesej yang positif dan menginspirasi kepada semua pendengar. Lagu ini mengajak pendengar untuk tidak bimbang dan sentiasa yakin dengan hikmah dan takdir yang Allah SWT berikan. 

Melalui lirik yang santai dan irama yang ceria, “Jangan Risau” terbitan Tarbiah Sentap Records itu diharapkan dapat menjadi lagu yang memberikan ketenangan dan kekuatan kepada setiap pendengar.

Continue Reading

Terkini

“Ayah penyanyi, anak mesti boleh nyanyi juga. Tapi bagi Fathi…” – Ada Pihak Cuba Banding Suara Fathi Saleem dengan Faizal Hijjaz

Diterbitkan

pada

Fathi Saleem - Kembalilah. Sumber: Fathi Saleem

Lantunan suara beliau antara yang memberi ‘suara’ baru dalam indusri muzik tanahair. Sewaktu kali pertama mendengarkan lagu Kembalilah nyanyian Fathi Saleem di radio, kami bagai terpana dengan lenggok suara beliau. Mesmerizing

Tambahan pula lagu dan senikata Kembalilah ini yang boleh dikategorikan sebagai antara ‘lagu-lagu healing‘ zaman sekarang. Nyanyian anak muda ini sampai kepada pendengar.

Kami berpeluang untuk menemubual Fathi dlam satu sesi temubual eksklusif atas talian baru-baru ini. Walaupun sedang sibuk menjalani latihan industri dan jemputan persembahan, Fathi sudi meluangkan masa untuk ditemubual oleh kami.

Fathi Saleem merupakan Mahasiswa Diploma Perbankan Islam di Universiti Islam Selangor (dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Selangor – KUIS). Beliau merupakan anak ketiga kepada sifu nasyid Malaysia; Faizal Hijjaz.

Dari Nyanyi Santai-Santai di Pesta Buku Kepada Single Pertama

Bercerita mengenai pengibatan beliau dalam industri muzik Malaysia, Fathi bercerita, “Permulaannya Fathi cuba tunjuk bakat dekat ayah (Faizal Hijjaz). Dulu ayah tak nampak pun bakat Fathi. Tapi selepas Fathi nyanyi secara santai di Pesta Buku 2023, masa tu kawan Fathi; Amsyar dia rekod dan post (di media sosial). Ayah dengar dan ayah kata suara Fathi ada lenggok nasyid. Kemudian ayah tanya Fathi suka lagu macam mana. Fathi jelaskan yang Fathi suka lagu mellow, berkonsepkan ketuhanan. Jadi ayah karang lagu dan buat melodi untuk lagu tu.”

Menjadi anak kepada lagenda nasyid Malaysia, pastinya sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Fathi untuk memberikan yang terbaik kepada para pendengar.

“Fathi akui, Fathi ada rasa tekanan tu sebab kita membesar dengan melihat ayah dalam industri nasyid. Dulu Fathi rasa macam nak sorok (identiti), nak low profile. Tapi last-last mesti kantoi.”

“Fathi memang minat dalam seni dakwah ni. Dulu kalau ada pertandingan muazzin ke, nasyid ke atau qasidah, mesti Fathi akan sertai, akan ke depan. Bila orang dengar, mungkin ada juga yang bercerita, jadi dari situ ramai tahu (Fathi anak Faizal Hijjaz),” ujar Fathi.

“Ramai juga yang cuba compare suara Fathi dan mereka selalu kata kalau ayah penyanyi, anak mesti boleh menyanyi juga. Cuma, Fathi rasa setiap suara ada identiti sendiri yang unik.”

Penyanyi Lagu Ketuhanan

Bagi Fathi, Fathi lebih selesa dikenali sebagai penyanyi lagu ketuhanan, lagu-lagu yang membawa mesej positif yang sesuai dengan citarasa golongan muda.

“Untuk bawa lagu ketuhanan atau kerohanian Islamik ni, kalau dari segi pemakaian, seeloknya ikut jejak langkah Hijjaz. Tapi Fathi tidak menyasarkan golongan peminat nasyid sedia ada sahaja. Sebaliknya Fathi cuba nak tarik juga pendengar baharu dikalangan orang muda.”

“Jadi, zaman sekarang ini kita memang memerlukan imej yang berbeza, lebih dekat dengan golongan muda. Kita tidak berkopiah tetapi imej masih terjaga. Tutup aurat, tidak terlalu ketat dan masih nampak keperibadian Muslim.”

“Fathi tidak letak diri Fathi sebagai penyanyi nasyid semata-mata. Fathi lebih terbuka dengan lagu-lagu yang memberi manfaat, ada mesej dan berunsurkan agama.”

“Dulu nyanyi dengan suara kepit, sebab tak ada ilmu” – Fathi

Ditanya mengenai sambutan peminat, Fathi teruja dengan maklum balas peminat yang positif terhadap single pertama beliau.

“Alhamdulillah, respon peminat sangat positif. Fathi pun rasa sangat bersyukur dan Fathi pun sebenarnya tak sangka suara Fathi begitu. Dulu masa sekolah, kita nyanyi dengan suara kepit. Bila orang kata sedap, kita ok je la. Tapi bila sudah masuk studio, Fathi belajar untuk nyanyi dengan suara lepas. Sampaikan bila kawan dengar, mereka tanya, ini suara kau ke? Macam lain je. Fathi baru sahaja explore teknik menyanyi dengan suara lepas. Baru lagi.”

“Waktu ayah bagi lagu ni, Fathi ada buat research. Macam mana teknik lontaran vokal yang betul. Dalam studio pun, Abg Wan Saleh pun ada bantu guide. Dia kata jangan nyanyi macam tu. Cuba lepas. So, disitu Fathi dapat tahu cara Fathi nyanyi dahulu (kepit) salah.”

Faizal Hjjaz Percaya Kepada Fathi, Tidak Terlalu Kawal Hala Tuju Muzik Fathi

“Dari segi imej, ayah tak control pun. Asalkan imej terjaga. Dalam masa yang sama, Fathi pun ada PR yang pernah jaga Inteam, UNIC dan Mestica. Jadi PR ini yang banyak tegur Fathi. Bagi pantang larang, ini boleh, ini tak boleh.”

“Lagipun, buat masa ini Fathi tidak berada di bawah label mana-mana. Fathi selesa bergerak secara sendiri. Jadi, Fathi bebas tentukan hala tuju dengan bimbingan ayah dan PR tersebut.”

“Secara peribadi, Fathi sangat berpuas hati dengan lagu Kembalilah. Pertama, Fathi dapat tonjolkan sisi suara Fathi yang lain berbanding sebelum ini. Ia memberi impak dan kepuasan buat Fathi sendiri. Berdasarkan pengalaman merakam lagu ni, Fathi rasa banyak lagi yang perlu Fathi belajar dan Fathi seronok nak explore lagi tentang vokal dan muzik.”

Single Kedua – “Material sudah ada”

Ditanya mengenai perancangan seterusnya pada tahun ini, Fathi menjelaskan beliau sudah ada banyak perancangan yang telah disusun dan akan dibuat mengikut kesesuaian masa.

“Fathi sedang jalani latihan industri (intern). Jadi, dari segi masa itu Fathi cuba sesuaikan agar balance. Kita fokus single pertama ini dan Fathi ada plan untuk buat cover version lagu-lagu popular. Single kedua ni, material sudah ada. Tinggal nak masuk studio sahaja untuk rakaman vokal. Mungkin lepas raya atau kita tengok plan macam mana.”

“Dari segi komposer dan penulis lirik, ada lagu daripada ayah, ada juga lagu-lagu dari komposer lain. Mereka ada bagi lagu. Cuma, untuk single kedua ni, tak pasti lagu mana satu yang akan dipilih.”

“Fathi tak memilih. Kalau boleh, semua jenis lagu Fathi nak cuba. Lagu berbahasa Arab ke, Inggeris ke, lagu Melayu, asalkan ada unsur ketuhanan disitu.”

Hijjaz Junior?

“Fathi tak pernah menolak. Mungkin kalau ada rezeki, Hijjaz Junior akan buat comeback ke. Kita tak tahu. Fathi tengok anak-anak Hijjaz yang lain semua ada minat dan bakat dalam menyanyi. Jadi mungkin nanti kita boleh cuba fikir cara nak naikkan semula sama ada dengan nama Hijjaz Junior atau nama lain yang bersesuaian. Itu antara idea yang pernah difikirkan untuk akan datang. Sama ada mereka sudi terima lamaran atau tidak, kita tunggu dan lihat. Apa pun, karier Fathi sebagai artis solo masih diteruskan. Kalau ada rezeki berkumpulan, kita berkumpulan.”

“Fathi memang ada impian dan berharap untuk berduet dengan mana-mana artis sama ada artis nasyid atau artis pop. Asalkan agu-lagu yang bermesej dan ketuhanan. Fathi terbuka.”

“Cuma, kalau boleh pilih, antara impian Fathi adalah untuk berduet dengan artis-artis Hijjaz Records dulu. UNIC, Inteam, antara keutamaan. Artis lain, macam Faizal Tahir, Hafiz Hamidun dan beberapa artis pop yang lain. Tak boleh nak sebut satu nama sebab sangat ramai yang Fathi kagumi.”

Continue Reading

Epal Pedas

Bulan Keberkatan, Peluang Berganda Buat Artis Nasyid – Epal Pedas

Diterbitkan

pada

Oleh

Disclaimer: Gambar sekadar hiasan semata-mata.

Salam Ramadhan bulan mulia penuh keberkatan semua. Apa isu EP di bulan puasa ni? Mungkin itu persoalan yang berligar di kotak fikiran anda semua. 

Alhamdulillah, sempena bulan Ramadhan ini EP tak ada isu sangat…sikit-sikit saja. Hormat bulan mulia. Lagipun isu apalah sangat yang EP utarakan selama ini? Sekadar menyatakan kebenaran mencelik mata dan terkadang tercubit kuat sikit saja. Kepada yang merasa diri dicubit tu buatlah perubahan atau berilah penjelasan agar jernih segala kekeruhan.

Sempena bulan Ramadhan ni, penasyidlah yang paling sibuk. Betul tak? Penasyid dari sekecil-kecil anak hingga sebesar-besar bapak sibuk dengan undangan di majlis berbuka puasa di hotel-hotel, rumah-rumah orang kenamaan, Jabatan-Jabatan Kerajaan, syarikat-syarikat swasta yang kaya hingga ke masjid-masjid dan surau-surau seluruh Malaysia.

Bukan saja dijemput mengadakan persembahan nasyid, qasidah, selawat dan seumpamanya sebelum/selepas berbuka puasa malah ada yang dijemput menjadi penyampai tazkirah dan Imam Terawikh ditempat-tempat tersebut. Terutama penasyid yang bertitle ‘hafiz’ (Bukan Hafiz Hazidun ya!). Setelah selesai akan diberi upah atau bayaran tertentu sebagai imbalan.

Rezeki penasyid memang melimpah ruah pada bulan Ramadhan ini. Ada yang dapat membuat persembahan beberapa hari pada satu-satu tempat malah ada yang mendapat undangan sebulan Ramadhan. Murah rezeki penasyid.

Begitulah keistimewaan orang-orang yang sentiasa membuat kebaikan hingga di pandang dan diangkat tinggi. Teruskan usaha-usaha murni ini hingga habis bulan Ramadhan dan dibulan-bulan yang lain juga. Dakwah tiada henti hingga nafas terakhir. 

Nasihat EP kepada mereka yang mendapat jemputan tu, galaslah tanggung jawab ini dengan ikhlas dan sepenuh hati. Jangan asal ada bunyi cukup, Tak peduli sumbang mambang menyanyi, tidak betul-betul memenuhi kehendak penganjur dan yang paling penting menepati masa yang ditetapkan. Pamerkan akhlak mulia, penampilan yang sempurna dan imej yang positif (sejuk mata memandang).

Satu lagi yang meriah di bulan Ramadhan ini adalah penghasilan single lagu Ramadan dan hari Raya. Boleh kata setiap minggu banyak single-single yang diterbitkan sekali dengan Muzik Video (MV) di channel YouTube masing-masing. Berbagai genre lagu Ramadan dan raya dihasilkan. Ada yang boleh dipuji tak kurang juga yang didengar dan dipandang ngeri.

EP ada terjumpa sebuah MV penyanyi seperti nasyid dipaparkan di media sosial penasyid. Kolaborasi dua orang penyanyi lelaki. Yang seorang tu nampak jernih mukanya, sedap suaranya dan ada keihlasan di matanya. Seorang lagi tu agak jernih mukanya namun kurang nampak keikhlasan di matanya dan disorok disebalik kacamata bulatnya. Bakat nyanyiannya pun ala-ala saja dan rambutnya yang panjang berserabut mengalahkan baju penyanyi Nina Bendul di AJL 388 baru-baru ini. Apa yang nak tampilkan pun tak tahu tetapi rambut itu melambangkan keserabutan jiwa yang bercabang-cabang ketidaktentuan masa depan di dalam industri. Mungkin anda boleh memakai kopiah atau songkok ataupun topi bagi mengemaskan rambut panjang anda. Contohilah penasyid Daqdemie yang berambut panjang tetapi penampilannya kemas dengan  memakai stokin salji kepala (snow cap) atau scarf lelaki. Tunjukkan imej yang bersih dan rapi sesuai dengan genre lagu yang anda dendangkan.

EP: Jangan takut atas penilaian orang lain terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikmu. Tetapi takutlah atas penilaian Allah terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikNya.

Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com

Continue Reading

Trending