Sewaktu Fitri Haris meninggalkan UNIC satu ketika dahulu, seorang rakan saya pernah berkata, “Satu-satunya kumpulan yang tidak akan kembali bersatu ialah UNIC”. Saya terkejut. Tanpa bertanya kenapa, saya terus berkata kepadanya, “UNIC pasti akan bersatu. Kalau pun tidak sebagai satu kumpulan, paling tidak menerusi sebuah lagu atau album reunited”. Dia hanya tersenyum sinis.
Status yang dikemaskini di Facebook Munsyeed Corner mengenai Erti syukur 2014.
Pada 23 November 2013, sekali lagi ‘UNIC Reunited’ muncul kembali dalam minda saya selepas saya mendengar lagu Erti Syukur. Secara spontan, terdetik di hati saya, kalau UNIC nyanyikan semula lagu ini bersama Hafiz Hamidun dan bekas ahli kumpulan yang lain untuk versi 2014, pasti gempak. Saya kongsikan rasa hati saya di Munsyeed dan respon yang diterima memang sungguh luarbiasa.
Semalam, bagai sudah diaturkan Tuhan, UNIC kembali sepentas dengan Hafiz Hamidun dan Fitri Haris bagi menjayakan sebuah konsert di UUM, Kedah. Walaupun tanpa Apen (Affendi), Wan Syah dan Alan (Syed Azlan), gabungan kumpulan UNIC, Hafiz Hamidun dan Fitri Haris pada malam tadi sedikit sebanyak mengubat rasa rindu para peminat untuk melihat mereka kembali beraksi di pentas yang sama dengan lagu yang sama.
Peristiwa yang cukup indah ini pasti dicemburui ramai peminat UNIC yang tidak berada di UUM, Kedah semalam. Masakan tidak, dari respon peminat di laman Facebook UNIC, Hafiz Hamidun dan Munsyeed Corner semalam, kebanyakkannya teruja melihat gambar-gambar yang dikongsi berkenaan ‘UNIC Reunited’ semalam. Sehinggakan ada yang menggesa Hafiz Hamidun untuk kembali menyertai UNIC!
Saya bersetuju dengan idea ‘UNIC Reunited’ sebagai satu projek khas antara UNIC dan bekas ahli mereka. Biarlah ia bersifat projek dan bukan gabungan kekal kerana industri masih memerlukan Fadzli, Bazli dan Fakhrul sebagai UNIC. Manakala Hafiz Hamidun dan Fitri Haris, masing-masing sebagai artis solo untuk mewarnai industri muzik Malaysia. Lepasan ‘Sekolah Muzik Hijjaz Records’ ini sudah berada di kedudukan mereka yang tersendiri dan ianya cukup istimewa.
Melihat perkembangan positif ini membuatkan saya tersenyum. Mungkin ini langkah pertama kearah sesuatu yang lebih baik. Walaupun saya optimis yang satu hari nanti mereka akan muncul dengan projek ‘UNIC Reunited’, tetapi saya tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi. Cukup sekadar berdoa agar perkara ini dapat direalisasikan kelak.
– Munsyeed Dot Com