Wangian Tular Sampai ‘Sold Out’! Inteam & Earth Home Products Kini Jalin Kerjasama Rasmi
Siapa sangka, “aura” yang dirasai peminat ketika Konsert Kasih Kekasih Inteam (Ulang Tahun ke-25) pada 28 September 2025 bukan sekadar datang daripada alunan lagu-lagu penuh jiwa, tetapi turut dipacu oleh satu elemen istimewa yang menyelinap ke deria tanpa disedari iaitu wangian.
Fenomena tular yang tercetus secara tidak dirancang itu kini berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar apabila Earth Home Products Malaysia dan kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, akhirnya memeterai satu kolaborasi rasmi baru-baru ini.
Impak Dari Konsert Inteam Kasih Kekasih, Produk ‘Sold Out’!
Segalanya bermula apabila wangian yang digunakan untuk menyegarkan ruang konsert sewaktu Inteam menyampaikan lagu Setanggi Syurga mencuri perhatian penonton, lantas mencetuskan perbualan hangat di media sosial. Ramai peminat berkongsi pengalaman mereka dan mula bertanya produk apa yang digunakan, sebelum ia dikenal pasti sebagai Oasis Air Fragrance Pink Blossom.
Impaknya luar biasa apabila permintaan terhadap produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom meningkat secara mendadak dan produk tersebut dilaporkan habis terjual dalam tempoh singkat. Rata-rata pasar raya besar dan kedai dalam talian mengalami kehabisan stok setelah produk ini tular pasca Konsert Kasih Kekasih Inteam.
Pengalaman Pengguna – Bina Hubungan Antara Pengguna dan Produk
Melihat keserasian semula jadi antara pengalaman konsert, reaksi peminat dan identiti jenama, Earth Home Products Malaysia mengambil langkah untuk memeterai kolaborasi bersama Inteam, menjadikan momen tular itu sebagai asas kepada satu kerjasama strategik.
Menurut Pengarah Urusan Earth Home Products Malaysia, Mr. Okada Shotaro, kolaborasi ini membuktikan betapa kuatnya pengalaman pengguna sebenar dalam membina hubungan jenama yang lebih bermakna.
“Kolaborasi ini sangat istimewa buat kami kerana ia bermula daripada reaksi tulen peminat. Apabila kami melihat bagaimana wangian ini memberi kesan emosi kepada penonton, kami sedar ia bukan sekadar produk, tetapi satu pengalaman. Inteam membawa nilai, emosi dan spiritualiti yang selari dengan falsafah Earth Home,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihak syarikat berasa terkejut apabila permintaan produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom tiba-tiba meningkat secara mendadak dan laku keras sehinggakan stok produk ini habis dalam masa yang singkat. Walaupun pihak syarikat telah meningkatkan pengeluaran produk, tetapi permintaan terhadap produk ini masih tinggi dan berterusan.
Perkara Kecil Yang Dilakukan Dengan Ikhlas, Beri Kesan Mendalam Kepada Peminat
Bagi Inteam, kerjasama ini turut dirasakan lahir daripada satu kebetulan yang tidak disangka-sangka. Anggota Inteam, Hazamin, menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak dirancang namun penuh makna.
“Kami sendiri tidak menjangka wangian yang digunakan dalam konsert akan memberi kesan sebesar ini. Apa yang berlaku membuktikan bahawa perkara kecil yang dilakukan dengan ikhlas boleh meninggalkan kesan mendalam kepada peminat. Kolaborasi ini lahir daripada suara mereka,” ujarnya.
Wangian Memberi Rasa Tenang dan Melengkapkan Emosi Lagu Inteam
Sementara itu, Syah berkata pemilihan Oasis Air Fragrance Pink Blossom begitu bertepatan dengan suasana dan mesej yang dibawa Inteam melalui muzik mereka.
“Wangian ini memberi rasa tenang dan damai. Ia seolah-olah melengkapkan emosi lagu-lagu kami, khususnya Setanggi Syurga. Apabila peminat menggambarkannya sebagai ‘syurgawi’, kami rasa ia datang daripada rasa yang sama,” katanya.
Hubungan Organik Artis, Produk dan Peminat – Rahim Inteam
Bagi Rahim, kolaborasi ini membuka dimensi baharu hubungan antara artis, produk dan peminat yang jarang berlaku secara organik.
“Ini bukan sekadar kolaborasi komersial. Ia tentang pengalaman bersama, apa yang dirasai oleh peminat, itulah yang menjadi asas kerjasama ini. Kami sangat menghargai bagaimana peminat menjadi pencetus utama,” katanya.
Muzik dan Wangian Berkongsi Bahasa Yang Sama, Bahasa Deria
Manakala Hisyam menegaskan bahawa gabungan muzik dan wangian sebenarnya berkongsi bahasa yang sama: bahasa deria.
“Muzik adalah pengalaman deria, dan wangian juga begitu. Apabila kedua-duanya bertemu secara semula jadi, hasilnya sangat kuat. Kami teruja untuk membawa pengalaman ini ke konsert seterusnya,” jelasnya.
Wangian Eksklusif Konsert Inteam 1 Februari 2026
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Oasis Air Fragrance Pink Blossom (24ml) dipilih sebagai wangian eksklusif kolaborasi dan akan ditaja oleh Earth Home Products Malaysia untuk Konsert Inteam pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Konsert itu dijangka menghimpunkan lebih 9,500 penonton, dengan 80 peratus tiket telah terjual setakat ini.
Produk berkenaan turut boleh didapati menerusi kedai rasmi Earth Home dan Inteam di platform Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Kerjasama ini dimeterai secara rasmi menerusi Majlis Menandatangani Perjanjian di Pejabat Earth Home Products Malaysia, Phileo Damansara, dan disifatkan sebagai simbol kolaborasi berasaskan komuniti peminat serta pengalaman pengguna sebenar.
Dan kali ini, jelas sekali: bila peminat “bersuara”, momen tular boleh bertukar menjadi sejarah, lengkap dengan satu “wangian” yang akan terus dikenang sampai bila-bila oleh peminat yang telah hadir ke Konsert Inteam Kasih Kekasih dan yang bakal hadir ke Konsert Inteam Nur Kasih 1 Februari 2026 nanti.
“Lagu-lagu Inteam buat saya rasa tenang..” – Mr Okada
Pada sesi soal jawab bersama media, Mr Okada Shotaro turut ditanya, adakah beliau mendengar lagu-lagu dari kumpulan Inteam? Sambil ketawa beliau menjawab, “Saya adalah orang Jepun yang tidak pernah mengenali kumpulan Inteam sebelum ini. Tetapi selepas produk ini tular dan berpunca dari konsert Inteam, saya mula mendengar lagu-lagu kumpulan Inteam. Walaupun tidak memahami, tetapi saya sukakan lagu-lagu dari kumpulan Inteam. Ia tenang dan buat saya berasa selesa. Adakalanya saya akan menyembur produk Oasis Air Fragrance Pink Blossom dan ia melengkapkan pengalaman mendengar lagu-lagu dari kumpulan Inteam ini,” jelas Mr Okada.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.