Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid
Hafiz Hamidun dan Halim Yazid. Sumber: Arteffects Media.
Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan sahaja meriah dengan seleksi lagu yang dipertandingkan, malah ia menarik perhatian ramai pihak apabila artis solo versatil Hafiz Hamidun bergandingan dengan ikon dikir barat, Halim Yazid, menerusi lagu “Zikir Dikir.”
Keunikan “Zikir Dikir” terletak pada identitinya yang berani iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir dalam satu karya yang segar, mudah meresap dan dekat dengan jiwa.
Zikir Dikir adalah sebuah karya unik yang terhasil dari dua insan ikonik; Hafiz Hamidun dan Halim Yazid.
Di pentas ACI’25, gandingan Hafiz dan Halim terasa tepat pada tempatnya. Hafiz sememangnya dikenali sebagai penyanyi solo nasyid yang sinonim dengan rangkaian karya zikir dan terapi jiwa termasuk siri album “Zikir Terapi.” Manakala Halim Yazid pula sudah lama menjadi nama besar dalam Dikir Barat, dan kekal diingati ramai menerusi lagu malar segar “Anok Tupai.”
Persembahan mereka malam itu tampil bersahaja tetapi magis seolah-olah mengajak penonton “masuk” bersama getar zikir dan rentak dikir yang bersatu. Malah, dalam media sosial, ramai yang membuat hantaran gambar dan video menggambarkan suasana penonton yang sama-sama mengalun zikir ketika lagu itu dipersembahkan.
Lebih menarik, “Zikir Dikir” di ACI’25 turut diperkemaskan dengan susunan muzik yang segar menerusi iringan pemuzik orkestra dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, menjadikan persembahan terasa lebih grand tanpa menghilangkan roh tradisi yang dibawa Halim.
“Zikir Dikir” bukan sekadar satu lagu, ia menjadi simbol bagaimana nasyid boleh terus berevolusi: menghormati tradisi, namun tetap berani mencipta ruang baharu. Pada malam Anugerah Carta IKIMfm 2025, gabungan dua ikon ini membuktikan bila nasyid dan dikir dipertemukan dengan niat yang benar, hasilnya boleh jadi satu momen yang ikonik yang akan terus diingati.
Walau pun lagu ini tidak berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, tetapi persembahan ikonik ini akan terus tersemat dalam ingatan dan terpahat dalam sejarah industri nasyid itu sendiri.
Kredit gambar: Arteffects Media.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.