Seramai 150 penggerak dakwah dari Malaysia dan negara-negara ASEAN berkumpul di Hotel Hype Motorsports, Nilai, Negeri Sembilan bagi menyertai Program Halaqah Mubaligh ASEAN 2025 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos ini.
Program berprestij ini dianjurkan oleh Pertubuhan Ukhwah Da’i Antarabangsa (MUDA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), bertujuan memperkukuh jaringan ukhuwah serta kerjasama strategik antara pendakwah serantau.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, manakala majlis penutup akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee pada 14 Ogos.
Menurut Dato’ Dr. Sirajuddin, program ini bukan sekadar medan pertemuan, malah menjadi platform membina sinergi dakwah rentas sempadan yang berteraskan nilai, hikmah dan kesederhanaan.
“Kita mahu Halaqah ini menjadi wadah perbincangan konstruktif tentang pembangunan ekonomi umat Islam di rantau ini, di samping merintis jaringan kerjasama strategik melalui inisiatif ‘Muslim Networking Inter-ASEAN State’,” katanya.
Antara slot pengisian utama yang bakal diadakan termasuk:
• Peranan Mubaligh
• Malaysia MADANI: Maqasid Syariah Anjakan Baharu Dunia Islam
• Peranan Mubaligh dalam Industri Halal
• Peranan Mubaligh dalam Pembangunan Ekonomi Islam
• Peranan Mualaf dan Dakwah Islam
Sesi ini akan dibimbing oleh pakar-pakar terpilih yang berkongsi pengalaman, strategi dan solusi bagi cabaran dakwah kontemporari.
Program ini juga selari dengan gagasan Malaysia MADANI, yang menekankan penyampaian dakwah berstrategi, berhikmah dan berlandaskan nilai rahmah, menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam membangun yang seimbang dari aspek fizikal dan spiritual.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), IKIMfm dan Astro Awani.