“Ada kala saya menangis, ada saat saya tersenyum..” – Naufal Isa Terkenang Siapa Sewaktu Rakam Single Bila Sudah Jatuh Cinta?
Naufal Isa - Bila Sudah Jatuh Cinta
Naufal Isa, penyanyi yang pernah mencuri hati ramai menerusi duo The Truth, kini memulakan babak baharu dalam kariernya dengan single solo pertama bertajuk “Bila Sudah Jatuh Cinta”.
Lagu terbitan Tarbiah Sentap Records itu, adalah hasil kolaborasi dengan komposer terkenal Akmal Mustafa. Menurut Naufal, karya terbaru beliau menjanjikan pengalaman emosi yang mendalam buat para pendengar.
“Pada saya lagu ini seperti catatan diari peribadi saya tentang cinta dan bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia menerokai pelbagai dimensi perasaan cinta kepada Tuhan. Ada disentuh tentang keadilan, rindu, penyesalan, semuanya dirangkum sebaiknya dalam single terbaru ini.
“Saya harap ia akan menyentuh hati setiap orang dan pendengar dapat rasakan kehangatan cinta dalam pelbagai bentuknya melalui lagu ini.
Menurut Naufal lagi, proses menghasilkan lagu ini ada cabarannya tersendiri.
“Ada saat saya menangis, ada saat saya tersenyum. Setiap bait dalam lagu ini mengingatkan saya pada pengalaman peribadi,” Naufal menjelaskan dengan jujur.
Mengimbau perjalanannya dari duo The Truth ke penyanyi solo, Naufal berkongsi rasa syukur dan teruja dengan perjalanan kariernya itu.
“The Truth akan sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti muzik saya. Lagu ‘Cinta Sementara’ membuka banyak pintu untuk kami dan saya amat berterima kasih atas sokongan peminat.
Beliau menambah, keputusan untuk bergerak solo tidak dibuat dengan mudah. Namun ia satu fasa yang ingin beliau terokai.
“Bila Sudah Jatuh Cinta” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Manakala music video lagu tersebut sudah boleh ditonton di YouTube Tarbiah Sentap.
Bonus: Lirik Lagu Bila Sudah Jatuh Cinta – Naufal Isa
BILA SUDAH JATUH CINTA Artis: Naufal Isa Lirik: Akmal Mustafa Lagu: Akmal Mustafa Tarbiah Sentap Records
Hati mana tak berbunga Disapa cinta dari-Nya Bila terbit rasa sesal berdosa
Hati mana tak gembira Bila dilabuhkan rasa Ingin bersendirian bersama-Nya
Rasa ini tanda cinta-Nya Bagi semua sang pencinta Adilkah cinta bertepuk sebelah tangan saja?
Bila sudah jatuh cinta Tiada yang lebih sengsara Jika hati mula menjauhi cinta-Nya Kerana pernah ku terasa indah cinta-Nya
Mengapa harus mencari Cinta yang sedia ada? Carilah hambatan yang menghalangnya
Hancur semua hambatan itu Penuhilah relung hatiku Cinta nan indah tak terjangkau di gapaian mata
Bila sudah jatuh cinta Rindu tak lagi bermakna Bukankah rindu hanya untuk yang tiada? Kerana di hatiku sudah hadir cinta-Nya
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.