Rabithah dan Fitri Haris Tampil Dengan Single Baharu, “Rahib dan Singa”
RAHIB & SINGA
Rabithah, bersama penyanyi dan komposer Fitri Haris, memperkenalkan single terbaharu mereka yang berjudul Rahib dan Singa. Lagu ini telah mula dimainkan dan didapati di semua platform penstriman digital. Lagu ini menggambarkan perjuangan dan pengorbanan umat terdahulu, yang menggabungkan kekuatan kerohanian (rahib) dan keberanian dalam perjuangan (singa) dalam satu jiwa.
Lagu ini dicipta oleh Akmal Mustafa yang juga bertanggungjawab sebagai penulis lirik. Rahib dan Singa membawa mesej yang mendalam tentang kesederhanaan dalam beribadah, serta keberanian dalam berjuang demi kebenaran. Dalam lirik lagu ini, ditekankan tentang kehidupan umat terdahulu yang penuh dengan mujahadah dan kerendahan hati di hadapan Allah SWT.
Lirik utama dalam lagu ini menceritakan tentang perjuangan yang tidak hanya bersandarkan nafsu, tetapi juga akur kepada kehendak Tuhan. Selain itu, lagu ini mengingatkan tentang kekuatan jiwa yang mampu menjadi seperti rahib di malam hari, beribadah dengan penuh pengharapan kepada Allah, dan seperti singa di siang hari, berani berjuang membela kalimah-Nya.
Lagu ini juga menyentuh tentang pentingnya perjuangan umat terdahulu, yang merendah diri di hadapan Allah SWT, namun digeruni seluruh dunia kerana keberanian dan keteguhan iman mereka. Perjuangan mereka bukan sekadar pekikan kosong, tetapi satu usaha yang dipimpin oleh ilham dan petunjuk dari Allah SWT.
Lagu Rahib dan Singa diterbitkan oleh Tarbiah Sentap Records dan memberikan impak yang mendalam kepada pendengar melalui susunan muzik yang penuh semangat dan lirik yang berjiwa.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.