Pada 13 April 2013 baru-baru ini, genap setahun majlis anugerah berprestij industri nasyid Malaysia; Anugerah Nasyeed.Com diadakan. Acara yang julung kali diadakan ini telah mengangkat dan memartabatkan artis-artis nasyid dan penggiat industri nasyid secara keseluruhannya ke tahap yang membanggakan selepas beberapa episod ‘penyisihan’ artis nasyid dalam majlis anugerah tempatan. (Sebagai imbasan, klik disini)
Jika dilihat pada penganjuran Anugerah Nasyeed.Com yang diadakan pada tahun 2012, majis anugerah ini berjaya memposisikan dirinya sebagai sebuah majlis anugerah berprestij di Malaysia apabila buat julung kalinya disiarkan di televisyen tempatan, TV AlHijrah dengan pencapaian rating tertinggi sehingga diulang tayang buat kali kedua di stesen televisyen tersebut.
Tidak terhenti disitu, ada ura-ura mengatakan Carta Nasyeed.Com bagi musim kedua akan disiarkan di stesen televisyen tersebut bermula Jun 2012. Tetapi, hingga ke hari ini, ia hanya tinggal berita dan peminat ditinggalkan dengan penuh tanda tanya.
Apa sudah terjadi dengan penganjuran Anugerah Nasyeed.Com?
Adakah ia penganjuran pertama dan terakhir?
Atau mungkin ia senasib dengan Anugerah Carta Nasyid IKIM (ACNI) yang bisu membatu hingga ke hari ini?
Mungkin ramai yang tidak tahu dengan kisah disebalik tabir mengenai penganjuran Anugerah Nasyeed.Com. Kami yakin, pihak penganjur; Nasyeed.Com Edutainment mempunyai sebab tersendiri untuk menyembunyikan luka dan menghadiahkan kuntuman senyuman kegembiraan kepada semua pihak tatkala menjayakan Anugerah Nasyeed.Com ini.
Hasil risikan kami, antara punca utama yang menjadi kesukaran dan kesulitan pihak penganjur adalah masalah kewangan. Bukan sedikit duit yang dilaburkan untuk merealisasikan majlis gilang gemilang ini. Walaupun berdepan dengan masalah kurang penajaan daripada pihak swasta, Nasyeed.Com tetap berkeras meneruskan acara yang telah dijanjikan tanpa sebarang rungutan.
Usaha demi usaha ditingkatkan bagi mendapatkan sokongan tajaan termasuklah mendapatkan sokongan individu penting dan tokoh berpengaruh bagi menarik minat pihak swasta untuk menaja acara ini. Diakhirnya, hanya segelintir yang menyumbang tajaan dan kebanyakkannya berbentuk product-based, bukan monetary-based.
Dimana syarikat-syarikat besar yang selama ini melabelkan diri mereka sebagai syarikat bumiputra Muslim yang menagih perhatian orang Islam dan mengajak orang Islam menjadi pembeli/pengguna produk mereka? Bukankah wajar syarikat-syarikat ini menyumbang kembali kepada industri hiburan Islam?
Mungkin pada firasat orang tertentu, industri hiburan Islam bukanlah satu industri yang menguntungkan. Tetapi percayalah, pelaburan untuk hiburan yang mendidik jiwa, yang bersifat pendidikan dan pentarbiahan ini sebenarnya jauh lebih menguntungkan untuk setiap generasi dalam jangka masa panjang berbanding industri muzik biasa. Pastinya kita mahu menghidangkan kepada anak cucu kita dan generasi akan datang dengan hiburan yang boleh mendidik mereka kearah kebaikan, yang menyeru kepada amar maaruf nahi mungkar dan yang mendekatkan manusia kepada tuhannya, Allah SWT.
Justeru, industri ini perlu hidup dan terus berkembang. Perlu disokong dan terus dimartabatkan. Kalaupun sunyi dari lensa kamera media biasa, tetapi perlu terus bangkit bersaing melebarkan dakwah seninya. Penganjuran Anugerah Nasyeed.Com dan juga Anugerah Carta Nasyid IKIM.FM masih relevan dan perlu diperjuangkan agar industri ini hidup dan terus dimartabatkan.
Siapa yang akan perjuangkan?
Nasyeed.Com, IKIM.FM dan seluruh penyokong dan penggiat industri nasyid Malaysia!
– Munsyeed{Dot}Com