Sering popular dengan dendangan lagu-lagu cover di laman Instagram dan YouTube, gandingan duo yang ingin dikenali sebagai The Truth kini mahu terus memperluaskan pengaruh positif kepada anak muda menerusi single terbaru berjudul Cinta Sementara.
The Truth yang dianggotai Naufal Isa dan Irwan Fariz memilih karya ciptaan Akmal Mustafa dan susunan muzik oleh Iris Tan sebagai single pertama mereka yang diterbitkan di bawah label TS Records.
Menerusi lagu Cinta Sementara, para peminat mereka bakal diperdengarkan sisi baru manifestasi muzik The Truth yang sarat dengan mesej-mesej positif berimpak.
Penggunaan lirik seperti “Tiada sempurna angan dan cinta dalam mengejar cinta sementara” dan “Tuhan saksikanlah usahaku mencari Mu” turut menyerlahkan lagi keunikan persembahan lagu The Truth di dalam Cinta Sementara.
Irwan The Truth
Menurut Irwan, single The Truth kali ini cuba menyelami realiti pilihan yang sering dihadapi manusia sepanjang kehidupan di dunia.
“Kami cuba menzahirkan perjalanan kehidupan seorang hamba sepertimana musafir yang sedang berkelana.
“Sebagai musafir, perjalanan kita pasti akan bertemu pelbagai persimpangan serta dilema yang menghantui.
“Realiti-realiti inilah yang ingin kami bawakan kepada pendengar The Truth untuk diterokai bersama sepanjang lagu ini,” jelas pemuda kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.
Mengulas mengenai transisi mereka kepada The Truth, Naufal ketika ditemui menjelaskan persoalan ini seringkali dibangkitkan oleh peminat di awal kemunculan mereka sebagai The Truth.
Naufal The Truth
“Pada awalnya ramai juga mempersoalkan tindakan kami, tetapi setelah melihat sendiri perubahan serta pembaharuan yang kami cuba bawakan menerusi lagu-lagu cover di YouTube, rata-ratanya memberikan respon yang positif. Mereka inilah yang kini kami panggil Truthfam.
“Alhamdulillah, kami berasa amat beruntung dan bersyukur kerana memiliki peminat yang sangat mendukung tranformasi serta segala usaha yang kami lakukan sehingga ke hari ini.
Dalam perkembangan terbaru, selepas kurang dari 24 jam video muzik Cinta Sementara diterbitkan di laman YouTube, lagu nyanyian The Truth ini telah berjaya meniti tangga carta YouTube trending di Malaysia.
Semestinya ini suatu pencapaian yang baik dan petanda positif, sekaligus membuktikan lagu-lagu dakwah masih lagi diterima baik oleh masyarakat di negara ini.
“Tak dapat dinafikan yang kami berasa amat teruja bila melihat sendiri respon positif yang kami terima daripada peminat terhadap Cinta Sementara.
“Tinggi harapan kami agar pencapaian ini mampu menjadi suntikan semangat kepada pendatang baru industri yang lain untuk berani kehadapan dengan mesej dan pakej yang positif,” kata Naufal.
Cinta Sementara terbitan TS Records kini sedia dimainkan di semua platform muzik digital terkemuka termasuk Joox, Spotify dan Apple Music. Anda juga boleh menonton klip video rasmi Cinta Sementara arahan Aidil Azhar di saluran YouTube rasmi Tarbiah Sentap.
Aku musafir dunia Berkelana bukan lama Segala indahnya dunia telah ku amati Pernah di persimpangan Kabus menutupi jalan Hingga mata tertawan pada jalan lain nan indah
Ibarat fatamorgana yang menipu mata Tapi ku mengerti yang palsu atau benar Hanya kerana bodohnya aku ingin nikmatinya
KORUS: Bagaimana hati tak tergoda Dek cela terhias seri warna Kelabu mata terpukau jiwa Lupa musafirku cuma sementara
Sukar aku nafi dan menipu diri sendiri Dalihku seribu pada cinta hakiki Hanya kerana bodohnya aku sangka Kau kasihi
KORUS: Biar timur-barat ku kembara Gunung lautan ku tempuh jua Tiada sempurna angan dan cita Dalam mengejar cinta sementara
Tuhan saksikanlah usahaku mencari-Mu Kerana kasih-Mu abadi awal dan akhir Mekarlah selalu agar dapat aku singkir Cinta selain-Mu sepenuhnya dari hati
Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular dunia, melancarkan inisiatif kandungan baharu Stories by Muslim Pro, sebuah hab kreatif global untuk kisah-kisah autentik ummah merentas budaya, generasi dan geografi.
Pelancaran disertai sesi panel “Storytelling in the Digital Era” menampilkan Nafees Khundker (Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Muslim Pro) dan pembikin filem tersohor Abrar Hussain (One Day in the Haram, One Night in Al Aqsa).
“Muslim Pro kini teman budaya dan rohani jutaan pengguna. Stories by Muslim Pro ialah bab seterusnya menghubungkan dan menyatukan ummah dengan kisah yang menginspirasi,” Nafees Khundker.
Premiere Eksklusif: Madina: The Enlightened City
Pembuka tirai Stories by Muslim Pro ialah dokumentari Madina: The Enlightened City arahan Abrar Hussain. Menurut beliau, dokumentari ini ialah sebuah rakaman keindahan, sejarah dan aura Madinah yang turut membawakan nilai kemanusiaan, tawaduk dan pengabdian.
“Saya mahu menangkap roh Madinah, bukan sekadar visual,” Abrar Hussain.
Madina: The Enlightened City akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi Muslim Pro pada 1 Oktober 2025 dan pra-tempahan boleh dilakukan bermula 11 September 2025.
Pertandingan Filem Pendek & UGC Short – Stories of the Beloved
Di bawah jenama Stories by Muslim Pro, turut dilancarkan Stories of the Beloved, sebuah festival kandungan digital global yang meraikan bagaimana Islam dihayati, dirasai dan dizahirkan dalam kehidupan seharian. Inisiatif ini menghimpunkan pembikin filem profesional dan juga pencipta kandungan harian untuk berkongsi perspektif autentik tentang keindahan iman dalam dunia moden.
Pemilihan pemenang dibuat oleh barisan juri antarabangsa yang terdiri daripada tokoh ternama dalam dunia perfileman dan penciptaan kandungan digital. Antara juri tersebut ialah pencipta kandungan digital Malaysia, Fikri ZamRi.
Penglibatan beliau dalam barisan juri antarabangsa menyerlahkan peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim di peringkat global, sekali gus menegaskan betapa pentingnya suara serantau dalam landskap penceritaan yang pelbagai.
Undian bagi UGC Shorts Viewer’s Choice Award boleh dilakukan menerusi aplikasi Muslim Pro bermula dari 9 hingga 21 September 2025.
Semua kandungan Stories by Muslim Pro, termasuk dokumentari Madina dan karya terpilih Stories of the Beloved, boleh ditonton melalui aplikasi Muslim Pro dan platform video Qalbox.
Aplikasi Muslim Pro boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store. Info lanjut di muslimpro.com.
Dengan Stories by Muslim Pro, platform penceritaan Muslim naik satu gear. Bukan sekadar menonton, tapi merasai dan menyambung kisah ummah. Jangan lupa undi karya kegemaran anda dan set reminder untuk tayangan Madina!
Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G dan mendapat sokongan Kementerian Komunikasi, kini memasuki fasa seterusnya yang lebih mendebarkan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini tampil mengumumkan senarai 5 finalis bagi 26 kategori AIM24 yang dipertandingkan.
Lebih mengujakan, ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) juga menanti pemenang AIM24 bagi 11 kategori.
Dalam sidang media yang berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur, Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim berkata seramai 130 finalis telah terpilih bagi 26 kategori anugerah yang membariskan senarai Top 5 atau lima terbaik.
“Pemilihan semua 5 finalis ini telah dibuat oleh sejumlah juri profesional yang bersidang baru-baru ini dan keseluruhan permarkahan juri telah diaudit oleh firma pengauditan bertauliah, Mazars. Proses penjurian pula diurus tadbir oleh badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn. Bhd..
“Barisan juri yang dilantik telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, dedikasi dan telus. Hasilnya, kita telah memperoleh senarai lima terbaik bagi 26 kategori AIM24 seperti mana pengumuman pada hari ini. Saya cukup teruja melihat senarai lima finalis ini kerana ia merangkumi bakat-bakat baru yang sedang menyinar selain artis-artis ternama yang telah lama menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.
“Dengan dana sumbangan Kementerian Komunikasi melalui dana MyCV pula, 11 pemenang AIM24 kelak tentunya akan mampu menghasilkan lebih banyak kandungan muzik berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan mahupun luar negara.
“Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ‘Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu,” kata Rosmin.
AIM24
Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi, Puan Noreen Iszani Yusak; Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics (SME), Puan Agnes Wong; Pengurus Media Samsung Malaysia Electronics (SME), Encik Dinie Zulfadhli serta Ketua Bahagian Hiburan & Acara Resorts World Genting, Cik Chia Lee Yun; Penolong Naib Presiden MyCreative Ventures Sdn Bhd, En Muhammad Nadzmi Musa. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Puan Caren Lau; barisan Ahli Lembaga Pengarah RIM serta barisan finalis AIM24.
Sebelum ini, RIM menerima sejumlah 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan iaitu antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Penjurian fasa pertama AIM24 untuk kategori ‘Rakaman Lagu Terbaik’ dan ‘Rakaman Album Terbaik’ telah berlangsung di Timeless Studio, pada 14 dan 15 Julai 2025, disusuli semua kategori lain di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Julai 2025. Kategori ‘Lagu Terbaik’ AIM24 pula dilaksanakan di Timeless Studio pada 29 Julai 2025.
Panel juri AIM24 dianggotai pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam industri muzik tanah air merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik, perunding imej dan sebagainya. Penjurian itu dikemudikan oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.
Malam kemuncak AIM24 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September 2025, mulai jam 9 malam. Namun acara karpet merah akan bermula jam 8 malam. Ia akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui TV2 dan RTM Klik.
AIM24 kali ini mempertandingkan sejumlah 30 kategori secara keseluruhan termasuk 4 kategori terbaharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik’ serta ‘Kugiran Terbaik’.
Sebanyak 6 kategori akan diumumkan melalui Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025 iaitu ‘Kulit Single/Album Terbaik’, ‘Rakaman Album Terbaik’, ‘Rakaman Lagu Terbaik’, ‘Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu’, ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ serta ‘Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube’, sementara 24 kategori utama akan diumumkan pada malam kemuncak 13 September.
Selain Kementerian Komunikasi dan Samsung Galaxy A56 dan A36 5G, AIM24 juga mendapat tajaan Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi manakala rakan strategik termasuklah Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd. dan Timeless Studio.
AIM mula dianjurkan di Malaysia pada 1993 yang menyaksikan “Dekat Padamu” (Ning Baizura) diumumkan sebagai ‘Album Terbaik’ manakala “Satu” (Tan Sri SM Salim & Datuk Zainalabidin) dinobatkan sebagai ‘Lagu Terbaik’.