Setelah Caliph Buskers mencipta nama di persada seni tanah air, kini vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat melancarkan single solo nya yang terbaru pada bulan Ramadan ini yang berjudul “BERIKU WAKTU”.
“BERIKU WAKTU” merupakan ciptaan Archie Syukri. Menerusi lagu terbaharu ini, Azmi Saat mempertaruhkan konsep ketuhanan.
Menyifatkan lagu “BERIKU WAKTU” ini seumpama makanan jiwa, penyanyi Azmi Saat berkata, “Beriku Waktu merupakan perkara yang kita perlukan dari Allah SWT sebelum kita mengakhiri hidup kita di dunia yang hanya sementara dan penuh tipu daya ini. Kejayaan yang dikecapi telah menyebabkan kita menjadi sombong, pentingkan diri dan ego sehingga kita lupa kepada Allah SWT dan sukar menerima hakikat bahawasanya Allah SWT sedang memberi ujian berat kepada kita”.
Sesungguhnya ujian yang datang merupakan peluang kedua untuk manusia kembali ke jalanNya dan seharusnya kita sebagai manusia haruslah bersyukur kerana Allah SWT masih tidak melupakan hambaNya. “Waktu yang sedikit tersisa ini, gunakanlah sebaik mungkin untuk meningkatkan amalan agar ia diterima sebagai bekalan kita di akhirat nanti”, tambah Azmi.
“BERIKU WAKTU” diterbitkan hasil kerjasama Warner Music Malaysia dan Valient Music. Warner Music Malaysia juga bertindak selaku pengedar untuk single ini. “BERIKU WAKTU” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes, YouTube dan juga YouTube Music.
Selain itu, Azmi turut berkongsi berita gembira yang beliau akan bergelar bapa tidak lama lagi. Isterinya sedang hamil dengan kandungan berusia 4 bulan. Tahniah diucapkan kepada Azmi dan isteri. Semoga segala urusan dipermudahkan.
Nama Ustaz Husaini Mahmur semakin meniti di bibir peminat seni tarannum selepas bacaan surah bertaranum beliau menerusi video pendek SHORTS di YouTube menarik perhatian pendengar sehingga di peringkat antarabangsa.
Keunikan alunan taranum yang merdu dan penuh penghayatan menjadikan setiap video beliau mendapat sambutan luar biasa.
Fenomena ini menyusul selepas kejayaan beliau menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa di WTC Kuala Lumpur tahun lalu, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia dalam bidang tilawah dan taranum.
Sebagai penghormatan kepada pencapaian gemilang itu, Inteam Records mengambil inisiatif melancarkan album khas Tilawah Al-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur di semua platform digital.
Langkah ini bukan sahaja mengabadikan bacaan indah beliau, malah memberi peluang kepada lebih ramai peminat menikmati alunan taranum yang menyentuh jiwa.
Menariknya, bagi peminat di YouTube, bacaan surah oleh Ustaz Husaini akan dimuat naik setiap minggu, menjadikan platform tersebut sebagai medium terbaik bagi mereka yang ingin memperdalam ilmu taranum serta kecintaan terhadap Al-Quran.
Dengan inisiatif ini, Ustaz Husaini Mahmur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon tilawah di peringkat global, membuktikan bahawa keindahan Al-Quran tidak mengenal sempadan.
Kumpulan nasyid INVO tampil dengan buah tangan terbaru mereka, iaitu versi ‘cover’ lagu Ramadan Tajalla, sebagai penyemarak semangat dalam menghadapi bulan Ramadan.
Lebih daripada sekadar karya biasa, lagu ini hadir dengan makna mendalam bagi mereka, mengenang pemergian sahabat seperjuangan, Allahyarham Muhammad Faiq Asri, yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2024 akibat penyakit kanser darah tahap akhir dan leukemia.
Ahlan Wasahlan Ya Ramadan. Dengarkan cover RAMADAN TAJALLA daripada INVO. (Part 1) @Mr.Naasura Jom sama-sama perbaiki diri dan tingkatkan amal ibadah. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Amin. Penyanyi : Nasrullah Alahdad, Faiz Safwan Jemputan : Ahmad ‘Ateef Musik asal : Yt RL Music Semoga bermanfaat buat semua. Mohon maaf atas segala kekurangan. #nasyidmalaysia#munsyidmalaysia#ramadan#ramadankareem#sebarkankebaikan
INVO yang kini dianggotai oleh Mohammad Nasrullah Alahdad dan Mohammad Faiz Safwan Bin Abdul Kadir turut menampilkan Ahmad ‘Ateef’, sebagai penampilan istimewa.
Menurut mereka, projek ini bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat Ramadan, tetapi juga sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang terhadap sahabat yang telah pergi.
“Kami ingin menghadiahkan karya ini sebagai kenangan dan penghormatan kepada arwah. Ramadan kali ini pastinya berbeza, tetapi semangat dan kenangan bersamanya akan terus hidup dalam perjuangan kami,” kata Nasrullah.
Persahabatan yang Lebih Daripada Sekadar di Pentas
Sejak menamatkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, pada 2017, tiga sahabat ini aktif dalam dunia nasyid dan pernah mengeluarkan single Setulus di bawah seliaan Bazli UNIC.
Namun, pada akhir 2022, Allahyarham Muhammad Faiq diuji dengan penyakit yang berat, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 2024.
Pemergian beliau memberikan kesan mendalam kepada INVO kerana hubungan mereka bukan sekadar rakan seperjuangan di atas pentas, tetapi juga sahabat dunia akhirat.
Ramadan 2025 menyaksikan INVO berdua meneruskan perjuangan seni, dengan kerinduan yang diterjemahkan menerusi Ramadan Tajalla.
Dengan susunan muzik asal oleh Muhammad Ridwan – Mtrian (RL Studio), lagu ini diharap dapat menyentuh hati para pendengar dan menjadi peringatan akan kasih sayang serta persahabatan yang kekal hingga ke syurga.
“InsyaAllah, kami akan teruskan perjuangan dakwah ini. Mohon doa dari semua,” tambah mereka.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Muhammad Faiq Asri dan menempatkannya di syurga Firdaus. Al-Fatihah.
Kumpulan pop Melayu terkenal, Wali, kembali dengan sebuah karya baharu yang menyentuh jiwa. Kali ini, mereka berkolaborasi dengan penyanyi religi terkenal dari Mesir, Mostafa Atef, menerusi single terbaru berjudul Forgive Me (Marhaban Ya Ramadhan).
Lagu ini diterbitkan di bawah label NAGASWARA dan membawa mesej penuh keinsafan, mengajak pendengar untuk merenungi makna Ramadan sebagai waktu untuk muhasabah diri, bersyukur, dan memohon keampunan daripada Allah.
Lagu ciptaan Apoy ini hadir dengan lirik yang mendalam, menggambarkan ketakutan kehilangan peluang untuk bertaubat, seolah-olah Ramadan ini mungkin menjadi yang terakhir dalam hidup.
Dengan sentuhan muzik khas Wali yang menggabungkan elemen pop Melayu dan religi, lagu ini mudah diterima serta mampu menyentuh hati para pendengar.
Keunikan lagu ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran Mostafa Atef yang menyampaikan bahagian doa dalam bahasa Arab dengan vokalnya yang merdu.
Sebagai seorang penyanyi religi yang dikenali di peringkat antarabangsa, Mostafa membawa elemen spiritual yang lebih mendalam dalam lagu ini, menjadikan kolaborasi ini sebagai perpaduan indah antara muzik Islamik Nusantara dan Timur Tengah.
Lirik Forgive Me (Marhaban Ya Ramadhan) membawa mesej refleksi diri, diiringi alunan Marhaban Ya Ramadhan yang bergema sepanjang lagu.
Ia mengingatkan bahawa setiap Ramadan yang tiba adalah satu rahmat yang tidak pasti akan hadir lagi di tahun seterusnya, menjadikan bulan suci ini sebagai peluang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Antara bait lirik yang paling menyentuh perasaan ialah: “I’m afraid this might be the last month of my life… Forgive me Ya Allah” Ungkapan ini pastinya memberi kesan mendalam kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya, menyedarkan betapa pentingnya kesempatan untuk memperbaiki diri di bulan yang penuh keberkatan ini.
Bagi Wali, lagu berkonsepkan keislaman bukan sekadar trend bermusim, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha dakwah mereka melalui muzik.
Dengan susunan melodi yang mendayu dan lirik yang menyentuh perasaan, Forgive Me (Marhaban Ya Ramadhan) diharapkan dapat menjadi pengingat kepada umat Islam agar menyambut Ramadan dengan hati yang suci dan penuh keikhlasan.
Single Forgive Me (Marhaban Ya Ramadhan) telah dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari 2025 dan kini boleh didengar di semua platform penstriman muzik digital.
Dengan kolaborasi unik antara Wali dan Mostafa Atef, lagu ini dijangka menjadi teman setia dalam perjalanan spiritual para pendengar sepanjang bulan Ramadan.