Connect with us

Berita

Belum Terbit Tetapi Lagu Sudah Dilamar Menjadi OST Drama! – Daqmie Umum Bakal Lancar “Masa”

Diterbitkan

pada

Daqmie - Masa

Penyanyi dan komposer terkenal, Daqmie, bakal melancarkan single terbaharunya yang berjudul “Masa” pada 21 Februari 2025.

Lagu ini merupakan single pertamanya untuk tahun 2025. Dalam hantaran yang dikongsikan di akaun media sosialnya, Daqmie memaklumkan lagu “Masa” juga turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) sebuah drama bersiri yang akan disiarkan pada 1 Ramadan nanti di salah satu platform penstriman berbayar.

Menariknya, single ini memperlihatkan kolaborasi Daqmie bersama Hafiz Hamidun dalam aspek pemasaran dan promosi, sesuatu yang jarang dilakukannya secara komersial.

Sebelum ini, Daqmie lebih selesa mengendalikan projek-projeknya secara sendiri, tetapi kali ini dia mengambil langkah berbeza untuk memastikan lagu ini mendapat perhatian lebih meluas.

“Kali ini aku bekerja sama dengan Hafiz Hamidun untuk langkah selanjutnya.. marketing dan promotion.. Dah lama aku tak buat benda ni secara komersial.. biasanya aku buat cara aku… nantikan yer..” kata Daqmie menerusi satu hantaran.

“Masa” merupakan hasil ciptaan Daqmie dengan lirik nukilan Hudzaifah Ibnu Sam Jart Hassan, manakala proses produksi melibatkan nama-nama besar seperti Alfa Booty dan ilustrasi visual oleh Baam Izham.

“Kita kita jerlah buat jawabnya..” seloroh Daqmie, menunjukkan semangat kerja berpasukan yang kuat dalam menghasilkan karya ini.

Peminat-peminat Daqmie pastinya teruja dengan kehadiran lagu baharu ini, apatah lagi setelah sekian lama menantikan kemunculannya di arena muzik komersial.

Jangan lupa nantikan pelancaran single “Masa” pada 21 Februari ini!

Berita

“Baru raya ke-3, sudah berjauhan dengan keluarga…” – Inteam Penuhi Jemputan Persembahan di New Zealand

Diterbitkan

pada

Kumpulan nasyid tersohor, Inteam, bakal mengembangkan lagi pengaruh mereka di persada antarabangsa menerusi Kembara New Zealand 2025.

Menerusi wawancara bersama Hazamin Inteam baru-baru ini, beliau mendedahkan bahawa kumpulan nasyid itu akan berada di New Zealand selama lapan hari, bermula 3 hingga 11 April 2025, untuk beberapa program istimewa.

Antara agenda utama mereka di sana adalah dua persembahan khas yang akan membawa mesej kedamaian dan ukhuwah Islamiah:

  • Persembahan pertama bersama NGO Asturlab, sebuah komuniti Muslim di New Zealand.
  • Persembahan kedua bersama komuniti Melayu anjuran An-Nida Trust di Christchurch, berdekatan Masjid Al Noor – lokasi tragedi berdarah yang meragut nyawa 51 syuhada dalam insiden tembakan pada 2019.


Selain itu, perjalanan kembara ini turut menjadi medan bagi Inteam untuk merakamkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di New Zealand serta rakaman video Akustik Inteam 2025.

Menurut Hazamin, kedua-dua kandungan eksklusif ini akan dimuatkan dalam aplikasi Khair, menjadikannya platform eksklusif bagi peminat menonton kandungan istimewa ini.

Sebelum ini, Inteam pernah berkolaborasi dengan Apps Khair dan menghasilkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di Perth, dan kali ini, jelajah mereka ke New Zealand dijangka lebih istimewa dengan penceritaan yang lebih mendalam mengenai perjalanan dakwah dan seni mereka.

Menariknya, trip ini ditaja sepenuhnya oleh Apps Khair dan Qudwah Group, dua entiti yang turut menyokong misi dakwah dan hiburan berlandaskan Islam.

Dengan kembara ini, nama Inteam dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai ikon nasyid yang bukan sahaja relevan di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Semoga perjalanan ini membawa manfaat dan inspirasi kepada semua!

Continue Reading

Berita

“Idea pada tahun 2023, rakam pada tahun 2024, video muzik pula 2025…” – Manisnya Syawal Berjaya Raih Perhatian Peminat

Diterbitkan

pada

Manisnya Syawal

Sempena sambutan Aidilfitri, industri muzik tanah air dimeriahkan dengan pelancaran single raya terbaru berjudul Manisnya Syawal.

Lagu yang sarat dengan kemeriahan dan kegembiraan Syawal ini dinyanyikan oleh Ustaz Manis, atau nama sebenarnya Ustaz Mohd Fadhly Hasbulah, bersama beberapa artis nasyid ternama – Azhary Ahmad, Razin, dan Khalil dari kumpulan Mestica.

Menariknya, Manisnya Syawal pada asalnya dirancang sebagai lagu solo Ustaz Manis. Namun, setelah perbincangan bersama penerbit bersama, Amin Nordin, tercetuslah idea untuk memperkayakan karya ini dengan gabungan suara harmoni daripada artis nasyid lain.

Keputusan ini bukan sahaja memberikan hasil produksi yang lebih segar, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan sesama peminat nasyid tanah air.

Perjalanan produksi lagu ini juga cukup unik. Ia mula digarap seawal Syawal 2023, sebelum proses rakaman diteruskan pada tahun 2024 dengan penambahan artis kolaborasi.

Rakaman muzik video pula disempurnakan pada Ramadan 2025, menjadikan projek ini mengambil masa yang cukup panjang untuk dihasilkan.

Hal ini kerana jadual padat Ustaz Manis sebagai seorang guru dan penceramah bebas, selain faktor lokasi beliau yang menetap di Pulau Pinang.

Antara komen yang diberikan oleh para pendengar di YouTube
Antara komen yang diberikan oleh para pendengar di YouTube

Pun begitu, hasilnya nyata tidak mengecewakan apabila lagu ini berjaya dihasilkan dengan baik sekali hasil sentuhan Amin Nordin dan tim produksi yang lain dari Smart Audio. Lagu ini mendapat maklum balas yang positif di kalangan pendengar.

Keseluruhan produksi audio visual Manisnya Syawal dijalankan di Smart Audio Studio, Bukit Raja, Klang. Amin Nordin bukan sahaja bertindak sebagai penerbit bersama, malah turut memainkan peranan sebagai komposer, editor, dan videografer bagi muzik video lagu ini.

Dengan harapan besar, Manisnya Syawal diharap dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Ayuh, nikmati kemanisan Syawal dengan alunan merdu daripada Ustaz Manis, Azhary, Razin Mestica, dan Khalil Mestica.

Selamat Hari Raya!

Continue Reading

Berita

Vijay Sambut Syawal Di Kampung Bersama Intisor, Citrawi, Syamsul Aidil dan Fourwords

Diterbitkan

pada

Kehangatan Aidilfitri bukan hanya tentang kemeriahan dan kegembiraan, tetapi juga nilai persaudaraan yang merentasi kaum dan agama.

Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi muzik video Syawal Mulia, yang menampilkan pempengaruh terkenal Vijay Thirackumar sebagai model dan pengisi suara (voice-over).

Dalam video muzik ini Vijay membawa watak sebagai seorang lelaki berbangsa India yang mempunyai seorang bapa saudara beragama Islam.

Bapa saudaranya amat mengharapkan kepulangannya ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama saudara-mara yang sudah lama tidak bertemu.

Sebagai seorang anak saudara yang baik, Vijay berusaha sedaya mungkin untuk pulang dan menyantuni keluarga Muslimnya, mencerminkan eratnya hubungan kekeluargaan yang tidak terbatas pada agama.

Perpaduan dalam Kepelbagaian
Menurut Ustaz Samad dari kumpulan Intisor, kehadiran Vijay dalam muzik video ini membawa mesej yang lebih besar – memperlihatkan bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam harmoni, saling menghormati adat resam dan kepercayaan masing-masing.

“Kita mahu menunjukkan bahawa walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya, perpaduan tetap boleh dicapai melalui nilai-nilai murni dan kasih sayang dalam keluarga,” ujar beliau.

Selain itu, Vijay juga dikenali sebagai seorang pempengaruh bukan Islam yang meminati muzik nasyid serta budaya Melayu-Islam.

Kehadirannya dalam Syawal Mulia menampilkan sisi unik dalam industri hiburan tempatan dan menjadi bukti bahawa keindahan seni boleh menyatukan hati tanpa mengira perbezaan.

Muzik video Syawal Mulia kini boleh ditonton di platform YouTube. Saksikan bagaimana Vijay membawa watak penuh makna ini dan raikan keindahan Aidilfitri dengan mesej perpaduan yang menyentuh hati!

Continue Reading

Trending

Hakcipta Terpelihara © 2024 Munsyeed Edutainment