Penyanyi dan komposer terkenal, Daqmie, bakal melancarkan single terbaharunya yang berjudul “Masa” pada 21 Februari 2025.
Lagu ini merupakan single pertamanya untuk tahun 2025. Dalam hantaran yang dikongsikan di akaun media sosialnya, Daqmie memaklumkan lagu “Masa” juga turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) sebuah drama bersiri yang akan disiarkan pada 1 Ramadan nanti di salah satu platform penstriman berbayar.
Menariknya, single ini memperlihatkan kolaborasi Daqmie bersama Hafiz Hamidun dalam aspek pemasaran dan promosi, sesuatu yang jarang dilakukannya secara komersial.
Sebelum ini, Daqmie lebih selesa mengendalikan projek-projeknya secara sendiri, tetapi kali ini dia mengambil langkah berbeza untuk memastikan lagu ini mendapat perhatian lebih meluas.
“Kali ini aku bekerja sama dengan Hafiz Hamidun untuk langkah selanjutnya.. marketing dan promotion.. Dah lama aku tak buat benda ni secara komersial.. biasanya aku buat cara aku… nantikan yer..” kata Daqmie menerusi satu hantaran.
“Masa” merupakan hasil ciptaan Daqmie dengan lirik nukilan Hudzaifah Ibnu Sam Jart Hassan, manakala proses produksi melibatkan nama-nama besar seperti Alfa Booty dan ilustrasi visual oleh Baam Izham.
“Kita kita jerlah buat jawabnya..” seloroh Daqmie, menunjukkan semangat kerja berpasukan yang kuat dalam menghasilkan karya ini.
Peminat-peminat Daqmie pastinya teruja dengan kehadiran lagu baharu ini, apatah lagi setelah sekian lama menantikan kemunculannya di arena muzik komersial.
Jangan lupa nantikan pelancaran single “Masa” pada 21 Februari ini!