Bicara Santai Perihal Nasyid

Apabila menyebut nasyid, apakah yang tergambar di ruang minda anda? Pasti ramai yang akan mengatakan nasyid ini adalah ‘hiburan Islam’. Benarlah. Itu memang satu hakikat. Nasyid memang sangat dekat dengan Islam. Sangat hampir dengan sebuah hiburan yang lembut, baik, harmoni dan sebagainya. Lantaran itu, jika ada sesiapa yang dilihat pada kanta mata orang lain jenis yang baik baik, sering di masjid akan di gelar dengan nama ‘budak nasyid’.

Bila menyebut nasyid, hiburan jenis ini tidak lah segah hiburan hiburan lain yang sedia ada terpampang di sana sini, tersedia di merata tempat. Nasyid mempunyai satu ‘lacinya’ sendiri di dalam almari hiburan. Laci nasyid dilihat lain dari yang lain. Bukan sahaja memiliki peminatnya yang tersendiri, malah ‘ahli nasyid’ itu sendiri adalah lain berbanding ahli hiburan yang lain.

Apabila melihat ahli hiburan yang lain, mereka mempunyai lebih rangkaian yang luas. Mereka mempunyai ramai peminat. Laman-laman peminat mereka biasanya melebihi angka 10,000. Mereka mudah mendapat tajaan untuk sesuatu program anjurannya. Lihat sahajalah sebuah konsert yang dianjur dan dihadiri oleh ahli hiburan yang bukan nasyid ini. Wow! Mahu parking kereta pun bukan main susah.

Apa pula nasib nasyid? Oh.. nasyid ini ahli hiburan juga. Tetapi statusnya ibarat hanya ‘pembaca doa’ dalam majlis rasmi anjuran mana-mana organisasi. Bila kita menghadiri mana-mana majlis rasmi, slot ‘islam’ iaitu bacaan doa itu biasanya dalam 3 minit sahaja berbanding program yang makan masa 3-4 jam. Maka hadirnya nasyid itu dalam ahli hiburan ibarat begitu.

Dahulu, mana-mana program hiburan seperti Mari Heboh-heboh, Anugerah Era-Eri dan sebagainya menampilkan nasyid sebagai salah satu persembahan yang disediakan. Adalah amat diyakini, bagi pengunjung-pengunjung yang hadir, kehadiran persembahan nasyid ini dianggap ‘penyibuk’ kerana sedang mereka bersuka ria berhibur dengan artis tempatan kesayangan mereka, tiba-tiba di ganggu dengan persembahan nasyid yang terpaksa ‘membaikkan’ diri buat seketika sekitar 5 minit.

Kini, terdapat ahli nasyid yang sedar ketidakperluan mereka hadir dalam program seumpama itu kerana selain tampak janggal pada sudut pandangan, malah ia mungkin boleh mengundang fitnah kepada agama Islam ini sendiri. Tetapi rasanya tidak semua. Masih ada lagi artis nasyid yang tidak kisah apa juga keadaannya asalkan mereka dapat membuat persembahan.

Pada hari ini, nasyid dilihat agak kecamuk dengan pelbagai cerita, berita, itu ini, begitu begini. Ada yang hendak mula meminati nasyid tetapi membatalkan hasrat tersebut apabila melihat ragam ahli nasyid yang pelbagai. Ada yang mempunyai akhlak yang kurang baik, menghisap rokok, tidak menjaga pergaulan, tidak menutup aurat, masalah rumah tangga, dan lain-lain lagi.

Apa yang hanya boleh dikata, biarkanlah… yang hanya mampu menilai adalah kita semua. Pilihlah artis nasyid mana yang disukai. Yang tak disukai tak payahlah beli album. Tak payah lah ambil tahu perkembangannya.

Kepada penasyid yang mengaku memperjuangkan irama nasyid, teruskan perjuangan. Walaupun rasanya telah dikecamukkan dengan pelbagai herba, lauk pauk dan entah apa lagi rempah dalam masakan anda, teruskan. Jika ada yang sudi menerima sajian anda, alhamdulillah. Jika tidak, jangan salahkan sesiapa kerana keputusan yang di ambil di tangan anda.

Kepada penasyid yang ‘keluar dari laci nasyid’, didoakan agar terus berada dalam landasan. Bukan senang mahu berjalan di atas landasan yang betul apabila mengeluarkan diri dari laci. Mungkin peminat-peminat dalam laci akan membuang anda terus selamanya. Hati-hati dan jangan sampai tergelincir.

Kepada penasyid yang berduet dengan ahli hiburan yang lain, moga niat anda berbuat begitu adalah kerana Allah dan bukan mempunyai niat lain semata-mata mahukan komersial. Sudah banyak yang berbuat begitu. Akan datang kemungkinan akan diulas setiap lagu duet yang dibuat oleh penasyid penasyid ini.

Semoga nasyid terus dipelihara oleh Allah sebagai wadah hiburan Islam buat umat Islam yang menggunakan muzik sebagai hiburan hatinya. Wallahua’lam.

Along Safa

Along Safa, Penulis Jemputan Munsyeed.com. Seorang yang popular dikalangan penasyid dan peminat nasyid dek kelantangannya memberi kritik saran kepada industri nasyid suatu ketika dahulu. Kini, bisanya masih terasa dengan penulisan-penulisan yang cukup kritis dan lontaran idea dan pengalaman yang cukup baik.

Recent Posts

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang…

5 months ago

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi…

5 months ago

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan…

5 months ago

“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM

Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” -…

5 months ago

Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025

Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang…

5 months ago

Program TV Lebih Interaktif Di Slot Perdana 9 Malam TV AlHijrah

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program…

5 months ago