Dhuha – Album Instrumental Religi Terbaik Dari Mohram
Dhuha by Mohram
Duo instrumentalis bertaraf antarabangsa, Mohar dan Ramli yang lebih dikenali sebagai Mohram, kembali menggegarkan industri muzik dengan album instrumental religi terbaru mereka berjudul Dhuha.
Ini merupakan album penuh pertama mereka selepas 14 tahun, sejak pelancaran album terakhir, Alam, pada tahun 2011.
Mohar, pemain seruling, dan Ramli, pemain rebana serta perkusi, mengakui mereka sangat teruja untuk menghadiahkan karya ini kepada peminat yang sekian lama menantikan buah tangan baharu daripada Mohram.
“Kami memilih untuk hadir dengan album Dhuha sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, dengan harapan melodi-melodi yang dipersembahkan dapat membawa ketenangan serta keinsafan kepada para pendengar,” ujar Mohram.
8 Trek Instrumental Religi dengan Kualiti Dolby Atmos
Album Dhuha memuatkan lapan trek instrumental yang menampilkan sentuhan semula beberapa melodi ketuhanan popular seperti: • Itiraf • Ya Adnani • Solatullah Salamullah • Muqaddimah Selawat
Selain itu, dua karya baharu turut dimuatkan iaitu Dhuha dan Zehra, yang merupakan hasil gubahan Mohram sendiri.
Menariknya, salah satu trek dalam album ini, Zehra, telah diadun menggunakan teknologi Dolby Atmos, menghasilkan pengalaman audio format spatial atau surround sound yang lebih berkualiti dan mengasyikkan buat pendengar.
Mendengar trek demi trek lagu-lagu instrumental dalam album ini merupakan satu kepuasan buat pendengar.
Penerbitan oleh Inteam Digital
Album ini diterbitkan oleh Inteam Digital, dengan Hazamin selaku penerbit berkongsi rasa bangga dapat membawa semula nama Mohram ke dalam industri muzik Islamik.
“Gabungan duo Mohram adalah legenda bertaraf antarabangsa dengan peminat di seluruh dunia. Kami sangat teruja dapat menerbitkan album mereka, dan kali ini konsep yang dipilih adalah konsep religi yang bersesuaian dengan pelancarannya pada bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Hazamin.
“Kami berharap karya ini bukan sahaja didengari di Malaysia, bahkan juga di seluruh dunia, khususnya oleh umat Islam di mana-mana sahaja,” tambahnya lagi.
Buat peminat Mohram, album Dhuha kini sudah boleh dinikmati di semua platform digital, manakala video muziknya akan diterbitkan pada masa akan datang.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.