“Dia bukan sekadar menang trofi AJL tetapi…” – Pendedahan Eksklusif Zack Merican Tentang Ikhwan Fatanna
Kejayaan Ikhwan Fatanna di Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini bukan sekadar kisah tentang bakat dan kerja keras, tetapi juga tentang keberkatan dan keseimbangan hidup.
Ini cerita yang cuba disampaikan oleh Zack Merican melalui sebuah video yang dikongsikan di akaun TikTok beliau.
Dalam satu video yang tular, Zack Merican berkongsi sisi lain komposer hebat ini—sebagai seorang suami dan ayah yang menjadikan keluarganya sebagai keutamaan.
Menurut Zack, kehidupan Ikhwan berubah sepenuhnya selepas bergelar bapa.
Malah, dalam satu perbualan mereka, Ikhwan mendedahkan bagaimana dia membahagikan masa antara menjaga anak dan berkarya.
“Nak datang roger la. Aku siang jaga dia (anak). Nanti petang tukar dengan isteri aku pula jaga dia lepas habis on air. Lepas tu baru aku boleh kerja sampai malam. Fokus kat baby,” kata Ikhwan kepada Zack.
Zack, yang memahami cabaran hidup sebagai freelancer, membalas:
“Sesungguhnya rezeki yang tidak disangka-sangka akan menyusul pada engkau, sahabat. Aku yakin Allah takkan bagi benda tak baik pada kita.”
Membahagiakan Isteri, Rezeki Makin Murah
Zack juga turut menceritakan satu lagi kisah menarik yang pernah dikongsikan oleh isteri Ikhwan, Lin Ariffin, yang juga penyampai radio di Zayan.
Menurutnya, sebelum AJL berlangsung, Ikhwan secara tiba-tiba memindahkan sejumlah wang kepadanya.
“Sebelum Anugerah Juara Lagu tu, dia tiba-tiba bank in kan sejumlah duit kepada Lin,” cerita Lin.
“Saya tanya la, kenapa you transfer duit dekat I?” Soal Lin.
Jawapan Ikhwan cukup ringkas tetapi penuh makna:
“You guna la untuk apa-apa.”
Melihat situasi ini, Zack menyimpulkan sesuatu yang boleh menjadi pengajaran buat ramai lelaki di luar sana.
“Maknanya, lelaki kat luar sana, nak lagi murah rezeki, jangan kedekut dengan isteri.”
Menang AJL, Menang DalamHidup
Apa yang lebih menarik, kejayaan Ikhwan bukan sekadar tentang trofi AJL, tetapi tentang pemahamannya terhadap konsep rezeki.
“Sebenarnya Zack, aku lagi banyak jaga anak dan keluarga daripada aku kerja,” kata Ikhwan, membuktikan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya semata-mata di pentas, tetapi dalam kehidupan.
Video Zack ini mendapat perhatian ramai, dengan rata-rata netizen terinspirasi oleh kisah Ikhwan yang membuktikan bahawa rezeki bukan hanya soal kerja keras, tetapi juga keberkatan menjaga amanah yang diberikan oleh Allah.
Ikhwan Fatanna bukan sahaja menjuarai AJL, tetapi lebih besar daripada itu—dia menang dalam kehidupan.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.