2016 membuka tirai dengan seleksi lagu-lagu romantis yang cukup padu, memukau, dan berbeza. Sebelum ini saya berpeluang mendengarkan single Hafiz Hamidun berjudul ‘Janjiku’. Terbaharu, saya mendengar pula single terkini yang berlainan genre nya hasil special project band gabungan pop band SAJA dan penyanyi solo yang lahir dari program Mentor, Tuah berjudul ‘Dia Cahaya’. Saya berkesempatan menemubual sendiri komposer serta produser lagu ini iaitu saudara Akmal SAJA bagi membincangkan lebih mendalam berkenaan single ini.
Pop Rock Moden yang Ringan
“Saya cuba menggabungkan melodi yang ringan dan lirik yang mudah difahami,” kata Akmal sewaktu sesi perbualan di laman Whatsapp. Akmal yang turut sinonim selaku salah seorang ahli grup vokal Mirwana menyatakan rasa keterujaan beliau terhadap penghasilan lagu ‘Dia Cahaya’ ini.
Saya sendiri telah mendengar dan ternyata elemen ‘pop rock’ yang diketengahkan telah membawa lagu ‘ringan’ ini ke satu aras yang lebih tinggi! Apa yang saya mampu katakan, gaya lagu sebegini memang menjadi kesukaan rata-rata pendengar awam masa kini. Lagu ‘market’ lah senang cerita! Ada unsur-unsur Akim & The Majistret dan HyperAct di dalamnya yang menjadikan lagu ‘heavy music’ ini dijangka mampu menarik ramai pendengar muda.
‘Dia Cahaya’ sebuah Muzik Eksperimental
Suatu yang menarik untuk dibincangkan dari sudut teknikal lagu ini sendiri ialah ‘flow’ nya yang berubah-ubah dari awal sehingga ke akhir lagu. Pada awalnya melodi dan muzik agak perlahan dan mendayu-dayu. Kemudian barulah elemen rock dimasukkan sedikit demi sedikit melalui guitar work yang dipersembahkan. Saya paling gemar mendengar bahagian korus di mana liriknya berbunyi “Tuhan curahkan kasihmu..” kerana pada waktu itu muzik terutama gitar elektrik ‘menyanyi’ bersama melodinya – ‘sing-along’ kata orang putih. Idea muzik yang bagi saya bukanlah julung kalinya diaplikasikan tetapi sangat kreatif dan ada ummphh!
Akmal sendiri memberitahu sebelum ini SAJA banyak membawa lagu-lagu santai. Cuma kali ini SAJA tampil sedikit berlainan melalui gabungan bersama Tuah untuk membawa lagu berunsur modern pop rock.
“Vokalis SAJA (Faisal Firdaus) pada awalnya memainkan peranan untuk hidupkan mode pop ballad. Kemudian Tuah pula masuk dengan gaya vokalnya yang bagi saya ada imej tersendiri,” kata Akmal cuba menggambarkan campuran dua vokal yang telah membawa kelainan pada single ‘Dia Cahaya’ ini. Akmal yang gemar bereksperimentasi dengan muzik berpendapat single ‘Dia Cahaya’ ini merupakan antara karya gubahan sendiri yang beliau gemari.
“Saya jenis suka mencuba. Kalau dengar lagu-lagu Mirwana yang terdahulu, memang semua akan faham. Kami suka experimental music,” tambah beliau lagi.
Cinta yang Positif!
Pertumbuhan lagu-lagu berunsur cinta bukanlah sesuatu yang asing dalam industri. Di dalam industri nasyid dan lagu-lagu ketuhanan sendiri, lagu-lagu cinta manusia telah dimurnikan melalui senikata-senikata yang turut dimanifestasikan terhadap cinta Tuhan.
“Pendapat peribadi saya, muzik tetap muzik. Yang penting kita jaga kandungan lirik yang positif,” Akmal memberi pandangan. Kita menyetujui sebuah lagu cinta itu bilamana ia memberi kesan yang positif kepada manusia. Menumbuhkan rasa cinta itu tidak salah. Malahan ia fitrah. Namun bilamana lagu cinta itu dibawa ke arah sifat negatif seperti putus asa dan kekecewaan, pastinya kesan buruk yang bakal terhasil. Paling penting, ia seharusnya cinta yang kembali kepada Tuhan!
Pastinya single ini perlu dipromosikan secara lebih meluas untuk menarik lebih ramai pendengar. Buat masa ini, mereka telah pun mengeluarkan video lirik ‘Dia Cahaya’ di Facebook dan tidak lama lagi akan dimuat naik di laman YouTube. Video lirik tersebut telah mendapat sentuhan profesional dari team SchizoMotion dan saya akui team ini memang sangat kreatif menghasilkan video-video grafik yang bernilai abstrak dan tersendiri. Menurut Akmal, single ini juga telah dipersetujui oleh pihak Warner Music untuk diterbitkan dan mereka juga merancang untuk menghasilkan video muzik tidak lama lagi.
Saya sendiri berpendapat lagu ‘Dia Cahaya’ ini segar untuk didengar. Cuma mungkin senikatanya boleh dikuatkan lagi supaya lebih ‘berhantu’ dan mempunyai ‘line’ yang boleh diingati supaya malar segar sampai bila-bila. Walaubagaimanapun, secara keseluruhannya saya berpuas hati terhadap kualiti penghasilan lagu ini. Saya dapat rasakan ada usaha bersungguh dalam menerbitkannya. Saya juga mengharapkan lebih banyak lagu ‘cinta positif’ seperti ini boleh dihasilkan oleh penggiat-penggiat seni tanah air. Hidup mesti positif!
Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular dunia, melancarkan inisiatif kandungan baharu Stories by Muslim Pro, sebuah hab kreatif global untuk kisah-kisah autentik ummah merentas budaya, generasi dan geografi.
Pelancaran disertai sesi panel “Storytelling in the Digital Era” menampilkan Nafees Khundker (Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Muslim Pro) dan pembikin filem tersohor Abrar Hussain (One Day in the Haram, One Night in Al Aqsa).
“Muslim Pro kini teman budaya dan rohani jutaan pengguna. Stories by Muslim Pro ialah bab seterusnya menghubungkan dan menyatukan ummah dengan kisah yang menginspirasi,” Nafees Khundker.
Premiere Eksklusif: Madina: The Enlightened City
Pembuka tirai Stories by Muslim Pro ialah dokumentari Madina: The Enlightened City arahan Abrar Hussain. Menurut beliau, dokumentari ini ialah sebuah rakaman keindahan, sejarah dan aura Madinah yang turut membawakan nilai kemanusiaan, tawaduk dan pengabdian.
“Saya mahu menangkap roh Madinah, bukan sekadar visual,” Abrar Hussain.
Madina: The Enlightened City akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi Muslim Pro pada 1 Oktober 2025 dan pra-tempahan boleh dilakukan bermula 11 September 2025.
Pertandingan Filem Pendek & UGC Short – Stories of the Beloved
Di bawah jenama Stories by Muslim Pro, turut dilancarkan Stories of the Beloved, sebuah festival kandungan digital global yang meraikan bagaimana Islam dihayati, dirasai dan dizahirkan dalam kehidupan seharian. Inisiatif ini menghimpunkan pembikin filem profesional dan juga pencipta kandungan harian untuk berkongsi perspektif autentik tentang keindahan iman dalam dunia moden.
Pemilihan pemenang dibuat oleh barisan juri antarabangsa yang terdiri daripada tokoh ternama dalam dunia perfileman dan penciptaan kandungan digital. Antara juri tersebut ialah pencipta kandungan digital Malaysia, Fikri ZamRi.
Penglibatan beliau dalam barisan juri antarabangsa menyerlahkan peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim di peringkat global, sekali gus menegaskan betapa pentingnya suara serantau dalam landskap penceritaan yang pelbagai.
Undian bagi UGC Shorts Viewer’s Choice Award boleh dilakukan menerusi aplikasi Muslim Pro bermula dari 9 hingga 21 September 2025.
Semua kandungan Stories by Muslim Pro, termasuk dokumentari Madina dan karya terpilih Stories of the Beloved, boleh ditonton melalui aplikasi Muslim Pro dan platform video Qalbox.
Aplikasi Muslim Pro boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store. Info lanjut di muslimpro.com.
Dengan Stories by Muslim Pro, platform penceritaan Muslim naik satu gear. Bukan sekadar menonton, tapi merasai dan menyambung kisah ummah. Jangan lupa undi karya kegemaran anda dan set reminder untuk tayangan Madina!
Suasana santai penuh ukhuwah tercipta apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar berkesempatan beriadah sukan badminton bersama kumpulan nasyid popular Inteam serta wakil-wakil MUNSYID Malaysia di Putrajaya, pada Rabu.
Sesi riadah itu turut disertai Presiden MUNSYID Malaysia, Muhammad Hazamin Harun yang juga ahli kumpulan Inteam, serta Timbalan Presiden MUNSYID, Wan Syahrul Amry Wan Mansor. Turut bersama, penyanyi Halim Ahmad (Devotees) dan Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Samsuddin, menjadikan pertemuan santai ini semakin meriah dan penuh nilai persaudaraan.
Dalam perkongsian di media sosial, YB Menteri mengimbau bait lirik lagu Inteam Akrab Persahabatan:
“Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan”
Katanya, riadah bukan sekadar menyihatkan tubuh badan, tetapi juga medan memperkukuh ukhuwah serta mengikat hati dengan keikhlasan.
Sentuh Hala Tuju Industri Nasyid
Menariknya, dalam sesi santai itu, Hazamin mendedahkan bahawa Dato’ Dr Mohd Na’im berhasrat untuk menerima cadangan bagi mengadakan pertemuan khusus bersama MUNSYID Malaysia bagi membincangkan hala tuju industri nasyid.
“Beberapa cadangan dan kertas kerja pembangunan industri nasyid turut kami serahkan kepada Dato’ Dr. Mohd Na’im sebagai bayangan awal. Semoga inisiatif ini menjadi langkah memartabatkan industri nasyid agar terus kekal sebagai medan dakwah Islam,” jelas Hazamin.
Perkongsian momen riadah dan ukhuwah ini nyata mencuri perhatian warganet serta peminat nasyid yang menyifatkan ia satu permulaan positif untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin agama, artis dakwah dan aktivis belia.
Sumber: Facebook YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Naim, Inteam.
Nama baharu dalam industri muzik tanah air, Faiesh Syazwan, kini semakin mendapat perhatian selepas kemunculan single sulungnya berjudul Bianglala. Lagu ciptaan komposer terkenal Fadzli Far East bersama Syukri Sahari, dengan lirik oleh penulis prolifik ITO Lara, menjadi tiket pertama beliau memperkenal bakat vokalnya kepada khalayak.
Namun, di sebalik penerimaan positif, Faiesh mengakui berdepan sedikit kekecewaan apabila Bianglala tidak dapat dicalonkan ke Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan apabila lagu Bianglala tidak dapat dicalonkan ke AIM. Pihak pengurusan telah cuba sedaya upaya untuk mencalonkan tetapi nasib mungkin tidak menyebelahi lagu ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Faiesh tidak menafikan hatinya sedikit hampa dengan situasi tersebut.
“Tipulah jika saya katakan saya tidak kecewa kerana lagu Bianglala tidak dicalonkan ke AIM. Tambahan pula lagu ini ‘kalah’ sebelum dipertandingkan. Tetapi, saya percaya ada hikmah di sebalik perkara ini dan saya reda. Mungkin ada rezeki saya di masa akan datang,” katanya dengan penuh positif.
Dalam masa sama, Faiesh menolak sebarang dakwaan kononnya lagu itu disabotaj sehingga gagal dihantar untuk pencalonan.
“Saya nafikan ada unsur sabotaj. Isu ini berpunca daripada masalah teknikal semata-mata, bukannya kerana ada pihak yang cuba menjatuhkan. Saya anggap ini sebagai ujian kecil,” tegasnya.
Walau begitu, perjalanan Bianglala tetap berjalan lancar. Muzik video rasmi lagu ini mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan di YouTube, selain menerima maklum balas baik daripada para pendengar yang menganggap karya tersebut segar dan menyentuh jiwa.
Tidak mahu terlalu lama menoleh ke belakang, Faiesh kini fokus mengatur langkah seterusnya.
“Alhamdulillah, video muzik Bianglala mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan. Pendengar juga berikan maklum balas positif terhadap karya indah ini.”
“Saya kini dalam proses mengumpul material baharu untuk single kedua saya. InshaAllah, jika tiada aral melintang, single kedua akan muncul tidak lama lagi. Doakan,” ujar Faiesh yang optimis dengan perjalanan seninya.
Dengan semangat dan sokongan yang semakin bertambah, peminat boleh menjangkakan lebih banyak karya segar daripada Faiesh Syazwan dalam waktu terdekat.