Categories: Terkini

“Dia dengar sekali, terus dia nak lagu ni…” – Frizdan Ulas Pemilihan Mateen Nyanyikan Lagu Asma’ Abu Bakar

“Selendang itu dikoyak jadi dua, demi mengikat bekalan, minuman baginda…”

Rangkap dan melodi lagu ini bermain-main di minda kami saat kali pertama lagu ini diperdengar melalui video acah yang dikongsikan oleh Inteam Digital di media sosial.

Hasil kolaborasi mantap komposer Frizdan dan penulis lirik ITO Lara ini telah mula disiarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik.

Liriknya digarap dengan baik sekali. Manakala melodinya mesra pendengar – sekali dengar, terus menangkap! Penyampaian penuh penghayatan dan vokal padu penyanyi muda Mateen pula menjadi pelengkap kepada lagu ini.

Lirik Dihasilkan Terlebih Dahulu, Kemudian Baru Dilagukan

Bercerita mengenai lagu ini, Frizdan menjelaskan lagu ini digubah berdasarkan lirik yang diberikan oleh ITO Lara pada tahun lepas.

“Bulan September 2023, ITO Lara bagi lirik Asma Abu Bakar. Beliau mendapat ilham sewaktu pergi ke Jabal Thur pada musim Haji tahun lepas. Jadi, beliau minta saya buatkan lagu berdasarkan lirik yang beliau telah tulis.”

“Sebagaimana lagu Safiyyah, saya meneliti lirik lagu ini untuk dilagukan. Melodi yang terhasil haruslah seiring dengan emosi dan jalan cerita yang tertulis dalam lirik.”

Dinyanyikan oleh Mateen, Satu Penghargaan Buat Frizdan

Ditanya mengenai pemilihan Mateen untuk menyanyikan lagu Asma Abu Bakar ini, Frizdan anggap ianya satu penghargaan buat beliau untuk bekerjasama dengan artis muda yang berbakat besar seperti Mateen.

“Pada mulanya saya tak rasa Mateen nak nyanyi lagu srikandi ini. Tapi, bila dia dengar sahaja buat kali pertama demo yang saya buat, terus dia kata nak lagu ini.”

“Terima kasih kepada penasyid muda, Mateen atas lantunan suara yang indah untuk lagu ini.”

Kisah Asma binti Abu Bakar r.a.

Asma’ r.a merupakan salah seorang anak perempuan Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a dan ibu kepada Abdullah bin al-Zubair bin al-‘Awwam. Umur Asma’ adalah 10 tahun lebih tua daripada Ummul Mukminin Aisyah r.a.

Beliau memeluk Islam di Makkah ketika berusia 17 tahun. Kemudian beliau berkahwin dengan al-Zubair bin al-‘Awwam. Beliau juga berhijrah ke Madinah dalam keadaan mengandungkan anaknya, Abdullah dan melahirkannya di Quba’. Beliau hidup sehingga anaknya menjadi khalifah dan dibunuh, kemudian beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Beliau diberi gelaran Zatun-Nitaqain bila mana beliau mengoyakkan lilitan pinggangnya, lalu diikat pada hidangan (bekalan) Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq ketika mereka keluar ke Gua Thur untuk berhijrah ke Madinah.

Terdapat riwayat daripada Asma’ r.a sendiri, katanya: “Aku menyediakan bekalan perjalanan untuk Nabi SAW dan Abu Bakar r.a ketika mereka berdua hendak (hijrah) ke Madinah. Aku berkata kepada bapaku: ‘Aku tidak mendapati sesuatu untuk mengikat (bekalan) selain daripada pengikat pinggangku.’ Abu Bakar berkata: ‘Koyakkanlah ia (tali tersebut).’ Aku pun melakukannya (seperti yang disuruh), maka (disebabkan itu) aku dinamakan Zatun-Nitaqain (pemilik dua pengikat pinggang).” Ibn Abbas berkata: “(Gelaran) Asma’ ialah Zat al-Nitaq.” [Hadis riwayat Bukhari].

Lirik Lagu Asma’ Abu Bakar – Mateen

Keras dan pejal bebatuan di Jabal Thur
Begitulah jua cekalnya hatimu
Kau bukanlah mujahidah yang menghunus senjata
Namun jasamu besar di lembaran hijrah

Duhai Zatun Nitaqain
Wanita yang memiliki
Dua selendang pinggang
Gelaran penghormatan
Dari Rasulullah kerana khidmatmu

Selendang itu dikoyak jadi dua
Demi mengikat bekalan
Minuman baginda
Dan lagi satu kau ikat pada sufrahnya
Walaupun sarat mengandung
Kau korbankan jiwa raga

Kau puteri bestari
Telah terpateri
Pengorbananmu

Duhai Zatun Nitaqain
Wanita yang memiliki
Dua selendang pinggang
Gelaran penghormatan
Dari Rasulullah kerana khidmatmu

Selendang itu dikoyak jadi dua
Demi mengikat bekalan
Minuman baginda
Dan lagi satu kau ikat pada sufrahnya
Walaupun sarat mengandung
Kau korbankan jiwa raga

Asma’ Abu Bakar
Kecerdasanmu amat tinggi
Mengatur rancangan penuh teliti
Menghantar bekalan seraya mengkhabarkan Nabi
Rencana musyrikin dipacu tirani

Asma’ Abu Bakar
Bijak meramal kemungkinan
Menuju Gua Thur tempat sembunyian
Menyamar bagai gembala
Agar jejakmu kan terhapus
Dari diekori musuh yang rakus

Dikaulah puteri bestari
Pengorbananmu telah terpateri
Jadi tamsilan buat diri ini

Komposer: Frizdan
Penulis Lirik: ITO Lara

Husaini Hussein

Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.

Recent Posts

“Mungkin Tiada Lagi Yang Lebih Besar Dari Ini” — Konsert Nur Kasih Sebagai Kemuncak (‘Magnum Opus’) Karier Inteam

Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang…

5 months ago

Set List Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih Telah Keluar!

Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi…

5 months ago

Zikir Dikir di ACI’25 – Persembahan Ikonik Hafiz Hamidun dan Halim Yazid

Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan…

5 months ago

“Sudah-sudahlah terperangkap dalam luka yang sama…” – ADAM

Kumpulan ADAM, kembali mengukuhkan langkah dalam industri apabila tampil dengan single kedua berjudul “Sudah” -…

5 months ago

Aniq Muhai Puas Hati Dapat Sebarkan Mesej ‘Self Love’ Di Anugerah Carta IKIM 2025

Berjuang melawan penyakit sejak pertengahan tahun lalu, penyanyi solo Aniq Muhai membuktikan bahawa semangat yang…

5 months ago

Program TV Lebih Interaktif Di Slot Perdana 9 Malam TV AlHijrah

TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara apabila memperkenalkan barisan program…

5 months ago