Agak lama kami tidak menyapa kumpulan Du’a. Mungkin ramai yang tidak mengetahui yang kami di Munsyeed menggemari kumpulan ini sejak awal kemunculan mereka. Masakan tidak, santun bicara, sifat merendah diri dan keramahan mereka sentiasa membuat kami rasa senang dengan mereka. Persis bapanya; Ustaz Amaluddin.
Semalam, salah seorang editor kami sempat menghubungi Ajwad Amal, vokalis dan komposer muda dari kumpulan DU’A untuk bertanya khabar. Menurut Ajwad, Du’a kini sudah bergerak sendiri dibawah pengurusan Sahabat Amal dan beberapa pembaharuan sedang dirangka sebelum mereka muncul secara rasmi di khalayak umum.
Dari kiri: Ajwad, Ahmad, Asad dan ahli baru, Danial (berbaju putih)
Rakam Single Baru, Du’a Kini Berempat
“Du’a baru sahaja selesai membuat rakaman single terbaharu di Hijjaz Studio. Lagu bertema kemanusiaan, prihatin terhadap saudara-saudara kita yang tertindas terutama di Mesir, Syria dan Palestin. Tajuk lagu kita rahsiakan dulu.” cerita Ajwad.
Tambah beliau lagi, “Du’a juga kini telah RABI’A (berempat). Kami tambah lagi seorang ahli, namanya Ahmad Danial bin Azizi (Danial), 20 tahun – Boleh check di FB DU’A untuk gambarnya. Kalau nak diikutkan, kami memang bergerak secara berempat dari sekolah menengah lagi – SMK Saujana Utama. Nama kumpulan kami dahulu Zameel. Alhamdulillah, gembira dapat kumpulkan semula ahli sebenar di bawah title DU’A”.
Ditanya sama ada Du’a akan mengadakan tour di IPTA/S untuk mempromosi jenama baharu mereka, ini jawapan Ajwad: “Buat setakat ini, belum merancang nak buat tour universiti. Du’a sebenarnya dalam proses ‘rebranding’ memandangkan kami telah menambah ahli. Du’a di bawah syarikat SahabatAmal telah membuat perbincangan untuk mengeluarkan album ‘repack’ hasil kerjasama dengan Hijjaz Records. Album ini akan memuatkan lagu-lagu di dalam album pertama Du’a ditambah dengan beberapa buah lagu baharu.”
Du’a Ada Masalah Disiplin?
Jika diperhatikan, Du’a jarang mengadakan persembahan dengan kehadiran ahli yang ‘cukup korum’. Kadang-kadang hanya Ajwad dan Asad yang sering muncul membuat persembahan tanpa kehadiran seorang lagi ahli. Jadi, wujud persepsi yang ahli Du’a tidak berdisiplin dan tidak serius dalam kerjaya seni.
Menepis persepsi nakal ini, Ajwad menjelaskan komitmen yang penting perlu diutamakan terlebih dahulu dan bukan isu disiplin yang timbul diantara ahli kumpulan Du’a.
“Kalau dilihat dari awal, Du’a agak tidak konsisten dengan bilangan ahlinya. Bukanlah ada masalah disiplin apa pun, tetapi disebabkan salah seorang ahli kami (Ahmad Nursilahuddin, 22) ada komitmen dengan kerjanya sebagai wartawan sambilan. Ahli Du’a yang lain juga ada komitmen belajar dan ini serba sedikit mengganggu perjalanan Du’a lebih-lebih lagi menerusi persembahan pentas.” ulas Ajwad dengan berhati-hati.
Bagaimanapun, Ajwad berkata Du’a akan sedaya upaya memenuhi undangan jika jemputan yang diterima adalah pada waktu cuti atau hujung minggu.
“Kami juga berusaha mengosongkan jadual kami pada waktu cuti dan hujung minggu supaya dapat memenuhi undangan persembahan dalam kondisi ahli yang cukup.”
Du’a Kolaborasi Dengan Faisal Hamdi
Ajwad turut teruja berkongsi cerita kepada kami mengenai video muzik terbaru Du’a yang berjudul Tiada Selain Dia.
“Ya, baru-baru ini Du’a baru sahaja keluarkan muzik video terbaru berjudul ‘Tiada Selain Dia’ hasil kolaborasi bersama The Videographerz International milik Faisal Hamdi.”
“Selaku komposer, saya cenderung untuk menulis lagu-lagu tauhid, membesarkan Allah dan memuji Allah. Selepas kejayaan besar dan sambutan yang sangat menggalakkan menerusi lagu Sahaja Aku Mencintai-Mu (yang lebih berentak mendayu / pop), kita cuba keluar dengan identiti yang lebih berani melalui lagu ‘Tiada Selain Dia’ ( rentaknya lebih fast dan muziknya juga lebih kepada pop rock). Kami berharap ianya juga dapat diterima ramai.” jelas Ajwad.
Buku sulung Ajwad, Sahaja Aku MencintaiMu. Terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd
Ajwad Yang Versatile
Selain belajar, mencipta lagu dan bernasyid, Ajwad juga gemar menulis. Buku sulung beliau sudah terbit di pasaran awal April lalu berjudul Sahaja Aku MencintaiMu terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Tidak berhenti setakat itu, Ajwad juga dikatakan menjadi kolumnis di sebuah majalah terbitan Galeri Ilmu. Kami sempat bertanyakan tips pengurusan masa beliau yang dilihat begitu efektif sehingga mampu menceburkan diri dalam pelbagai bidang dalam satu masa.
“Mahu tidak mahu, pembahagian masa perlu dilakukan dengan rapi. Waktu belajar, kita fokus belajar. Waktu menyanyi, kita fokus menyanyi. Begitu juga dengan penulisan. Saya ada waktu menulis saya sendiri iaitu selepas subuh. Sebelum pergi kelas pagi, menulis sekejap. Kemudian kita bagi tumpuan 100% dalam kelas. Waktu bernasyid bersama Du’a selalunya pada hujung minggu dan cuti panjang. Begitulah kebiasaannya. Yang penting kena minat. Tak minat, buat apa pun takkan jalan.” kata Ajwad.
Semoga apa yang dikongsikan oleh Ajwad menjadi pemangkin kepada kita untuk lebih maju kehadapan, InshaALLAH. Jom tonton video muzik terbaru Du’a berjudul Tiada Selain Dia.
showinfo=0
– Munsyeed Dot Com