
Fathi Otmani. Mungkin ada di kalangan kita tidak pernah mendengar nama ini. Namun, nama kecil ini muncul di tengah-tengah sibuk hangat diperkatakan tentang penasyid-penasyid daripada Eropah.
Namun bagi anak muda berusia 23 tahun daripada Belanda ini, kerana minat yang mendalam pada muzik nasyid mendorongnya untuk serius dalam menyusuri haluan hiburan Islam yang semakin mendapat tempat di Eropah.
Menurut Fathi dalam temuramah eksklusif melalui email kepada MUNSYEED.COM, beliau bermula dengan muzik bergenre hip-hop dan telah aktif mengadakan persembahan dan berkarya di sekitar Amsterdam, Belanda.
“Namun selepas empat tahun aktif dalam dunia hip-hop, minat saya berkembang. Jadi selepas itu saya banyak mendengar genre-genre lain dan dari situlah timbul minat saya terhadap nasyid”
Bermula secara indiependant, Fathi menjelaskan bahawa dia banyak melakukan latihan dan menyanyikan lagu artis nasyid lain. Sokongan daripada keluarga rakan-rakan membuatkannya lebih bersemangat untuk terus membawakan lagu bergenre nasyid.
“Atas sebab itu jugalah, saya nekad meninggalkan dunia hip-hop pada 2006 untuk lebih fokus kepada muzik berteraskan Islam”
Fathi baru baru ini muncul dengan singlenya iaitu Ya Rabbi yang boleh dimuat turun daripada laman webnya. Baginya, dia mahukan para pendengar menjiwai muzik dan lirik yang disampaikan.
Malah untuk karyanya yang akan diriliskan tidak lama lagi, dia telahpun menulis lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Arab, Tamazight (Diaelek Afrika Utara), Darija (Arab Morroco), Dutch, French, Urdu dan Turkish.
Menurut Fathi Othmani, nasyid bukan sahaja boleh mempengaruhi emosi seseorang, bahkan ia juga memberikannya inspirasi untuk turut sama berdakwah dan menceritakan pada pendengarnya tentang keindahan Islam itu sendiri. Tambahnya lagi, dia hanya mengharapkan yang usaha kecilnya ini dapat pengubah persepsi masyarakat terhadap keindahan Islam.
“Bagi saya, mungkin dengan cara berdakwah melalui muzik ini dapat menepis persepsi Barat yang Islam itu indah dan bukannya agama yang ganas seperti yang disebut oleh media barat. Saya berdoa semoga Allah tunjukkan jalan yang lurus dan bersihkan hati kita daripada bisikan syaitan.”
Kepada para peminat yang ingin mendengar karya hasil anak muda Amsterdam ini atau mahu berinteraksi dengannya, boleh melayari laman web http://www.fathiotmani.net/ atau Facebooknya http://www.facebook.com/pages/Fathi-Otmani/277882451285 – MUNSYEED.COM