Hafiz Hamidun bukanlah satu nama yang asing di dalam industri muzik tanahair. Artis serba boleh yang berbakat besar ini melakar satu persatu sejarah hidupnya dengan melalui pelbagai rintangan dan cabaran yang penuh berliku. Memulakan karier seni sebagai ahli kumpulan nasyid popular UNIC seawal umur 18 tahun, Hafiz Hamidun menjadikan ia sebagai platform untuk beliau melangkah lebih jauh dalam industri muzik nasyid Malaysia.
Berbekalkan pengalaman yang diperolehi, Hafiz mula bereksperimentasi bersama muziknya melalui syarikat Arteffects International yang diusahakan bersama usahawan terkenal, Tuan Haji Hasbullah Mohd Taib.
Umum mengetahui Album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun merupakan produk terbaik Hafiz hamidun yang menjadi sebutan para peminat. Album yang berkonsepkan terapi diri ini merupakan hasil inovasi kreatif Hafiz Hamidun dalam mencorakkan irama muzik nasyid di Malaysia. Tidak hanya bersandarkan kepada muzik semata, kekuatan album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun ini ditumpukan kepada alunan zikir yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan iringan muzik yang ringan melatari zikir tersebut. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, Hafiz Hamidun melantik Ustaz Amaluddin sebagai penasihat rakaman untuk menyemak bacaan zikir yang dialunkan.
Hasilnya, dalam tempoh tidak sampai setahun, album ini telah berjaya terjual sebanyak hampir 45,000 unit! Satu angka jualan yang cukup memberangsangkan bagi seorang artis di kala industri muzik berdepan dengan masalah cetak rompak dan sebagainya. Dengan jumlah jualan tersebut, Hafiz Hamidun diberi Anugerah Platinum Berkembar 4 diatas pencapaian yang membanggakan itu.
Majlis penyampaian Anugerah Platinum Berkembar 4 ini telah disempurnakan oleh En Mokhtaza Ahmad, Ketua A&R, Warner Music Malaysia di Majlis Berbuka Puasa Arteffects International.
Ketika ditemui di majlis tersebut di The Royale Bintang The Curve, Hafiz Hamidun melahirkan rasa syukur diatas pencapaian yang beliau perolehi melalui album Zikir Terapi Diri.
“Majlis ini dianjurkan untuk meraikan para karyawan, rakan perniagaan strategik, rakan media dan semua yang terlibat dalam menyokong usaha yang dijalankan oleh Arteffects International. Segala pencapaian yang diperolehi bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk sebaliknya ia adalah satu nikmat yang perlu disyukuri dan diraikan bersama dengan anda semua.” kata Hafiz di MajlisBerbuka Puasa Arteffects International.
Menurut Hafiz lagi, “Saya menghasilkan album zikir terapi ini bukanlah untuk dijadikan ukuran sebagai teori muzik yang hebat tetapi lebih kepada sebuah karya yang lahir dari jiwa dan hati saya sendiri. Iringan muziknya lebih kepada terapi minda. Ia terbukti apabila saya perdengarkan album ini kepada rakan-rakan, mereka mengatakan yang mereka dapat merasakan ketenangan dan seolah-olah dibuai seketika sewaktu menikmati zikir tersebut.”
Tidak mahu terhenti setakat itu, Hafiz Hamidun meneruskan koleksi album dibawah label Irama Terapi yang dipaternkan dengan menerbitkan album Zikir Terapi Munajat Fitri Haris, Zikir Terapi Selawat Imam Muda Najdy dan terbaru, Asmaul Husna alunan Asmawi (Mawi).
Pelancaran album Zikir Terapi Munajat,Zikir Terapi Selawat dan Album Asmaul Husna.
Kesemua album baharu dibawah label Irama Terapi ini dilancarkan serentak di Mjalis Berbuka Puasa Arteffects International.
Di majlis yang sama, Arteffects International telah berbesar hati untuk memperdengarkan kepada para hadirin dan media, beberapa lagu baharu yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi. Antaranya pradengar lagu-lagu dari album solo pertama Izzat Mahadi (ex-Mirwana) dan lagu-lagu terbaru Sami Yusuf dari album Salaam.
Tahniah diucapkan kepada Hafiz Hamidun dan seluruh warga kerja Arteffects International diatas pencapaian dan hasil usaha keras semua. Semoga hafiz dan Arteffects International terus maju dalam menghasilkan produk-produk shariah compliant.
-Munsyeed{Dot}Com.