Putrajaya International Islamic Arts and Culture Festival (PIIACUF) 2013 sudah pun melabuhkan tirainya Ahad lalu. Namun, masih terdapat ‘cakap-cakap’ mengenai penganjuran event tersebut ibarat pepatah rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi.
Terbaru, kami terbaca mengenai kekecewaan penyanyi versatile, Hafiz Hamidun terhadap gangguan yang berlaku sewaktu kumpulan Debu membuat persembahan di Putrajaya baru-baru ini.
Melihat kepada status Facebook yang dikemaskini Hafiz Hamidun, beliau melahirkan rasa kekecewaannya terhadap layanan dan gangguan yang diterima oleh rakan artisnya, kumpulan Debu dari Indonesia.
Print screen dari kemaskini status Facebook milik Hafiz Hamidun
“Kecewa bila dengar layanan terhadap grup Debu semasa dijemput show di Konsert Nur di Putrajaya tempoh hari.” ujar Hafiz.
Dalam komen yang diberikan dibawah status tersebut, Hafiz menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara yang berlaku.
“Saya simpati dan kasihan dengan layanan terhadap mereka. Malam sebelum persembahan mereka, saya sempat bersama-sama anggota Debu, layan minum teh tarik. Malam show tak sempat datang sebab ada program lain. Sebagai kawan, dan juga peminat Debu saya harap mereka tidak serik ke sini lagi.”
Jelas Hafiz, ketika Debu membuat persembahan di pentas kecil yang terletak berhampiran pentas utama, persembahan Debu sedikit terganggu apabila sesi sound check turut diadakan pada masa yang sama di pentas utama.
“Semasa Debu sedang membuat persembahan di pentas kecil belakang pentas utama, di pentas utama pula sedang soundcheck dan rehearsal. Kata ahli Debu, persembahan mereka sedikit terganggu kerana bunyi yang terlalu kuat. Apabila diminta untuk ditunda, jawapan yang diberi oleh pihak penganjur adalah tidak boleh. Sedangkan di aturcara, tertera persembahan Debu bermula 8.30-11.00 malam.”
“Pada saya, sebagai performer, walaupun dibayar, banyak atau sedikit, itu bukan perkara utama. Kepuasan dalam memberikan persembahan jauh lebih penting. Harap isu ini tidak dipandang ringan.” ulas Hafiz di ruangan komen.
Dalam respon ringkas mengenai isu ini, salah seorang anggota Debu; Da’ood Debu merakamkan penghargaan diatas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Hafiz dan juga peminat di Malaysia kepada Debu. Beliau juga tidak menolak kemungkinan Debu akan berkolaborasi dengan Hafiz pada masa akan datang.
“Thank you for showing your concern and support for DEBU and our show, Hafiz Hamidun and everyone else here, we really appreciate it. Maybe next time, we can do a proper show, and maybe even collaborate with you. Salaam.” ucap Da”ood dalam ruangan komen tersebut.
Untuk makluman pembaca, pada waktu kejadian, tim Munsyeed tidak berada di Putrajaya untuk melihat situasi yang berlaku. Kami sendiri pada mulanya terkejut apabila mendapat tahu kumpulan Debu ada membuat persembahan sempena PIIACUF kerana kami tidak tahu dan tidak mendapat info tentang kemunculan Debu di PIIACUF.
Apa pun, pihak kami akan segera menghubungi pihak penganjur PIIACUF untuk mendapatkan respon mereka mengenai isu ini.
– Munsyeed Dot Com