Sambutan luar biasa daripada peminat telah mendorong kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, untuk memindahkan Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun ke lokasi baharu yang lebih besar iaitu IdeaLive, Petaling Jaya.
Dalam masa yang sama, tarikh konsert turut dianjakkan dari 27 ke 28 September 2025.
Dalam sidang media yang berlangsung hari ini, Inteam meluahkan rasa syukur dan terharu apabila tiket bagi lokasi asal habis dijual dalam tempoh hanya dua jam selepas pelancarannya.
“Kami tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada peminat. Ramai mencadangkan agar kami adakan malam kedua atau cari lokasi lebih besar. Jadi, kami pilih IdeaLive, yang mampu memuatkan sehingga 5,000 penonton,” kata jurucakap Inteam.
Pihak penganjur memberi jaminan bahawa pembeli tiket terdahulu tidak perlu bimbang, mereka akan menerima tempat duduk istimewa dan keutamaan di zon masing-masing.
Urusetia akan menghubungi pembeli bagi tujuan pengesahan tempat duduk dan makluman rasmi pertukaran tarikh.
Sebagai tanda penghargaan, hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair juga akan diberikan kepada pembeli terawal.
Jualan tiket baharu akan dibuka pada 14 Jun 2025 (Sabtu) melalui platform Ticket Empire menerusi laman web rasmi konsert: www.kasihkekasih.com.
Konsert sempena ulang tahun ke-25 Inteam ini akan menampilkan lebih 25 lagu hits dan medley nostalgia, termasuk penampilan khas anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
Inteam turut merakamkan penghargaan kepada MINAZ Sdn Bhd selaku penaja utama, dan stesen radio Zayan, Era, Sinar dan Gegar yang bertindak sebagai rakan media rasmi.
Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Aplikasi Khair, yang mana Inteam merupakan duta rasmi dan pernah ditaja ke Perth dan New Zealand untuk persembahan serta rakaman program Kembara Selawat.
Menariknya, peluang penajaan dan kolaborasi masih dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin turut serta menjayakan konsert ini mahupun Jelajah Konsert Kasih Kekasih Malaysia yang dirancang selepas ini.
Kepada peminat yang terlepas membeli tiket sebelum ini, Inteam berpesan:
“Jangan risau, insyaAllah kita akan bertemu dalam konsert jelajah pula nanti.”