KUALA LUMPUR – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) memilih Dataran Pusat Islam Melaka (bersebelahan Masjid al-Azim) bagi penganjuran Karnival Mahabbah IKIMfm yang akan bermula pada 27 hingga 29 September ini.
Karnival Mahabbah IKIMfm telah menjelajah ke Johor Bahru dan Kuala Terengganu pada tahun ini serta memilih negeri Melaka sebagai destinasi seterusnya.
Menurut Pengarah Pusat Media IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad, penganjuran kali ini kembali semula ke selatan tanah air dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan beberapa agensi kerajaan negeri lain, serta masih lagi meneruskan kolobrasi Institut Pembangunan dan Pengurusan Johor (IPPJ) sebagai rakan pengurusan acara.
”Penganjuran di Melaka kali ini dilihat amat bertepatan kerana IKIMfm belum pernah berkunjung ke negeri bersejarah ini serta menjadikan lokasi ini sebagai sebuah penganjuran penting kerana di negeri Melaka terdapat tempat-tempat bersejarah.” Beliau berkata demikian, sewaktu Majlis Sidang Media Karnival Mahabbah IKIMfm yang diadakan di Bahagian Radio IKIM. Warga Melaka bertuah kerana karnival pada kali ini berjaya membawakan tokoh-tokoh agama yang hebat seperti Dr Zahazan Mohamed, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin, Ustaz Muhadir Hj. Joll, Ustaz Zul Ramli M.Razali, Ustaz Ebit Lew, dan ramai lagi.
Tentatif Karnival Mahabbah IKIM.FM 2013
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Haji Yaakub bin Md Amin berkata, karnival yang diadakan ini akan mencetuskan fenomena baharu di kalangan anak-anak muda.
”Karnival ini diharap dapat menjadikan satu destinasi santai bersama anak-anak muda untuk memperoleh ilmu dengan program-program bermanfaat sepanjang karnival berlangsung ini.”
Karnival Mahabbah IKIMfm akan disertai oleh penyampai IKIMfm yang akan turut memeriahkan sepanjang program berlangsung. Selain daripada itu, beberapa program yang telah disusun sepanjang tiga hari tersebut bermula dengan siaran langsung acara ”Dari Konti ke Pentas” melalui rancangan Topik Jumaat, Usrati, Usrah Nurani, Remaja@IKIMfm, Forum Bicara Ad-Deen IKIMfm serta tidak ketinggalan artis tanah air seperti Mawi, Ana Rafali, Hafiz Hamidun, Ar-Rayyan, Inteam, Far East akan memeriahkan pentas konsert melalui Konsert Mahabbah IKIMfm dan Maulid@IKIMfm.
Lebih 80 gerai jualan dan produk dijangka akan memeriahkan lagi karnival ini selain pelbagai acara untuk anak-anak termasuk kehadiran Upin dan Ipin. Untuk remaja, dibawakan khas Imam Muda Nazrul dan Ustazah Fatimah Syarha.
Karnival Mahabbah IKIMfm Melaka 2013 akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha bin Hj Nik Hassan.
Jumpa anda di sana!!!
Sumber: Ikim.FM.
– Munsyeed Dot Com