Radio Islam pertama negara, IKIM.FM tidak jemu-jemu mencari idea baru untuk memantapkan dan memeriahkan lagi penyampaian mereka.
Baru-baru ini, IKIM.fm tampil dengan slot terbaru sembang pagi yang lebih interaktif dan menghiburkan iaitu slot Warna Pagi IKIM.FM. Slot yang keudara bermula seawal jam 6 pagi dan berakhir pada 10 pagi ini dikendalikan oleh dua orang penyampai, Sufian Amrin dan Siti Rohani Surani.
Celoteh kedua-dua deejay ini begitu menceriakan suasana pagi di IKIM.FM. Keserasian Suffian Amrin dan Siti Rohani Surani menghidupkan slot Warna Pagi tersebut. Setiap pagi, mereka akan mengemukakan 1 topik untuk diperbincangkan bersama para pendengar dan ternyata sesi diskusi santai ini benar-benar memberi manfaat kepada para pendengar Radio Islam terkemuka IKIM.FM.
Apa yang menarik, slot ini turut menjadi batu loncatan buat Sufian Amrin atau lebih dikenali sebagai Pyan Saujana berjinak-jinak dalam bidang penyiaran apabila diberi tugas sebagai DJ.
“Apa yang kita mahukan disini adalah memberikan pendengar agar merasakan sesuatu yang lebih relaks. Maklum saja sebelah pagi, orang hendak ke pejabat dan mahu mendengar sesuatu yang lebih santai.”Ujar Suffian dalam satu temuramah yang dipetik daripada Harian Metro.
Menurut anggota kumpulan nasyid Saujana itu lagi, Radio Ikim.FM masih menjunjung budaya ilmu, tetapi beliau ingin mendekati pendengar dengan cara yang lebih santai dan relaks. Dalam pada itu, Sufian dan rakan setugas, Siti Rohani masih bercakap dalam ruang lingkup perkara yang memberi manfaat kepada pendengar Ikim.FM.
Melalui pendekatan sebegitu. Tampak jelas bahawa IKIM.fm telah mengambil langkah pro-aktif untuk menarik seberapa ramai pendengar mengikuti siaran radio yang bernaung sebumbung dengan sebuah agensi dakwah, Institut Kefahaman Islam Malaysia. -MUNSYEED.COM