IKIMfm dan Zayan Bersiaran Bersama Sempena Hari Radio Sedunia 2025!
IKIMfm x Zayan
Sempena Hari Radio Sedunia 2025, dua stesen radio yang terkenal dengan konsep Islamiknya, IKIMfm dan Zayan, buat julung kalinya mengadakan siaran bersama IKIMfm dan Zayan.
Penyampai Siti Rohani dari IKIMfm dan Lin Ariffin dari Zayan tampil untuk berkongsi cerita dan memperkenalkan slot masing-masing, menjadikan acara ini satu detik bersejarah dalam dunia penyiaran radio Islamik Malaysia.
Siaran langsung ini mendapat sambutan hangat daripada pendengar, terutamanya apabila Lin Ariffin sempat mengusik, “Netizen kata IKIMfm dan Zayan adalah competitor, macam gaduh-gaduh. Sebenarnya tidak.”
Siti Rohani pun tidak ketinggalan mencelah, “Kita macam adik beradik sebenarnya. Nak pula kita dua-dua stesen radio yang berkonsepkan Islamik.”
Lin mengulas, “Ini pertama kali kita bergabung (bersiaran bersama), audience mungkin berbeza niche tetapi objektif kita sama. Nak dapatkan ilmu, dakwah, nak memperbaiki diri dan sebagainya.”
Siti Rohani yang turut berkongsi keterujaannya, “Saya teruja sebenarnya sebab pertama kali kita bersiaran langsung bersama. Walaupun sekejap, tetapi sangat bermakna, terutama sempena Hari Radio Sedunia.”
Dalam sesi siaran tersebut, kedua-dua penyampai berkongsi pengalaman mereka dalam dunia penyiaran, fungsi serta peranan yang dimainkan oleh stesen radio masing-masing.
Mereka juga memperkenalkan slot-slot yang mereka kendalikan, menunjukkan bagaimana kedua-dua stesen berusaha menyampaikan mesej dakwah dan maklumat yang bermanfaat kepada pendengar.
Hari Radio Sedunia 2025 ini jelas menjadi satu platform untuk merapatkan hubungan antara dua stesen radio ini, walaupun mungkin berlainan, namun berpegang kepada objektif yang sama – menyebarkan ilmu dan kebaikan kepada masyarakat.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.