Baru-baru ini telah berlangsung Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Dalam majlis tersebut, pendakwah terkenal, Imam Muda Najdi telah menerima skrol untuk Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pengajian Quran Sunnah).
Ketika ditemubual baru-baru ini, IM Najdi melahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan semua yang banyak memberi dorongan dan doa kepada beliau.
“Perasaan saya bercampur baur sebab dalam sibuk pun, saya bersyukur sebab akhirnya dapat habiskan pengajian. Pada asalnya saya rasa tak mampu tetapi berkat doa semua, ibu bapa, keluarga dan guru-guru serta followers, saya bangkit semangat dan rasa sangat berbaloi atas semua usaha.” ujar IM Najdi.
Pengalaman Tidak dapat Dilupakan Di UKM
Bercerita mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan sewaktu belajar di UKM, IM Najdi berkata, “Pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan ialah apabila saya pernah kena marah dengan pensyarah hanya kerana saya ini menjadi imam muda.”
“Ada guru yang tidak setuju (saya menyertai program Imam Muda) kerana populariti itu sangat tidak sesuai. Biasalah, ada berbagai fikrah. Saya hormati pandangan mereka.” ulas IM Najdi.
“Sepanjang di UKM, saya pernah terlibat dalam pertandingan nasyid mewakili UKM dan (kumpulan nasyid UKM) pernah jadi johan seluruh IPTA Malaysia. MAKUM 2012 kalau tak silap saya.” cerita IM Najdi.
Walaupun aktif dengan kokurikulum dan aktiviti luar kampus, IM Najdi masih tidak mengabaikan pelajarannya dan ibu bapa banyak mendorong dan mengingatkan beliau.
Pesanan Buat Calon-Calon SPM 2014
“Kepada calon-calon SPM 2014 dan semua pelajar amnya, sama-samalah kita menjaga hubungan kita dengan Allah. Banyakkan membaca Al-Quran dan biasakan bangun malam (untuk bertahajud dan menghidupkan malam dengan ibadah kepada Allah). Disamping itu, perbanyakkan berpuasa.”
Priakustik, BIG MAQ dan Album Baru
Kami sempat bertanya IM Najdi mengenai kumpulan priakustik yang dianggotai beliau.
Menurut IM Najdi, beliau tidak dapat bergerak secara full time bersama Priakustik buat masa ini.
“Sekarang ini saya dengan Priakustik bercadang untuk tidak full time. Part time mungkin. Sebab dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk saya sertai mereka secara full time.”
Kelas Al-Quran dan Taranum yang akan dibimbing oleh IM Najdi dan ayahandanya, Ustaz Wan Mohd Noh
“Saya ada berhasrat untuk menganjurkan event yang diberi nama BIG MAQ – Bimbingan dan Motivasi Quran kelolaan syarikat sendiri IM Najdi Training Consultant. Event ini adalah hasil dari album terbaru saya, Al-Fatihah Tujuh Wajah.”
Album terbaru IM Najdi bersama ayahandanya, Ustaz Wan Mohd Noh berjudul Al-Fatihah Tujuh Wajah
“InshaAllah, saya plan untuk kukuhkan syarikat dan fokus dengan kelas Quran.”
Pihak kami dimaklumkan yang album Al-Fatihah Tujuh Wajah merupakan album terbaru IM Najdi yang menggandingkan beliau dan bapanya, Ustaz Wan Mohd Noh.
Album terbitan Iman EVI dan Universal ini akan memperdengarkan Bacaan Surah Al-Fatihah Dalam Tujuh Wajah Tarannum yang akan disampaikan oleh Ustaz Wan Mohd Noh dan IM Najdi.
Alhamdulillah, sejuk hati dengar perancangan IM Najdi untuk memberi fokus kepada pendidikan Al-Quran. Kepada mereka yang ingin menyertai kelas-kelas Al-Quran atau event anjuran IM Najdi, boleh layari Facebook IM Najdi.
Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang berderet diadakan sejak setahun dua ni. Ella, KRU, M. Nasir. Semuanya sold out dan menjadi bualan pmerhati muzik tanah air. Viral, tak boleh move on, tu yang diperkatakan
Dan untuk Inteam, Ahad ini di Axiata Arena, ia adalah segala-galanya. Kali ini lebih besar daripada konsert tahun lepas di Idea Live Damansara. Rasanya, konsert solo artis nasyid terbesar yang pernah dianjurkan di tanah Air.
Dalam satu pengakuan yang cukup jujur dan menyentuh hati, anggota kumpulan Inteam, Hazamin tidak berselindung tentang magnitud acara ini. Bagi mereka, Konsert Nur Kasih bukan sekadar satu lagi show dalam kalendar tahunan.
“Ini boleh jadi kemuncak kepada kejayaan dan karier kami,” akui Hazamin.
Kata-kata itu berat. Ia membawa makna bahawa selepas 25 tahun mengemudi bahtera nasyid, Ahad ini adalah puncak kepada apa yang telah mereka bina selama ini. “Kami sebelum ini tidak pernah bermimpi sebegitu. Jadi tak salah kalau kita katakan ini boleh jadi konsert terbesar kami, mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini,” tambahnya.
Darah, Keringat & Air Mata
Bagi kami di Munsyeed yang mengenali susuk kumpulan Nasyid ini secara peribadi lebih 20 tahun, kami melihat sendiri dengan mata kepala kami saat jatuh bangun mereka. Bermula dari duduk dibawah Hijjaz Records, kemudian bertatih sendiri dengan Inteam Records Sdn Bhd.
Mereka membina empayar mereka sendiri. Segala apa yang difikir boleh jalan, mereka redah sahaja. Dari penerbitan album, mengasah bakat-bakat baru, hingga ke penjualan buku dan produk-produk lain. Semua mereka dah lalui
Untuk sampai ke kemuncak show berskala besar, apatah lagi di venue prestij Axiata ini, laluan yang mereka daki untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Inteam telah berjalan melalui lurah dan jurang. Naik turun adalah benda biasa bagi Inteam.
Orang luar hanya nampak kilauan lampu pentas, tetapi Hazamin tampil membuka cerita tentang “fasa gelap” yang hampir menamatkan riwayat kumpulan ini.
“Detik paling rapuh? Ketika tonggak utama, Syahril jatuh sakit. Inteam ibarat hilang separuh nyawa”Tanpa berselindung Hazamin meluahkan apa yang terbuku di hati. “Alhamdulillah, kembimbangan tu beransur bila kami lihat perkembangan kesihatannya semakin baik lepas tu”
Namun, skrip Allah SWT itu cantik—kepedihan itu menjadi asbab kembalinya Hisyam, melengkapkan semula kepingan puzzle Inteam. Dan mereka dah tak menoleh kebelakang lagi dah.
Satu lagi fasa yang memeritkan apabila mereka terpaksa berdepan dengan zaman peralihan produk fizikal seperti CD dan kaset kepada dunia digital. Penggunaan Youtube, gejala ‘download’ dan kemunculan platform streaming benar-benar memberi tamparan hebat buat mereka.
“Bayangkan, empayar perniagaan kami yang selama ini bertunjangkan penjualan CD dan kaset tiba-tiba ‘lumpuh’. Aset menjadi liabiliti. Stok fizikal menimbun, tetapi pendengar sudah beralih ke alam maya.”
Hazamin menyifatkan fasa ini sebagai satu ‘kegawatan ekonomi yang teruk’—satu frasa sopan untuk menggambarkan detik nyawa-nyawa ikan bagi sesebuah syarikat rakaman.
Secara lebih terperinci, tempoh ini menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jualan fizikal, yang sebelum ini merupakan tunjang pendapatan utama syarikat rakaman. Cetak rompak digital yang berleluasa dan peralihan pengguna kepada platform perkongsian fail secara percuma telah melumpuhkan model perniagaan tradisional.
Ramai gergasi muzik tanah air tumbang dan gulung tikar di era transisi ini kerana gagal beradaptasi. Tetapi Inteam enggan menjadi ‘dinosaur’ yang pupus ditelan zaman. Mereka bangkit, belajar ‘berenang’ dalam gelombang teknologi baru, dan menyusun semula strategi.
Pertaruhan Segala-galanya
Bila kami tanya tentang konsert ini 25 Tahun Nur Kasih yang akan diadakan pada Ahad ini, tersimpan satu pertaruhan yang menggusarkan.
Cabaran utama konsert ialah mencapai sasaran jualan tiket dan sambutan tinggi, memandangkan kos penganjuran yang biasanya tinggi, kebanyakannya dibiayai modal sendiri dengan sedikit geran kerajaan. Oleh itu, strategi pemasaran, pengiklanan, dan kesedaran awam penting untuk memastikan konsert diketahui dan disokong melalui pembelian tiket.
“Ketika kami didekati oleh Iman Tang dari Icon Entertainment, sebuah nama yang tidak asing lagi dan dihormati dalam industri penganjuran acara di Malaysia, kami merasakan satu gelombang emosi yang bercampur-campur—rasa dihargai, diberi penghormatan yang tinggi, dan satu kesedaran baharu tentang potensi muzik nasyid”Kata Hazamin
Penglibatan ini merupakan bukti jelas bahawa genre nasyid bukan sahaja relevan, malah berhak mendapat tempat di pentas acara berprestij dan berskala besar.
Pendekatan strategik daripada tokoh seperti Iman Tang dan syarikat seperti Icon Entertainment telah membuka ruang signifikan untuk seni nasyid menembusi arus perdana. Sokongan padu peminat mengesahkan bahawa mesej nasyid bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga amat dinantikan oleh khalayak yang lebih luas.
Hazamin menjelaskan, “Oleh itu, kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Iman Tang dan seluruh pasukan Icon Entertainment. Kepercayaan mereka dalam membenarkan Inteam merealisasikan Konsert Nur Kasih ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah projek; ia adalah pengiktirafan penting terhadap genre nasyid. Sokongan padu ini telah membolehkan hasrat kami untuk mengangkat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi menjadi kenyataan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran acara nasyid di masa depan. Kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier kami.”
Pengiktirafan Gergasi & Legasi Masa Depan
Tetapi, adakah ini penamat Inteam? Tidak. Amin menegaskan selepas tirai di Axiata berlabuh, fokus mereka akan berevolusi—ke arah penerbitan, pencarian pelapis baru, dan misi antarabangsa.
Mereka mahu melihat pelapis baru bangkit, menjadi mainstream seperti era emas 1996-2000. Mereka mahu mewariskan legasi ini.
Namun untuk malam Ahad ini, ia adalah tentang Inteam. Ia adalah tentang meraikan puncak perjalanan suku abad mereka.
Seperti kata Amin: “Mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini.”
Jika anda mengaku peminat nasyid, anda wajib berada di sana. Kerana sejarah bakal tercipta.
Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi mengumumkan senarai lagu penuh yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan Inteam dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026.
Lebih mengujakan, konsert ulang tahun ke-25 ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang cukup istimewa merentas generasi, termasuk maestro muzik Datuk M.Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana, sekali gus memberi bayangan malam penuh kejutan, nostalgia dan momen sing-along yang tak mudah dilupakan.
Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihidangkan dengan deretan karya ikonik yang membina perjalanan Inteam selama lebih dua dekad. Antara lagu yang tersenarai ialah Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga dan lain-lain lagi.
Dengan gabungan set list yang sarat emosi dan tetamu jemputan yang pelbagai warna, Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih jelas bukan sekadar sebuah persembahan biasa tetapi sebuah “pertemuan semula” peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup ramai orang. Titik pertemuan inilah yang akan menyatukan seluruh peminat Inteam di malam konsert tersebut.
Setiap lagu yang akan dipersembahkan bukan hanya lontaran vokal semata-mata, sebaliknya ia dinyanyikan bersama memori kenangan yang akan turut bermain di minda penonton pada malam tersebut. Mungkin akan ada penonton yang terbayang momen sewaktu di zaman universiti, terkenang aktiviti gotong royong asrama di zaman sekolah dan tidak kurang juga memori sesi muhasabah program motivasi yang menggunakan lagu Damba Kasih dan lain-lain.
Kini, persoalannya tinggal satu: lagu mana yang paling anda tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai di Axiata Arena nanti?
Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan sahaja meriah dengan seleksi lagu yang dipertandingkan, malah ia menarik perhatian ramai pihak apabila artis solo versatil Hafiz Hamidun bergandingan dengan ikon dikir barat, Halim Yazid, menerusi lagu “Zikir Dikir.”
Keunikan “Zikir Dikir” terletak pada identitinya yang berani iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir dalam satu karya yang segar, mudah meresap dan dekat dengan jiwa.
Zikir Dikir adalah sebuah karya unik yang terhasil dari dua insan ikonik; Hafiz Hamidun dan Halim Yazid.
Di pentas ACI’25, gandingan Hafiz dan Halim terasa tepat pada tempatnya. Hafiz sememangnya dikenali sebagai penyanyi solo nasyid yang sinonim dengan rangkaian karya zikir dan terapi jiwa termasuk siri album “Zikir Terapi.” Manakala Halim Yazid pula sudah lama menjadi nama besar dalam Dikir Barat, dan kekal diingati ramai menerusi lagu malar segar “Anok Tupai.”
Persembahan mereka malam itu tampil bersahaja tetapi magis seolah-olah mengajak penonton “masuk” bersama getar zikir dan rentak dikir yang bersatu. Malah, dalam media sosial, ramai yang membuat hantaran gambar dan video menggambarkan suasana penonton yang sama-sama mengalun zikir ketika lagu itu dipersembahkan.
Lebih menarik, “Zikir Dikir” di ACI’25 turut diperkemaskan dengan susunan muzik yang segar menerusi iringan pemuzik orkestra dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, menjadikan persembahan terasa lebih grand tanpa menghilangkan roh tradisi yang dibawa Halim.
“Zikir Dikir” bukan sekadar satu lagu, ia menjadi simbol bagaimana nasyid boleh terus berevolusi: menghormati tradisi, namun tetap berani mencipta ruang baharu. Pada malam Anugerah Carta IKIMfm 2025, gabungan dua ikon ini membuktikan bila nasyid dan dikir dipertemukan dengan niat yang benar, hasilnya boleh jadi satu momen yang ikonik yang akan terus diingati.
Walau pun lagu ini tidak berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, tetapi persembahan ikonik ini akan terus tersemat dalam ingatan dan terpahat dalam sejarah industri nasyid itu sendiri.