Cabaran dua minggu di pentas Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) telah pun berlalu. Pastinya semua peserta GGV2 telah mula menyesuaikan diri di atas pentas di samping mula memahami corak dan rentak pertandingan realiti terbitan Astro ini. Kumpulan nasyid Inteam turut tidak terkecuali merasakan debaran sepanjang dua minggu berada di dalam program Islamik nombor satu Malaysia ini.
Untuk persembahan minggu yang kedua, Inteam telah mempersembahkan lagu tugasan ‘Kau Satu-Satunya’ nyanyian asal Ukays dengan menerapkan unsur latar masyarakat nelayan. Namun begitu, komen juri Oki Setiana Dewi mengatakan beliau kurang faham dengan konsep dan merasakan seperti ada sesuatu yang kurang.
“Secara peribadi rasa ada yang kurang, lirik begitu mendalam,” – Oki Setiana Dewi.
Bagi mendapatkan penjelasan berkenaan hal ini, Munsyeed Corner sempat menemubual anggota-anggota Inteam untuk menghuraikan pendekatan persembahan mereka pada Sabtu lepas.
https://youtu.be/lO7eUbUcjY8?t=2h6m25s
“Kami sudah merancang untuk menyesuaikan konsep persembahan dengan tema ‘Juk Juk Sejuk Mendengarnya’ dengan menyajikan suasana damai di perkampungan nelayan. Di samping ada tiupan seruling sambil menyelitkan mesej tauhid,” jelas Muhammad Hazamin Harun (Hazamin), salah seorang anggota kumpulan Inteam. Namun Hazamin berpandapat penjurian GGV kali ini sangat berfokus kepada vokal berbanding musim lepas.
“Penekanan sebenar tetap pada vokal dan tak dapat disangkal vokal Adeep memang sangat menyerlah dan padu. Jadi untuk minggu-minggu akan datang, kami akan lebihkan usaha pada vokal dan susunan suara,” tambah Hazamin. Adeep Nahar sekali lagi merangkul Anugerah Gema Kaseh pada GGV minggu kedua melalui persembahan lagu ‘Hijau’ nyanyian asal Dato’ Zainal Abidin.
Untuk tugasan minggu ketiga, Inteam telah dicabar untuk membawa lagu ‘Gemuruh’ nyanyian asal oleh Faizal Tahir. Lagu yang sangat popular dengan melodi dan lirik semangat ini juga sering mendapat tempat di acara-acara sukan dan program-program motivasi. Dengar cerita, Inteam sendiri sedang mencuba untuk menghubungi pemilik lagu Gemuruh iaitu Faizal Tahir.
“(Tujuan ingin menghubungi Faizal Tahir ialah) untuk mengetahui makna sebenar lagu ini mengikut perspektif penyanyi asalnya dan juga meminta doa, pesanan, serta nasihat dari beliau,” ujar Hazamin.
Pastinya lagu Gemuruh memberi cabaran hebat buat Inteam kerana lagu yang ber’genre’ rock ini akan diberikan nafas baharu dengan cara Inteam yang tersendiri.
Mengulas tentang tugasan yang diberi, Hisyam Ahmad (Hisyam Inteam) yang kini sedang bertugas sebagai Ketua Unit Pendidikan Sekolah di Jabatan Pendidikan Felda berpendapat lagu yang diberikan kepada mereka memiliki mesej yang amat mudah dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.
“Gemuruh ini lagu yang sangat berinspirasi. Rata-rata siapa yang mendengar lagu ini akan dapat merasa mesej yang ingin disampaikan.
“Insya Allah kali ini persembahan akan lebih fokus pada vokal dan susunan muzik. Mudah-mudahan dapat memberi kesan kepada penonton,” tambah Hisyam.
Inteam masih lagi bertahan bersama dengan 9 peserta yang lain untuk bersaing bagi minggu ketiga dengan tugasan lagu yang baharu. Semestinya sebagai penasyid yang bergerak dalam sebuah pasukan, banyak idea dan strategi yang perlu diraikan oleh Inteam untuk memastikan persembahan di minggu-minggu mendatang sentiasa meningkat kualitinya.
“Kami aplikasikan amalan musyawwarah (perbincangan) dalam setiap perkara. Selain itu, kami juga rujuk pada yang ahli dari segi vokal, muzik dan persembahan,” kata seorang lagi ahli Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid (Syah). Menurut Syah, apa yang utama ialah isi dan penghayatan dalam lagu itu dapat disampaikan dengan baik kepada penonton.
Gema Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung di saluran Astro Oasis 106 dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap hari Sabtu jam 9 malam. Rancangan ini juga turut disiarkan secara langsung di laman rasmi GGV dan juga laman rasmi YouTube Astro Gempak.
Kumpulan nasyid tersohor, Inteam, bakal mengembangkan lagi pengaruh mereka di persada antarabangsa menerusi Kembara New Zealand 2025.
Menerusi wawancara bersama Hazamin Inteam baru-baru ini, beliau mendedahkan bahawa kumpulan nasyid itu akan berada di New Zealand selama lapan hari, bermula 3 hingga 11 April 2025, untuk beberapa program istimewa.
Antara agenda utama mereka di sana adalah dua persembahan khas yang akan membawa mesej kedamaian dan ukhuwah Islamiah:
Persembahan pertama bersama NGO Asturlab, sebuah komuniti Muslim di New Zealand.
Persembahan kedua bersama komuniti Melayu anjuran An-Nida Trust di Christchurch, berdekatan Masjid Al Noor – lokasi tragedi berdarah yang meragut nyawa 51 syuhada dalam insiden tembakan pada 2019.
Selain itu, perjalanan kembara ini turut menjadi medan bagi Inteam untuk merakamkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di New Zealand serta rakaman video Akustik Inteam 2025.
Menurut Hazamin, kedua-dua kandungan eksklusif ini akan dimuatkan dalam aplikasi Khair, menjadikannya platform eksklusif bagi peminat menonton kandungan istimewa ini.
Sebelum ini, Inteam pernah berkolaborasi dengan Apps Khair dan menghasilkan Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di Perth, dan kali ini, jelajah mereka ke New Zealand dijangka lebih istimewa dengan penceritaan yang lebih mendalam mengenai perjalanan dakwah dan seni mereka.
Menariknya, trip ini ditaja sepenuhnya oleh Apps Khair dan Qudwah Group, dua entiti yang turut menyokong misi dakwah dan hiburan berlandaskan Islam.
Dengan kembara ini, nama Inteam dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai ikon nasyid yang bukan sahaja relevan di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Semoga perjalanan ini membawa manfaat dan inspirasi kepada semua!
Sempena sambutan Aidilfitri, industri muzik tanah air dimeriahkan dengan pelancaran single raya terbaru berjudul Manisnya Syawal.
Lagu yang sarat dengan kemeriahan dan kegembiraan Syawal ini dinyanyikan oleh Ustaz Manis, atau nama sebenarnya Ustaz Mohd Fadhly Hasbulah, bersama beberapa artis nasyid ternama – Azhary Ahmad, Razin, dan Khalil dari kumpulan Mestica.
Menariknya, Manisnya Syawal pada asalnya dirancang sebagai lagu solo Ustaz Manis. Namun, setelah perbincangan bersama penerbit bersama, Amin Nordin, tercetuslah idea untuk memperkayakan karya ini dengan gabungan suara harmoni daripada artis nasyid lain.
Keputusan ini bukan sahaja memberikan hasil produksi yang lebih segar, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan sesama peminat nasyid tanah air.
Perjalanan produksi lagu ini juga cukup unik. Ia mula digarap seawal Syawal 2023, sebelum proses rakaman diteruskan pada tahun 2024 dengan penambahan artis kolaborasi.
Rakaman muzik video pula disempurnakan pada Ramadan 2025, menjadikan projek ini mengambil masa yang cukup panjang untuk dihasilkan.
Hal ini kerana jadual padat Ustaz Manis sebagai seorang guru dan penceramah bebas, selain faktor lokasi beliau yang menetap di Pulau Pinang.
Antara komen yang diberikan oleh para pendengar di YouTube
Pun begitu, hasilnya nyata tidak mengecewakan apabila lagu ini berjaya dihasilkan dengan baik sekali hasil sentuhan Amin Nordin dan tim produksi yang lain dari Smart Audio. Lagu ini mendapat maklum balas yang positif di kalangan pendengar.
Keseluruhan produksi audio visual Manisnya Syawal dijalankan di Smart Audio Studio, Bukit Raja, Klang. Amin Nordin bukan sahaja bertindak sebagai penerbit bersama, malah turut memainkan peranan sebagai komposer, editor, dan videografer bagi muzik video lagu ini.
Dengan harapan besar, Manisnya Syawal diharap dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Ayuh, nikmati kemanisan Syawal dengan alunan merdu daripada Ustaz Manis, Azhary, Razin Mestica, dan Khalil Mestica.
Kehangatan Aidilfitri bukan hanya tentang kemeriahan dan kegembiraan, tetapi juga nilai persaudaraan yang merentasi kaum dan agama.
Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi muzik video Syawal Mulia, yang menampilkan pempengaruh terkenal Vijay Thirackumar sebagai model dan pengisi suara (voice-over).
Dalam video muzik ini Vijay membawa watak sebagai seorang lelaki berbangsa India yang mempunyai seorang bapa saudara beragama Islam.
Bapa saudaranya amat mengharapkan kepulangannya ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama saudara-mara yang sudah lama tidak bertemu.
Sebagai seorang anak saudara yang baik, Vijay berusaha sedaya mungkin untuk pulang dan menyantuni keluarga Muslimnya, mencerminkan eratnya hubungan kekeluargaan yang tidak terbatas pada agama.
Perpaduan dalam Kepelbagaian Menurut Ustaz Samad dari kumpulan Intisor, kehadiran Vijay dalam muzik video ini membawa mesej yang lebih besar – memperlihatkan bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam harmoni, saling menghormati adat resam dan kepercayaan masing-masing.
“Kita mahu menunjukkan bahawa walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya, perpaduan tetap boleh dicapai melalui nilai-nilai murni dan kasih sayang dalam keluarga,” ujar beliau.
Selain itu, Vijay juga dikenali sebagai seorang pempengaruh bukan Islam yang meminati muzik nasyid serta budaya Melayu-Islam.
Kehadirannya dalam Syawal Mulia menampilkan sisi unik dalam industri hiburan tempatan dan menjadi bukti bahawa keindahan seni boleh menyatukan hati tanpa mengira perbezaan.
Muzik video Syawal Mulia kini boleh ditonton di platform YouTube. Saksikan bagaimana Vijay membawa watak penuh makna ini dan raikan keindahan Aidilfitri dengan mesej perpaduan yang menyentuh hati!