JAKIM Jemput Artis, Bincang Garis Panduan Hiburan Dalam Islam
Antara artis yang hadir: Ustaz Amal, Amin Inteam dan Razin Mestica
Pada 5 Mei 2014, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Bengkel ini diterajui oleh Tuan Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jakim dan dihadiri oleh beberapa orang Ahli Panel Pakar Syariah Jakim, ahli akademik yang berkepakaran dalam bidang hiburan, wakil daripada RTM, TV Al-Hijrah dan penggiat seni hiburan.
Turut hadir dalam bengkel ini ialah Dato’ Haji Mustapha Kamal bin A. Razak, Pengarah Bahagian Media serta Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah. Manakala wakil penggiat seni hiburan pula terdiri daripada Farihin Abdul Fatah, Ustaz Amal, Amin Inteam dan Razin Mestica.
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk menambahbaik draf Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua agar ia lebih bersifat holistik dan komprehensif. Selama hampir tujuh tahun sejak ia pertama kali diterbitkan, beberapa kajian mengenai isu semasa yang bersangkut-paut dengan aspek hiburan telah dijalankan. Antaranya ialah:
Menjalankan kajian berkaitan Hukum Mengiringi Bacaan al-Quran dengan Lagu dan Menggunakan Matan Hadith, Terjemahan al-Quran Serta Terjemahan Hadith Sebagai Lirik Lagu;
Menjalankan kajian berkaitan Hukum Tarian Poco-poco dan Seumpamanya Menurut Perspektif Islam;
Menjalankan kajian berkaitan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang atau Peralatan Muzik Lain di dalam Masjid atau Surau; dan
Menjalankan kajian berkaitan berlawak menurut perspektif Islam.
Selain itu, maklum balas daripada pihak berkepentingan (stakeholder) turut diambil kira dalam usaha penambahbaikannya. Terdahulu, tiga orang panel penilai telah dilantik untuk mendapatkan sumbang saran mengenai kandungan garis panduan sedia ada.
Komposer dan penerbit, Farihin Abdul Fatah (berkopiah hitam) sedang menyampaikan sesuatu di bengkel tersebut
Peserta Bengkel
Antara yang hadir di bengkel tersebut
Wakil daripada JAKIM
Sesi Bergambar Selepas Bengkel
Antara artis yang hadir: Ustaz Amal, Amin Inteam dan Razin Mestica
Diharap usaha untuk menambah baik garis panduan ini dapat memandu pihak berkuasa, penganjur, penerbit dan semestinya pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti atau industri hiburan untuk menyediakan program hiburan dalam bentuk tontonan terpimpin.
Sumber: JAKIM.
– Munsyeed Dot Com
Munsyeed Admin
Admin dan Editor di Munsyeed Dot Com. Mula beroperasi sebagai agensi media bermula pada 3 Ogos 2010. Dibarisi warga kerja yang akrab, Munsyeed Dot Com mula membuat liputan berita dan artikel yang berkisar tentang hiburan Islam di Facebook yang penuh dengan magisnya yang tersendiri.