Jalin Ukhwah – Menteri Agama Main Badminton Bersama Inteam, Munsyid Malaysia
Suasana santai penuh ukhuwah tercipta apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar berkesempatan beriadah sukan badminton bersama kumpulan nasyid popular Inteam serta wakil-wakil MUNSYID Malaysia di Putrajaya, pada Rabu.
Sesi riadah itu turut disertai Presiden MUNSYID Malaysia, Muhammad Hazamin Harun yang juga ahli kumpulan Inteam, serta Timbalan Presiden MUNSYID, Wan Syahrul Amry Wan Mansor. Turut bersama, penyanyi Halim Ahmad (Devotees) dan Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Samsuddin, menjadikan pertemuan santai ini semakin meriah dan penuh nilai persaudaraan.
Dalam perkongsian di media sosial, YB Menteri mengimbau bait lirik lagu Inteam Akrab Persahabatan:
“Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan”
Katanya, riadah bukan sekadar menyihatkan tubuh badan, tetapi juga medan memperkukuh ukhuwah serta mengikat hati dengan keikhlasan.
Sentuh Hala Tuju Industri Nasyid
Menariknya, dalam sesi santai itu, Hazamin mendedahkan bahawa Dato’ Dr Mohd Na’im berhasrat untuk menerima cadangan bagi mengadakan pertemuan khusus bersama MUNSYID Malaysia bagi membincangkan hala tuju industri nasyid.
“Beberapa cadangan dan kertas kerja pembangunan industri nasyid turut kami serahkan kepada Dato’ Dr. Mohd Na’im sebagai bayangan awal. Semoga inisiatif ini menjadi langkah memartabatkan industri nasyid agar terus kekal sebagai medan dakwah Islam,” jelas Hazamin.
Perkongsian momen riadah dan ukhuwah ini nyata mencuri perhatian warganet serta peminat nasyid yang menyifatkan ia satu permulaan positif untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin agama, artis dakwah dan aktivis belia.
Sumber: Facebook YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Naim, Inteam.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.