Oleh: Helmi Razali
Pada 20 & 21 Ogos lepas, telah berlangsung Kem UNICnya Ramadhan anjuran Famili UNIC dengan kerjasama UNIC Nasyeed & Training Consultants. Program yang bertempat di Kem Nur Laman Bestari, Batu Caves ini dihadiri hampir 50 orang peserta dari pelbagai peringkat umur. Kemeriahan ditambah dengan penyertaan dari anak-anak yatim Rumah Silaturahim Qanaah.
Program rutin tahunan Famili UNIC ini telah diadakan buat kali ke-3 dengan sedikit kelainan yang istimewa untuk tahun ini. Berkonsepkan ‘kem motivasi’, Kem UNICnya Ramadhan dibantu oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada ahli Famili UNIC sendiri untuk membimbing peserta dalam kumpulan di setiap slot dan aktiviti. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang kem berlangsung termasuklah Bengkel al-Fatihah yang disampaikan oleh Fakhrul UNIC, “Bunyi Sungai” yang dikendalikan oleh Fadzli UNIC, Slot Anak Soleh yang dikendalikan oleh fasilitator mengikut kumpulan masing-masing, dan lain-lain aktiviti sampingan yang bermanfaat dan menghiburkan. Bersama kumpulan UNIC, menjadi kewajipan bagi setiap program, peserta didendangkan dengan persembahan nasyid secara santai sambil menikmati BBQ di tepi sungai mengalir.
Peserta-peserta kem diberi pendekatan dengan cara yang sesuai bagi menghilangkan rasa bosan sepanjang kem berlangsung terutamanya di kalangan peserta kanak-kanak, di samping meningkatkan tahap pengetahuan dan juga motivasi diri melalui wadah ilmu yang dikongsikan. Menariknya kem kali ini, UNIC menampilkan Ustaz Nabil iaitu seorang pengamal perubatan tradisional untuk turut menjayakan program. Peserta diberi peluang dan kesempatan oleh beliau untuk mengesan penyakit melalui tapak tangan.
Bagi mewar-warkan kemeriahan program, TV Al-Hijrah telah diundang untuk membuat liputan semasa majlis penutupan Kem UNICnya Ramadhan dan juga membuat rakaman video ucapan Hari Raya dari Famili UNIC. Kem UNICnya Ramadhan melabuhkan tirainya seusai penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dan sumbangan cenderahati kepada pihak Rumah Silaturahim Qanaah. Majoriti peserta memberikan respon yang baik terhadap pengisian modul melalui slot dan aktiviti yang dijalankan, dan menampakkan perubahan positif majoriti peserta tanda keberhasilan usaha dalam mencapai matlamat dan tujuan.
Famili UNIC mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Kem UNICnya Ramadhan 2011. Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan dan tajaan. Famili UNIC juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kecacatan sepanjang perjalanan kem tersebut.
Gelagat peserta sewaktu pendaftaran
.
Slot berkumpulan- Slot Bunyi sungai
.
Salah satu slot yang diadakan
.
Tazkirah disampaikan oleh Bazli UNIC
.
Slot bersama Ustaz Nabil Unic Syifa'.
.
Latihan Dalam Kumpulan- Bengkel Surah Al-Fatihah
.
UNIC bersalam dengan para peserta di akhir program
-Munsyeed{Dot}Com