Terkesan menyaksikan Palestin semakin dipinggirkan bersama isu kemanusiaan yang tidak pernah selesai, telah mendorong kepada penciptaan lagu “Kemenangan Untukmu” oleh KLAUT.
Bernaung di bawah label AJ Music Malaysia, KLAUT merupakan artis yang berkonsepkan duo akustik dengan membawakan lagu-lagu berunsur kemanusiaan dan ketuhanan. Dianggotai oleh Fikri Rafezin, 22, selaku vokalis dan ZaL Azman selaku gitaris, masing-masing yang berasal daripada Terengganu dan Pahang ini bergabung demi menyampaikan mesej di dalam lagu mereka.
Single pertama berjudul “Kemenangan Untukmu” ini ciptaan ZaL Azman dan liriknya dibuat bersama penulis lirik, Zara Alhaj. Menurut ZaL Azman, sebagai rakyat biasa, beliau tiada kuasa penuh untuk membantu umat Islam yang ditindas di serata dunia terutama di Palestin kecuali dengan “bersuara” melalui lagu. Tambahnya lagi, beliau ingin masyarakat kembali sedar tentang hakikat yang sedang berlaku di bumi Palestin hari ini.
“Saya mahu umat manusia sedar yang peta Palestin makin lenyap dari peta dunia, begitu juga dengan rakyatnya. Sebagai umat Islam kita tidak boleh membiarkan hal itu terjadi kerana Palestin adalah tempat suci umat Islam. Lebih-lebih lagi di situ tempat berlaku peristiwa penting umat Islam iaitu peristiwa Isra’ Mikraj.
Lagu Kemenangan Untukmu bukanlah lagu pertama ciptaan ZaL Azman dan Zara Alhaj. Pasangan komposer dan penulis lirik ini telah berpengalaman selama 6 tahun dalam bidang penciptaan lagu. Mereka hanya mula serius memasarkan lagu-lagu mereka ke pasaran mainstream sejak 3 tahun lalu. Antara lagu-lagu ciptaan mereka adalah Setia Menanti, Bukan Siapa Siapa, Inspirasi, Muhammad Ya Habiballah dan banyak lagi.
Menyanyikan lagu yang membawakan mesej universal bukan satu perkara baru bagi duo akustik ini. Sebelum merakamkan lagu single Kemenangan Untukmu, KLAUT sering membawakan lagu-lagu berunsur ketuhanan, kemanusiaan dan juga lagu-lagu balada cinta semasa setiap kali dijemput membuat persembahan di majlis-majlis peribadi. Jelas Fikri Rafezin, lagu Kemenangan Untukmu ini bukan sekadar sebuah lagu ketuhanan, malah ianya juga merupakan sebuah lagu cinta.
“Kemenangan Untukmu juga merupakan lagu cinta, tapi cinta dari sudut yang berbeza. Lebih kepada cinta sesama umat manusia.
KLAUT berharap agar mesej yang disampaikan akan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat kerana lagu ini menurut mereka ditujukan secara amnya kepada seluruh umat islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di Syria, Rohingya dan lain-lain. Lagu ini juga menurut mereka merupakan doa dan janji Allah bahawa Islam akan mencapai kemenangan di bumiNya.
Video lirik single Kemenangan Untukmu sudah boleh ditonton di laman Youtube AJ Music. Selain itu, lagu ini juga sedia diperdengarkan menerusi Spotify dan muat turun di iTunes.
Razman Shah, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular In-Heart, kini berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Difahamkan, Razman berada dalam keadaan kritikal dan beliau kini di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Isterinya setia berada di sisi beliau, menguruskan segala keperluan sepanjang tempoh rawatan.
Mohd Hafiz, salah seorang anggota kumpulan In-Heart, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Razman.
“Saya memohon jasa baik anda semua untuk mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diangkat segala kesakitan yang dialaminya ketika ini,” ujar Mohd Hafiz.
Kumpulan In-Heart terdiri daripada lima anggota iaitu Mohd Firdaus, Khairul Rizam, Razman Shah, Mohd Hafiz dan Mohd Khairi. Mereka pernah menyertai program realiti TV Akademi Nasyid dan tampil dengan album sulung berjudul Sakura.
Berita mengenai keadaan Razman mengejutkan ramai pihak, dan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta doa agar beliau segera pulih.
Sama-sama kita doakan semoga Razman Shah diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Lagu ‘Perjalanan’ yang dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat besar, Putra Aiman dan Haikal Iman, telah mencuri perhatian ramai pendengar muzik tanah air.
Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, video muzik lagu ini di platform YouTube telah mencapai jumlah tontonan yang membanggakan, iaitu melebihi 800,000 tontonan.
Lagu “Perjalanan” ini merupakan ciptaan komposer terkenal, Munif Hijjaz, dengan lirik yang ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Ia bergenre nasyid dan menampilkan melodi yang indah serta lirik yang menyentuh hati. Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan hidup manusia yang penuh dengan ujian dan cabaran, namun tetap perlu diteruskan dengan sabar dan tawakal.
Pencapaian ini membuktikan bahawa lagu ‘Perjalanan’ diterima baik oleh masyarakat. Rata-rata pendengar memberikan komen positif dan memuji vokal Putra Aiman dan Haikal Iman yang merdu serta penghayatan mereka dalam menyampaikan lirik lagu tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan oleh penonton di YouTube adalah:
“Lagu ini sangat menyentuh hati. Liriknya sangat mendalam dan membuat saya merenung tentang kehidupan.”
“Vokal Putra Aiman dan Haikal Iman sangat merdu. Saya suka mendengar lagu ini berulang-ulang kali.”
“Saya rasa terinspirasi setelah mendengar lagu ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus menjalani kehidupan ini dengan tabah.”
“Lagu ini sangat sesuai didengar ketika sedang bersantai atau dalam perjalanan jauh.”
“Saya harap Putra Aiman dan Haikal Iman terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini.”
Kejayaan lagu “Perjalanan” ini diharap dapat menjadi batu loncatan buat Putra Aiman dan Haikal Iman untuk terus mewarnai industri nasyid tanahair dengan lagu-lagu berkualiti seperti ini. Tahniah diucapkan kepada Putra Aiman dan Haikal Iman.
Mulanya, Halim hanya menyampaikan secara santai lagu sohor kini ‘Bukan Lagi Kita’ dalam kereta. Alih-alih, ramai pula peminat yang minta Halim nyanyi versi gitar.
Mengenali Halim, beliau tidak akan menghampakan perasaan peminat. Hasilnya, memang sedap! Ramai yang memuji nyanyian beliau dalam cover lagu “Bukan Lagi Kita”.
Halim Ahmad menyampaikan lagu yang penuh emosi ini dengan cara yang tersendiri. Tidak hairanlah ramai yang tertarik dengan versi cover beliau.
Lagu Bukan Lagi Kita memang popular dan sohor kini kerana menjadi runut bunyi untuk drama yang sedang popular, “Curang Tanpa Niat”.
Malah, lagu ini juga semakin mendapat perhatian setelah lagu ini turut di’cover’ oleh Biduanita Negara Dato Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Bukan Lagi Kita bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung pada 16 Februari 2025 di TV3.
Tahniah kepada Halim kerana menyampaikan lagu ini dengan ‘vibes’ tergamaknya sedap! Nak tonton lagu cover Bukan Lagi Kita oleh Halim Ahmad? Layari akaun Tiktok Halim disini: @halim.ahmad