Kolum
0 comments

Polemik Cinta Rasul, Ya Hanana.

by on November 16, 2013
 

Kebelakangan ini, acapkali kedengaran program Malam Cinta Rasul dianjurkan di sana sini. Seringkali kedengaran promosi dan hebahan berkaitan penganjuran Malam Cinta Rasul ataupun Majlis Berselawat. Program ini sudah semakin sebati dan selesa di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun sebelum ini, ianya telah lama wujud, tetapi kini ia hadir dengan pakej yang serba menjadi.

Malam Cinta Rasul, Kuala Lumpur Berselawat, Melaka Berselawat, Majlis Ya Hanana atau apa sahaja nama bagi mewakili program ini, kita pasti tahu akan apa yang terkandung di dalamnya. Sudah pasti yang ada adalah dendangan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beberapa rangkap qasidah, tazkirah dan lantunan lagu memuji kebesaran Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Sambutan yang diterima biasanya adalah menggalakkan. Jika dilihat fenomena ini, ianya seakan-akan sebuah pesta berselawat dan himpunan umat Islam bagi berkumpul mendendangkan qasidah dan selawat beramai-ramai. Amat jarang sekali kelihatan penganjuran program ini tidak mendapat sambutan. Berbanding persembahan-persembahan muzik biasa yang penonton sudah mulai mengurang.

Habib Syech Abdul Qadir Assegaf adalah watak yang paling mendapat tumpuan dalam setiap program atas nama tersebut. Beliau merupakan seorang ikon yang buat masa ini sentiasa mendapat tumpuan segenap pihak jika membincangkan perihal qasidah dan program selawat. Mana-mana sahaja program yang melibatkan beliau, angka kehadiran sangat memberansangkan.

Menyingkap akan fenomena ini, dimanakah ianya bermula?

Dan, di sebalik fenomena ini, mengapa muncul suara yang mempertikai?

Titik Permulaan

Saya tidak pasti bagaimana fenomena Habib Assegaf dan Program Berselawat ini bermula. Tetapi usaha menaikkan fenomena ini pada pandangan saya dibibitkan oleh Kumpulan Nasyid Inteam dan juga Kumpulan Al-Mawlid yang anggotanya di kalangan bekas penyanyi aliran perdana sebelum ini.

Seingat saya, ianya bermula pada tahun 2010. Ketika itu muncul sebuah poster berkaitan program Kuala Lumpur Berselawat. Antara yang terlibat ketika itu adalah kumpulan Inteam, Al-Mawlid dan Marjan. (Rujuk blog Hazamin Inteam di sini). Program ketika itu pun tampak sederhana dan masih dikatakan ‘sejuk’ lagi. Ketika itu musim facebook pun masih belum hangat melanda dan masih ramai yang berkongsi kisah-kisah kehidupan dan diari melalui blog peribadi.

Dalam masa yang sama, saya turut mengenal Syeikh Kyrel Al-Ghayauwi (saya tak tahu ini nama sebenar atau nama gelaran) yang namanya turut meningkat naik bersama sekalian ‘anak murid qasidahnya’ di kalangan pelajar-pelajar seiring meningkat naik program-program selawat ini. Bagi saya, Syeikh Kyrel ini mula mendapat perhatian dan meningkat ‘popular’ menerusi sebuah video klip yang menyanyikan lagu Cindai (Siti Nurhaliza) versi Selawat Ya Rasulullah. Deretan videonya di youtube menyebabkan beliau juga turut terlibat dalam kemunculan fenomena ini. Saya mendengar khabar, beliau kini salah seorang anggota kumpulan Al-Mawlid. (Lihat video Cindai versi Selawat disini)

Program seumpama ini semakin mendapat perhatian apabila mula bersiaran di stesyen televisyen. Stesyen tv bercorak keagamaan, TV AlHijrah membuat kerjasama untuk menganjur dan menayangkan sebuah program yang seingat saya dinamakan Cinta Masjid. Saban waktu sentiasa ada rancangan ini bersiaran di TV dan secara tak lansung program qasidah dan berselawat ini mula meresap ke benak segenap lapisan masyarakat.

Penganjuran program ini yang boleh disifatkan berstatus tinggi atau ‘mega’ mula tercetus dengan kehadiran tokoh qasidah yang terkenal di negara jiran Indonesia. Habib Syech Abdul Qadir Assegaf diimport oleh syarikat Inteam untuk membuat road tour di Malaysia. Seingat saya, itulah pertama kali Habib Syech tampil membuat persembahan secara live terbuka besar-besaran. Ketika itu, Inteam menganjurkannya di 3 lokasi iaitu Masjid Assyakirin KLCC, Dataran MBMB Melaka dan juga UPSI, Tanjung Malim.

Selepas daripada itu, berderet-deret program yang melibatkan Habib Syech di Malaysia. Semakin ramai pihak tertentu yang mahu menganjurkan program Malam Cinta Rasul, Malam Berselawat dan yang seumpamanya. Hinggakan ianya telah menjadi sebuah fenomena baru di kalangan rakyat Malaysia. Ianya masih lagi berfenomena sehingga artikel ini ditulis.

Suara Mempertikai

Di sebalik kemeriahan sambutan Malam Cinta Rasul atau lebih mesra di panggil majlis Ya Hanana, terdapat pula picisan-picisan suara yang mempertikai akan program ini. Ya Hanana merupakan salah satu judul qasidah yang sering dialunkan di setiap persembahan dan alunan ini telah melekat di bibir dan memori segenap umat hinggakan anak kecil pun menjadi minat akan alunannya.

Tidak tahu apa yang tidak kena, saya melihat terdapat usaha pihak tertentu yang sentiasa mahu mencari salah akan penganjuran program ini.

Lirik Ya Hanana dikatakan menyimpang dan boleh merosakkan aqidah.

Terdapat unsur membesarkan Nabi Muhammad melebihi yang sepatutnya.

Goyang badan tarian yang tidak mengikut syariat Islam.

Dan pelbagai lagi pertikaian yang bagi saya tidak perlu saya nyatakan. Ini semua boleh kita cari sendiri di enjin carian berkaitan siapa yang mempertikai, apa yang dipertikai dan macam-macam lagi.

Pada pendapat saya, perkara ini termasuk di dalam kepelbagaian pendapat. Dan para ulama juga berbeza-beza pendapat dalam menentukan sesuatu perkara. Dalam hal ini, saya tidak wajar untuk menghukum satu pihak dan memenangkan satu pihak. Bagi saya, perlunya bagi kita sebagai umat Islam untuk meraikan setiap perkara yang mendatangkan kebaikan dan bersepakat dalam setiap perkara yang membawa keburukan.

Para ulama terdahulu berbicara pada sudut ilmu. Apabila wujud kepelbagaian pendapat, di situ bukanlah perlu bagi kita menuduh pihak lain sebagai pendosa, pembida’ah, manakala hanya pendapat yang kita fahami sahaja dianggap satu-satunya pandangan yang betul dan sahih.

Kebanyakan umat melayu yang menterjemah bahasa arab khususnya bait-bait qasidah, bait syair arab tidak mampu menterjemah perkataan Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu seperti maksud sebenar bait itu digubah. Bahkan yang menggubah syair, qasidah itu bukannya orang sebarangan walhal mereka adalah orang terdahulu yang lebih dekat ‘tempohnya’ bersama Islam berbanding kita umat yang terkemudian.

Berlapang Dada

Marilah kita merenung sejenak akan setiap kebaikan yang ada. Pada ruang lingkup fenomena Ya Hanana ini, terdapat jalan kebaikan yang sangat banyak untuk di ambil pedoman. Ketika mana saat umat Islam berkumpul secara ramai dalam keadaan ikhlas tanpa paksaan. Dapat dilihat disitu kekuatan Islam menjelma melalui kesatuan hati antara satu sama lain. Berkumpul bagi sama-sama berselawat ke atas Rasulullah SAW. Fenomena ini bukan sesuatu yang tidak baik dan seharusnya kita raikan bersama-sama.

Cuma, merenung sejenak akan program ini, saya meneliti secara peribadi. Kewujudan tingkah laku yang tidak sepatutnya ada dalam penganjuran program seperti ini. Saya melihat terdapat segolongan kumpulan penonton yang hadir dengan sifat ghairah dan semangat yang berlebih-lebihan. Perbuatan terkinja-kinja, melonjak-lonjak, melompat-lompat seolah-olah menari yang keterlaluan adalah tidak sepatutnya berlaku.

Namun, ianya berlaku. Ianya berhubung kait soal akhlak. Adakah perlu bagi kita memuji dan berselawat ke atas Rasul dengan terkinja-kinja sedemikian rupa? Cukuplah sekadar goyangan badan secara sederhana dan refleksi tubuh bagi menunjukkan ada reaksi dari kita apabila berselawat ke atas nabi.

Bagi perkara ini, saya berharap untuk penganjuran akan datang, pihak penganjur mewujudkan sebuah skuad atau jawatankuasa disiplin bagi memantau dan mengawal tingkah laku penonton yang berperilaku keterlaluan. Bagi saya, ini wajar dan perlu. Boleh juga minta bantuan pihak polis atau pihak tertentu bagi memastikan penonton terkawal emosinya dan dapat memastikan program ini dianjur dengan tenteram dan sempurna. Saya sebagai penonton, jujur berasa kurang selesa dengan gelagat penonton yang bertindak liar dan keterlaluan ini.

APA KATA ANDA?

Loading Facebook Comments ...
Loading Disqus Comments ...
Be the first to comment!
 
Leave a reply »

 

Leave a Response