Maher Zain pada awal Januari 2017 yang lalu telah mengacah para peminat seluruh dunia mengenai karya terbaharu daripada beliau yang bakal disajikan. Walau bagaimanapun setelah lebih setahun ianya sepi tanpa sebarang khabar berita, baru-baru ini penyanyi yang juga pengasas bersama yayasan One Family kembali ‘mengusik’ para peminat setia beliau dengan memuat naik sebuah gambar promosi berserta tanda pagar #surprise di laman rasmi media sosial miliknya.
Penantian para peminat kini berakhir apabila hari ini muncul sebuah album baru yang istimewa daripada penyanyi popular kelahiran Lubnan itu.
Album yang diberi nama The Best of Maher Zain Live & Acoustic merupakan sebuah album yang menghimpunkan 14 buah lagu terbaik Maher Zain sepanjang penglibatan beliau di dalam industri muzik antarabangsa. Menariknya kesemua 14 buah lagu ini telah dipersembahkan oleh Maher Zain dengan gaya penyampaian yang sedikit berlainan daripada versi asal berserta susunan muzik baru yang lebih santai dan mengasyikkan.
Berikut adalah senarai lagu yang terkandung di dalam album The Best of Maher Zain Live & Acoustic:-
Insha Allah (Live & Acoustic)
Medina (Live & Acoustic)
One Big Family (Live & Acoustic)
Asalamu Alayka (Live & Acoustic)
Ramadan (Live & Acoustic)
For the Rest of My Life (Live & Acoustic)
Let It Go (Live & Acoustic)
Baraka Allahu Lakuma (Live & Acoustic)
One Day (Live & Acoustic)
Mawlaya (Live & Acoustic)
Peace Be Upon You (Live & Acoustic)
Number One for Me (Live & Acoustic)
Ummati (Live & Acoustic)
Ya Nabi Salam Alayka (Live & Acoustic)
Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, rakaman album ini telah dilakukan secara tertutup di hadapan sejumlah kecil penonton yang telah dijemput secara eksklusif untuk menyaksikannya secara langsung di Studio Wisseloord, Netherlands, sebuah studio yang juga pernah digunakan oleh artis-artis ternama antarabangsa seperti Michael Jackson, Elton John, Metallica, Paul McCartney dan ramai lagi.
Apa yang pasti para peminat Maher Zain sememangnya akan merasakan satu pengalaman yang berbeza apabila mendengar lagu-lagu kegemaran mereka kembali dipersembahkan di dalam album ini.
Album terbaharu Maher Zain diterbitkan oleh Awakening Worldwide dan dijangka akan mula berada di semua platform digital utama bermula 27 April ini. Bagaimana pun tempahan awal album ini sudah boleh dilakukan sekarang di iTunes dengan harga RM37.90.
Sikap penuh kasih sayang antara anak dan ibu kembali mencuri perhatian netizen apabila satu video tular memperlihatkan penyanyi dan peserta Talk To My Manager, Hadie, menghadiahkan kasut kepada ibunya yang juga personaliti terkenal, Ina Naim, di butik Ijmal.
Apa yang lebih mengharukan, Hadie bukan sekadar menghadiahkan kasut tersebut, malah dengan penuh hormat dan kasih sayang, beliau turut memakaikan sendiri kasut itu ke kaki ibunya – satu tindakan yang ramai netizen sifatkan sebagai simbol “act of service” seorang anak soleh yang menyantuni ibunya.
Video yang dimuat naik di media sosial itu kini telah mencecah lebih 85,000 tontonan dan meraih lebih 5,000 tanda suka, dengan komen-komen positif yang memuji keikhlasan dan kelembutan Hadie dalam melayani ibunya.
Antara komen yang menarik perhatian termasuk:
“Sejuk perut ibu mengandung. Moga Hadie terus berjaya dunia akhirat,”
“Beginilah cara seorang anak lelaki menghargai ibu tanpa perlu kata-kata.”
“bahagianya seorang ibu dilayan macam ini sebab ayahnya pun seorang yang cukup sopan”
“Didikan SS (Suhaimi Saad).. seorang bapa yang hebat.. Sejuk mata memandang..”
Sikap Hadie yang terkenal dengan keperibadian sopan dan mesra keluarga ini turut mencerminkan nilai sebenar kasih sayang yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda.
Ramai juga yang memuji hubungan erat antara Hadie dan Ina Naim yang sering ditonjolkan secara semula jadi tanpa dibuat-buat di media sosial.
Hadie yang merupakan finalis program Talk To My Manager Musim Pertama terbitan Astro, kini sedang rancak menyusun karier seninya dengan dibantu oleh Ina Naim yang bertindak sebagai pengurus.
Selain muncul dengan lagu Kias Cinta 2.0 yang dinyanyikan bersama kumpulan nasyid popular, Inteam dan Sallman Elkhoyri, Hadie juga dikatakan sedang dilamar oleh produksi drama yang berminat untuk mengambil Hadie berlakon dalam drama pendek.
Semoga keperibadian Hadie menjadi contoh kepada anak muda di luar sana.
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan Pakej Haji bagi Musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata Jawatankuasa Urusan Haji telah melaksanakan penilaian ke atas permohonan lesen daripada 60 buah syarikat. Setelah semakan teliti meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu, 31 syarikat telah diluluskan bagi musim 1447H/2026M berbanding 37 syarikat pada musim haji lepas.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan selaras dengan tanggungjawab TH sebagi peneraju urusan haji negara,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen. Semua bakal jemaah disaran menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam). Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu atau agensi yang terlibat dan menyeru semua umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar hanya berurusan dengan PJH yang sah dan dilesenkan oleh TH,” jelasnya lagi.
Senarai Syarikat Pengelola Jemaah Haji 1447H/2026M
TV AlHijrah meneruskan momentum inspirasi rakyat dengan tayangan episod kedua Projek Bangkit pada Sabtu lalu (25 Oktober 2025), menampilkan kisah perjuangan tiga usahawan asnaf yang bangkit menerusi bimbingan, ilmu dan keyakinan diri.
Projek Bangkit, yang mula bersiaran sejak minggu lalu, mengetengahkan kisah benar perjuangan usahawan kecil seluruh Malaysia yang tidak pernah menyerah kalah walaupun berdepan cabaran ekonomi dan kekangan modal. Program ini diterbitkan dengan matlamat untuk memberi inspirasi kepada masyarakat agar terus berusaha memperkukuh daya tahan ekonomi umat melalui keusahawanan berasaskan nilai Islam.
Selepas kejayaan episod sulung yang berpihak kepada usahawan penjagaan rambut iaitu Haziq Haime, episod kedua tampil lebih mencabar dengan persaingan tiga peserta hebat iaitu Mohd Asib Ismail Gany (Burger Asib), Kharudin Harun (Kraftangan Kayu) dan Nurul Asyikin Mohammad (Premium Cookies).
Ketiga-tiganya merupakan usahawan Muslim yang sedang mengorak Langkah di dalam bidang perniagaan serta dinilai oleh barisan juri berpengalaman yang terdiri daripada Dato’ Rosyam Nor, Ajak Shiro dan Talmizi Md Nor wakil usahawan berjaya dari MAIWP, manakala Amin Idris bertindak sebagai hos yang menyatukan semangat dan inspirasi sepanjang rancangan berlangsung.
Menutup tirai minggu kedua, Nurul Asyikin Mohammad diumumkan sebagai pemenang mingguan Projek Bangkit Episod 2 selepas berjaya menonjolkan strategi pemasaran yang mantap, teknik pemasaran kreatif serta inovasi produk Cocokins yang memperlihatkan potensi tinggi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, episod kedua ini memperlihatkan bagaimana keikhlasan dan kesungguhan mampu menukar titik lemah menjadi kekuatan baharu.
“Setiap peserta membawa kisah perjuangan berbeza tetapi semuanya membuktikan bahawa ilmu, peluang dan semangat mampu membuka jalan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Tambahnya lagi, Projek Bangkit bukan sekadar memberi ruang kepada peserta untuk membina perniagaan, malah menjadi platform pembentukan jati diri.
“Kami mahu peserta keluar dari zon selesa dan benar-benar memahami erti berdikari. Apabila mereka belajar merancang, berkomunikasi dan memasarkan produk sendiri, di situlah bermulanya kebangkitan sebenar,” jelasnya.
Disiarkan setiap Sabtu, jam 9.00 malam di TV AlHijrah, Projek Bangkit merupakan inisiatif strategik MAIWP dan TV AlHijrah untuk memperkasa komuniti asnaf melalui pendekatan realiti TV yang membimbing peserta secara praktikal, dari latihan asas perniagaan hingga cabaran dunia sebenar.
Episod kedua bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peserta, malah mengingatkan penonton bahawa setiap manusia berhak untuk bermula semula dengan berpaksikan usaha, bimbingan dan kepercayaan bahawa rezeki datang bersama niat yang baik.
Episod penuh Projek Bangkit boleh ditonton semula melalui YouTube TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus, manakala sorotan serta perkembangan peserta dikongsi di platform media sosial rasmi TV AlHijrah.
Projek Bangkit bukan sekadar rancangan televisyen, ia adalah gerakan perubahan, membuka mata masyarakat bahawa asnaf bukan golongan lemah, tetapi pejuang yang sedang mencari peluang untuk berdiri teguh di atas kaki sendiri.