Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) telah mencatatkan satu lagi sejarah penting apabila YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), merasmikan Kompleks Akademik UCMI di Dewan Jabir Ibnu Hayyan, Kampus Batu Muda, Kuala Lumpur. Perasmian ini menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan UCMI dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia dan memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan terkemuka di negara ini.
Dalam majlis penuh gilang-gemilang itu, YB Menteri telah menandatangani plak perasmian sebagai simbolik kepada pembukaan rasmi Kompleks Akademik UCMI. Perasmian ini turut disaksikan oleh barisan kepimpinan utama MAIWP dan UCMI, termasuk Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer; Pengerusi MAIWP, Datuk Mohd Nizam Bin Yahya; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Pengerusi Lembaga Pengarah UCMI, Dato’ Prof. Dr. Noor Inayah Binti Ya’akub, Ketua Pegawai Eksekutif UCMI; serta beberapa wakil anak syarikat MAIWP dan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penyerahan Cek Sumbangan RM1 Juta kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)
Pada kesempatan yang sama, YB Menteri turut menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Amanah Raya Trustees Berhad, menyerahkan cek pembayaran zakat perniagaan berjumlah kira-kira RM1 juta kepada pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ). Pembayaran zakat perniagaan ini merupakan satu usaha berterusan dari Amanah Raya Trustees Berhad dalam memenuhi tuntutan kewajipan sekaligus melambangkan kepercayaan penuh Amanah Raya Trustees Berhad ke atas pengurusan zakat oleh PPZ dalam memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan.
Kompleks Akademik UCMI: Fasiliti Pendidikan Bertaraf Dunia
Kompleks Akademik UCMI dibangunkan dengan visi untuk menyediakan ruang pembelajaran yang canggih dan kondusif kepada pelajar dan pensyarah. Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan universiti untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, kompleks ini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden yang mampu menyokong keperluan akademik yang semakin berkembang.
Antara fasiliti yang disediakan termasuklah bilik kuliah yang dilengkapi teknologi terkini untuk pembelajaran interaktif, makmal sains yang lengkap dengan peralatan canggih, serta surau dan dewan serbaguna yang dapat menampung pelbagai aktiviti akademik dan bukan akademik. Semua kemudahan ini dirancang dengan teliti untuk memastikan setiap aspek pendidikan di UCMI dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, selaras dengan objektif UCMI untuk menjadi sebuah institusi pendidikan bertaraf dunia.
Meningkatkan Kualiti Pendidikan dan Pembangunan Pelajar
Dengan adanya Kompleks Akademik UCMI yang baru, UCMI terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang mampu menghasilkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran global. Kompleks ini juga menjadi bukti sokongan padu dari MAIWP dan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam usaha membangunkan tenaga akademik dan penyelidikan yang berkualiti di negara ini.
Pembangunan Kompleks Akademik ini juga selari dengan matlamat UCMI untuk dinaikkan statusnya sebagai sebuah universiti penuh. Ini adalah langkah penting dalam memperkukuh kedudukan UCMI sebagai salah satu pusat kecemerlangan akademik, dengan memberi tumpuan kepada bidang pengajian yang relevan dengan keperluan industri dan masyarakat semasa.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar menyatakan, “Kompleks Akademik UCMI bukan sahaja satu kemudahan fizikal, tetapi ia juga merupakan simbol komitmen kita terhadap pendidikan berkualiti dan pembangunan modal insan. Saya percaya, dengan adanya fasiliti moden seperti ini, UCMI akan terus menjadi sebuah institusi pendidikan yang memberikan impak positif kepada pelajar dan komuniti di sekelilingnya. Saya juga berharap agar kompleks ini akan menjadi pusat inovasi dan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada negara.”