“Rasa tenang dengar nasyid versi ni…” – Peminat Puji Lagu Selawat Badar, Mestica Feat Pawana
Mestica Pawana - Selawat Badar
Kumpulan nasyid Mestica kembali dengan sebuah karya yang membawa pendengar mengimbau keindahan alunan selawat klasik menerusi lagu Selawat Badar.
Kali ini, mereka berkolaborasi dengan kumpulan Pawana, yang menyumbangkan kepakaran dalam permainan alat perkusi bagi menghidupkan semula suasana nasyid tradisional kontemporari yang popular sejak era 80-an.
Di bawah seliaan Syamsul Ridhuan selaku penerbit eksekutif, projek ini turut mendapat sentuhan Khairul Mestica dan Amin Nordin sebagai penerbit.
Rakaman, adunan serta mastering dilakukan oleh Amin Nordin di Smart Audio Studio, memastikan kualiti bunyi yang terbaik untuk mengangkat pesona karya ini.
Kekuatan utama lagu ini terletak pada keunikan gandingan Mestica sebagai vokalis utama dan Pawana yang mengiringi dengan paluan alat perkusi, menghasilkan sebuah lagu nasyid yang begitu dekat di hati peminat.
Rata-rata peminat memuji lagu ini kerana mengetengahkan instrumen muzik perkusi sepenuhnya. Konsep ini pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid legenda; Raihan sehingga meletakkan nama Raihan sebagai artis nasyid terkenal di peringkat antarabangsa.
Di sesetengah negara pula, penggunaan instumen muzik perkusi di dalam lagu nasyid lebih mendapat perhatian kerana keunikan instrumen muzik tersebut dan fahaman mazhab komuniti Islam di negara tersebut.
Sebelum itu, Mestica turut melancarkan Selawat Adnani hasil gandingan mantap bersama kumpulan Pawana.
Dengan konsep yang sama; nasyid tradisional kontemporari, alunan selawat ini turut mendapat perhatian peminat nasyid yang gemar dengan alunan selawat yang diiringi instrumen muzik perkusi.
Bagi peminat nasyid yang merindui alunan selawat dalam gaya yang autentik, jangan lepaskan peluang untuk menikmati persembahan istimewa ini. Sollu ’alan Nabiy!
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.