Assalamualaikum wbt, berikutan timbulnya persepsi yang kurang enak di kalangan teman-teman peminat nasyid berkenaan dengan isu pengguguran Mestica bagi Islamic Performance Night UIA sukalah kami untuk menjelaskan beberapa perkara demi kebaikan semua:
1. Kami mendapat maklumat daripada wakil penganjur melalui panggilan telefon pada Isnin 12/11 bahawa Mestica terpaksa digugurkan atas faktor kos bersama UNIC dan SAUJANA . Dengan itu hanya Hijjaz dan Devotees bakal meneruskan persembahan. Maka dengan itu kami telah berkongsi maklumat tersebut dengan teman-teman kami di fb.
2. Selepas itu kami dihubungi semula oleh pihak IPN bahawa maklumat yang disebarkan itu tidak tepat sedangkan kami kira maklumat yang diterima melalui telefon sebelum itu kami kira jelas dan terang.Sebab itulah kami menyebarkan maklumat tersebut di facebook.
3. Pengguran hanya 1 artis daripada 5 artis menimbulkan spekulasi dan persepsi negatif terhadap punca sebenar pengguguran Mestica. Secara logik dan pengiraan mudah, kos antara 5 dengan 4 artis tidaklah begitu jauh. Apatah lagi umum mengetahui artis-artis nasyid di Malaysia sangat felxible tentang soal bayaran malah adakalanya persembahan dibuat secara percuma kepada mereka yang layak.
4. Maka dengan itu timbullah persepsi, benarkah isu sebenarnya adalah kos atau Mestica yang sebenarnya bermasalah dengan penganjur? Dan jawapannya tentulah tidak sama sekali. Kami diberitahu oleh pihak IPN berkali-kali bahawa pengguguran Mestica sememangnya disebabkan faktor kos dan bukannya faktor lain.
5. Kami mungkin boleh menerima penjelasan tersebut namun kami tidak punya upaya untuk mengekang persepsi atau spekulasi negatif yang mungkin timbul ekoran tindakan pihak IPN terhadap Mestica. Sebagai artis nasyid soal imej dan reputasi sangatlah kritikal untuk kami pelihara namun malangnya isu ini mungkin boleh menjejaskan imej Mestica sendiri.
6. Perkara diburukkan lagi dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak IPN seolah-olah menggambarkan Mestica “memandai-mandai” menyebarkan pembatalan sedangkan kami hanya berkongsi maklumat dan kesedihan di fb dengan teman-teman tanpa langsung niat buruk sebagaimana yang diperjelaskan di perenggan pertama.
7. Secara jujurnya Mestica tidak punya sebarang masalah dengan pihak IPN dan kami berharap IPN dapat berlangsung dengan jayanya dengan artis-artis terlibat.
8. Namun kami menyarankan agar mana-mana penganjur konsert agar lebih sensitif dan berhati-hati terhadap tindakan pengguguran terhadap mana-mana artis yang terlibat dalam program yang dianjurkan. Apatah lagi andai promosi dan publisiti telah pun dibuat dengan meluas. Ia mungkin boleh menyelesaikan masalah anda namun boleh menimbulkan kesan buruk terhadap artis yang digugurkan.
9. Adalah lebih baik sekiranya perbincangan dibuat dengan pihak artis terlibat sebelum apa-apa keputusan dibuat kerana budaya musyawarah adalah satu sunnah yang insya allah akan membawa kepada natijah yang terbaik.
Semoga kenyataan ini akan dapat menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin masih timbul. Sekian dan Selamat tahun baru hijrah 🙂
– Mestica –