
Mohram mengungguli persembahan pada malam tersebut.
MOHRAM yang dianggotai Mohardiman Ismail (seruling) dan Ramli Hamid (rebana) tampil sebagai artis utama dalam pementasan muzikal Amanat Muzikhat dan di majlis perasmian sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF2012) di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu.
Majlis perasmian TIIAF2012 ini dirasmikan oleh DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Turut hadir ialah Ketua Pengarah IRCICA, Dr. Halit Eren, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Hj Ahmad B Said, YB Dato’ Hj. Mokhtar Bin Nong, Datuk Bandar Kuala Terengganu, YBhg Datuk Hj Mat Razali Kasim dan YBhg. Datuk Rozali Salleh, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.
Konsert muzikal akustik diterajui MOHRAM ini turut diiringi Syed Alwi al-Haddad yang memperdengarkan alunan qasidah dan pemuzik terkemuka termasuk kumpulan gamelan dari SUKTRA Terengganu selain penampilan pemuzik dan kaligrafer kelahiran Iran iaitu Bahman Panahi yang bermain alat muzik tradisional Arab. Lebih menarik, lagu-lagu yang dipersembahkan itu berselang-seli dengan qasidah dan zikir yang menceritakan mengenai kedatangan Islam ke rantau Nusantara.
Persembahan muzikal ini diilhamkan oleh komposer dan pengarah muzik, Farihin Abdul Fattah dimana sebanyak 12 lagu dari ketiga-tiga album MOHRAM didendangkan antaranya Sakti, Suluk, Pawana Pawaka dan Cahaya di Taman Suci.
Persembahan yang cukup energetik itu ternyata memukau penonton yang hadir di Konsert Amanat Muzikhat di Taman Tamadun Islam, Terengganu.
MOHRAM telah mendapat tajaan pakaian dari “QAMILLA SACC MALL”, sebuah butik mereka pakaian berciri tradisional dan kontemporari untuk persembahan mereka pada malam itu. Amanat Muzikhat diterbitkan oleh Shue Ellis Communications.
Untuk rekod, MOHRAM merupakan sebuah kumpulan muzik instrumental yang dianggotai oleh Mohardiman Ismail (seruling) dan Ramli Hamid (rebana). Mereka telah menghasilkan tiga (3) buah album iaitu, Sakti (2001), Antarssukha (2004) dan Alam by MOHRAM (2012). Kumpulan MOHRAM telah melakarkan sejarah tersendiri apabila menjadi antara kumpulan muzik yang telah berjaya mengangkat industri muzik Malaysia ke peringkat global. MOHRAM telah menghiburkan dan mengagumkan ramai peminat muzik dari seluruh negara termasuklah United Kingdom, Jepun, Amerika Syarikat, Denmark, Timur Tengah, Thailand, Switzerland, Argentina dan negara di Asia.
Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan sewaktu pementasan Amanat Muzikhat sedang berlangsung baru-baru ini:

Mohram dan para pemuzik yang mengiringi persembahan energetik Mohram.
.

Mohram bersama pemuzik handalan dari Iran, Bahman Panahi.
.

Mohram dan para pemuzik iringan menguasai pentas Amanat Muzikhat dengan persembahan yang cukup luarbiasa.
– Munsyeed{Dot}Com