
Poster Twins of Faith Australia
Artis solo Malaysia, Mu’adz Dzulkefly telah diundang oleh Jawatankuasa Penganjur Program Twins of Faith untuk mengadakan persembahan di Program yang cukup popular, Twins of Faith. Program yang mendapat sambutan luarbiasa dari peminat seluruh dunia itu pernah menjemput Mu’adz di program yang sama sewaktu ia diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu. Tertarik dengan persembahan energetik Mu’adz, mendorong penganjur untuk mengundang beliau buat kali kedua ke Melbourne, Australia.
Menurut Mu’adz, undangan yang beliau terima dari penganjur Twins of Faith sebenarnya merupakan satu penghormatan besar buat industri nasyid Malaysia. Ia sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada hasil karya seni Malaysia itu sendiri.
Menariknya, dalam persembahan itu nanti, Mu’adz akan menyampaikan beberapa buah lagu secara acapella tanpa iringan muzik. Sesudah itu, beliau perlu menghuraikan serba sedikit mengenai isi kandungan lagu tersebut.
“Pun begitu, ia satu cabaran buat saya untuk membuat persembahan kerana ia akan dinilai oleh semua peserta dan delegasi yang hadir ke program tersebut. Bagaimanapun, inshaALLAH, saya akan berusaha keras untuk melakukan yang terbaik demi memartabatkan industri nasyid Malaysia ke tahap global.” kata Mu’adz.

Mu’adz Dzulkefly.
Dalam temubual tersebut, Mu’adz berharap agar usaha mengangkat martabat industri nasyid dapat diteruskan dan dijayakan oleh semua pihak. Setiap usaha artis dan mereka yang terlibat dalam industri ini perlulah disokong agar ia kekal relevan dan menarik minta ramai untuk mendekatkan diri kepada Islam.
Mu’adz turut berharap agar musafir dakwah beliau kali ini dipermudahkan segala urusan dan selamat pergi serta selamat pulang ke destinasi yang dituju.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu dan ayah saya, keluarga saya, khusus kepada Susi Nurani isteri saya di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan juga kedua anak saya Amira dan Ammar seterusnya teman-teman semua. Semoga apa yang kita usahakan ini mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.” -jelas Mu’adz menutup bicara. -Munsyeed{Dot}Com