Munsyid Malaysia Beri Sokongan Penuh Kepada Konvoi Sumud Nusantara & Malam Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza
Munsyid Malaysia
Barisan kepimpinan tertinggi dan ahli jawatankuasa Munsyid Malaysia sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap Konvoi Sumud Nusantara dan Antarabangsa, serta penganjuran Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos 2025 di Dataran Merdeka.
Pengumuman tersebut dibuat sempena Retreat Munsyid Malaysia 2025 di Ibis Styles Hotel, Bandar Sri Damansara, yang turut membincangkan peranan munsyid sebagai penggiat seni dakwah dalam isu kemanusiaan global.
Setiausaha Agung Munsyid Malaysia, Saudara Muhammad Mahdi bin Mohd Tholaat berkata:
“Mesyuarat Exco yang kami adakan semalam memberi fokus bukan sahaja kepada pelan tindakan organisasi, tetapi juga peranan kami sebagai penggiat seni dakwah dalam isu-isu kemanusiaan global. Kami bersetuju secara rasmi untuk menyokong penuh kempen ini dan mengambil peranan aktif dalam menjayakannya.”
Sementara itu, Timbalan Presiden Munsyid Malaysia, Wan Syahrul Amry Wan Mansor menyeru seluruh ahli dari seluruh negara hadir ke Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 23 Ogos ini sebagai simbol kesatuan dan solidariti.
“Saya menyeru seluruh ahli Munsyid Malaysia dari seluruh negara agar hadir bersama pada 23 Ogos ini. Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa munsyid bukan hanya penyampai lagu, tetapi juga penyampai suara ummah.”
“Kita akan laksanakan satu Himpunan Penasyid dan Penggiat Nasyid terbesar di Dataran Merdeka sebagai simbol kesatuan dan sokongan terhadap rakyat Palestin.”
Beliau turut menyarankan agar semua ahli menukar gambar profil media sosial masing-masing kepada profil khas Sumud Nusantara dan Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza, sebagai simbol solidariti dan sokongan berterusan di alam maya.
Retreat Munsyid Malaysia 2025 yang diadakan pada 13 Ogos 2025 ini juga menyaksikan pembentangan pelan jangka pendek dan panjang bagi penggal 2025–2027. Seramai 17 orang termasuk Majlis Tertinggi, Exco dan Penolong Ketua Biro hadir dalam sesi tersebut, yang turut dipantau oleh dua orang auditor dalaman yang dilantik.
Munsyid Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk menjadi suara dakwah yang relevan, berwibawa dan responsif terhadap isu-isu semasa yang menyentuh umat Islam sejagat.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.