Munsyid Malaysia tampil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) yang sekali lagi menjadi medan pengiktirafan tertinggi buat insan seni tanah air.
Menurut Timbalan Pengerusi Munsyid Malaysia, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, pihaknya amat berbangga melihat senarai pencalonan tahun ini, khususnya dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik dan Vokal Kumpulan Terbaik.
“Pencalonan ini membuktikan bahawa genre nasyid terus relevan, berkembang maju, dan mempunyai tempat istimewa di hati peminat muzik Malaysia. Kualiti karya yang tercalon juga mencerminkan kematangan serta kreativiti luar biasa daripada komposer, penulis lirik, dan artis,” katanya.
Wan Syahrul menegaskan, Munsyid Malaysia akan terus menyokong penuh penganjuran AIM pada masa depan kerana platform sebegini bukan sahaja memberi pengiktirafan sewajarnya kepada penggiat seni nasyid, malah mampu memastikan genre Islami itu terus bernafas segar dalam arus perdana.
Calon Akhir AIM 24 yang Membanggakan Dunia Nasyid
Beberapa nama besar industri nasyid berjaya menembusi senarai Top 5 AIM 24, sekali gus membawa kegembiraan buat peminat.
Vokal Kumpulan Terbaik
- AWLA – Ulul Azmi
- Inteam – Nasab Nabi
Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik
- Hafiz Hamidun & Ruffedge – Batu Hitam
- Ustaz 3 Beradik & Fadzli Far East – Putusnya Butir Tasbihku
Lagu Nasyid Terbaik
- Hanya Dia – Aiman Sidek & Halim Ahmad (Aiman Sidek)
- Ulul Azmi – Awla feat. Jenny Nadhirah Chin (Azahari Abd Rahman, Azalinor Abd Rahman, Wan Saleh / Suffian Amrin, Idzhar Jumali, Zuhaidi Abd Aziz)
- Biar Satu Dunia Tahu – Faizal Tahir & Mirwana (Fahimi Rahmat, Firdaus Rahmat, Faizal Tahir)
- Kudus Palestin – Lah Ahmad & Inteam (Syah Inteam / Ito Lara)
- Putusnya Butir Tasbihku – Ustaz 3 Beradik (Fadzli Far East / Hazalinda)
Sokongan & Harapan
Munsyid Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua calon akhir dan menyifatkan kejayaan menembusi peringkat tersebut sudah menjadi satu kemenangan besar buat industri muzik tempatan, lebih-lebih lagi genre nasyid.
“Sekalung tahniah buat semua calon akhir. Kami mendoakan agar anda beroleh kejayaan, dan semoga industri muzik Malaysia, khususnya nasyid, akan terus mekar memberi inspirasi kepada semua,” tambah Wan Syahrul.
AIM 24 dijangka menjadi pentas penuh berprestij yang bukan sahaja meraikan kreativiti dan bakat, tetapi juga mengukuhkan kedudukan muzik nasyid sebagai sebahagian daripada arus utama industri hiburan tanah air.