Awal tahun ini, sebuah pertandingan nasyid yang menjanjikan hadiah berupa wang tunai sebanyak usd 3000 telah diumumkan oleh Nasyeed.Com melalui laman media sosial rasmi mereka. Kewujudan pertandingan ini telah menarik perhatian ramai pihak termasuk dari luar negara atas penawaran hadiah yang cukup lumayan. Sehingga hari ini, pertandingan yang melibatkan 5 buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura ini telah menerima bilangan penyertaan yang tinggi dari kesemua negara terbabit.
Melihatkan kepada sambutan hangat yang diterima, Qaseh Gold yang merupakan penaja hadiah utama pertandingan Nasyeed Cover Song 2015 telah menggandakan jumlah wang hadiah utama daripada USD 3000 kepada USD 6000 (+/-RM20,000).
Bercakap tentang proses pemilihan peserta, sebanyak 5 penyertaan dari setiap negara akan dipilih untuk menyertai peringkat saringan Nasyeed Cover Song 2015, jelas Aizat selaku wakil pihak penganjur. Peserta yang terpilih akan dibawa ke Malaysia untuk menjalani peringkat yang seterusnya.
Setiap peserta akan dinilai oleh panel juri professional yang terdiri daripada Daqmie, Noh Salleh dan juga cikgu Puan Siti Hajar. Mereka bukan sahaja akan dinilai dari segi bakat dan kreativiti, aspek karakter dan ilmu pengetahuan peserta juga turut akan diambil kira oleh panel penilai menerusi program dan aktiviti yang diaturkan oleh pihak penganjur di Malaysia.
Selain hadiah wang tunai dan hamper barangan, pemenang pertandingan Nasyeed Cover Song 2015 akan turut berpeluang untuk merakamkan single pertama di bawah bimbingan mereka yang cukup berpengalaman dalam industri muzik.
Untuk maklumat lanjut mengenai Nasyeed Cover Song 2015, layari laman rasmi pertandingan di http://cover.nasyeed.com. Setiap penyertaan hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup penyertaan pada 30 April 2015.
Kredit foto: Muadz Dzulkefly
– Munsyeed