Disclaimer: Gambar sekadar hiasan semata-mata.
Salam Ramadhan bulan mulia penuh keberkatan semua. Apa isu EP di bulan puasa ni? Mungkin itu persoalan yang berligar di kotak fikiran anda semua.
Alhamdulillah, sempena bulan Ramadhan ini EP tak ada isu sangat…sikit-sikit saja. Hormat bulan mulia. Lagipun isu apalah sangat yang EP utarakan selama ini? Sekadar menyatakan kebenaran mencelik mata dan terkadang tercubit kuat sikit saja. Kepada yang merasa diri dicubit tu buatlah perubahan atau berilah penjelasan agar jernih segala kekeruhan.
Sempena bulan Ramadhan ni, penasyidlah yang paling sibuk. Betul tak? Penasyid dari sekecil-kecil anak hingga sebesar-besar bapak sibuk dengan undangan di majlis berbuka puasa di hotel-hotel, rumah-rumah orang kenamaan, Jabatan-Jabatan Kerajaan, syarikat-syarikat swasta yang kaya hingga ke masjid-masjid dan surau-surau seluruh Malaysia.
Bukan saja dijemput mengadakan persembahan nasyid, qasidah, selawat dan seumpamanya sebelum/selepas berbuka puasa malah ada yang dijemput menjadi penyampai tazkirah dan Imam Terawikh ditempat-tempat tersebut. Terutama penasyid yang bertitle ‘hafiz’ (Bukan Hafiz Hazidun ya!). Setelah selesai akan diberi upah atau bayaran tertentu sebagai imbalan.
Rezeki penasyid memang melimpah ruah pada bulan Ramadhan ini. Ada yang dapat membuat persembahan beberapa hari pada satu-satu tempat malah ada yang mendapat undangan sebulan Ramadhan. Murah rezeki penasyid.
Begitulah keistimewaan orang-orang yang sentiasa membuat kebaikan hingga di pandang dan diangkat tinggi. Teruskan usaha-usaha murni ini hingga habis bulan Ramadhan dan dibulan-bulan yang lain juga. Dakwah tiada henti hingga nafas terakhir.
Nasihat EP kepada mereka yang mendapat jemputan tu, galaslah tanggung jawab ini dengan ikhlas dan sepenuh hati. Jangan asal ada bunyi cukup, Tak peduli sumbang mambang menyanyi, tidak betul-betul memenuhi kehendak penganjur dan yang paling penting menepati masa yang ditetapkan. Pamerkan akhlak mulia, penampilan yang sempurna dan imej yang positif (sejuk mata memandang).
Satu lagi yang meriah di bulan Ramadhan ini adalah penghasilan single lagu Ramadan dan hari Raya. Boleh kata setiap minggu banyak single-single yang diterbitkan sekali dengan Muzik Video (MV) di channel YouTube masing-masing. Berbagai genre lagu Ramadan dan raya dihasilkan. Ada yang boleh dipuji tak kurang juga yang didengar dan dipandang ngeri.
EP ada terjumpa sebuah MV penyanyi seperti nasyid dipaparkan di media sosial penasyid. Kolaborasi dua orang penyanyi lelaki. Yang seorang tu nampak jernih mukanya, sedap suaranya dan ada keihlasan di matanya. Seorang lagi tu agak jernih mukanya namun kurang nampak keikhlasan di matanya dan disorok disebalik kacamata bulatnya. Bakat nyanyiannya pun ala-ala saja dan rambutnya yang panjang berserabut mengalahkan baju penyanyi Nina Bendul di AJL 388 baru-baru ini. Apa yang nak tampilkan pun tak tahu tetapi rambut itu melambangkan keserabutan jiwa yang bercabang-cabang ketidaktentuan masa depan di dalam industri. Mungkin anda boleh memakai kopiah atau songkok ataupun topi bagi mengemaskan rambut panjang anda. Contohilah penasyid Daqdemie yang berambut panjang tetapi penampilannya kemas dengan memakai stokin salji kepala (snow cap) atau scarf lelaki. Tunjukkan imej yang bersih dan rapi sesuai dengan genre lagu yang anda dendangkan.
EP: Jangan takut atas penilaian orang lain terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikmu. Tetapi takutlah atas penilaian Allah terhadapmu kerana kehidupanmu adalah milikNya.
Penafian: Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Munsyeed Dot Com