Industri nasyid tanah air terus menunjukkan perkembangan positif apabila produk-produk baru terus dihasilkan oleh penggiat industri nasyid. Terbaru, dua kumpulan nasyid – Izyan yang terdiri daripada kumpulan nasyid muda, dan Soutul Amal yang merupakan kumpulan nasyid legenda – tampil dengan sebuah projek kolaborasi istimewa, iaitu single remake lagu popular ‘Manusia’ yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1998. Lagu ini kini diberikan nafas baru dengan versi 2024.
Single ‘Manusia (2024)’ yang merupakan hasil ciptaan dan lirik oleh Abdul ‘Alim Zakaria, ahli kumpulan Soutul Amal, kini hadir dengan susunan muzik yang lebih moden dan segar. Menurut pengarah projek ini, Imtiaz Simfoni, “Single ini tercetus daripada pelawaan Izyan kepada Soutul Amal ketika mereka bertemu dalam sebuah program. Di akhir program, kedua-dua kumpulan mencapai kata sepakat untuk menerbitkan lagu duet bersama, yang akhirnya melahirkan ‘Manusia (2024)’.”
Fadzil Rushdan, ahli kumpulan Izyan, berkongsi bahawa lagu ‘Manusia’ nyanyian asal Soutul Amal telah menyentuh hati mereka kerana melodi dan mesej yang mendalam. “Kami rasa lagu ini masih relevan hingga kini, dan kami ingin memberikan nafas baru dengan sentuhan muzik moden. Kami berharap lagu ini dapat memberi kesedaran kepada pendengar tentang kealpaan masyarakat zaman ini,” katanya.
Lagu ini, yang menggambarkan kealpaan dan kelalaian manusia dalam menghadapi cabaran dunia moden, menyentuh isu kemajuan teknologi yang kadangkala membawa kepada kelalaian. Ia menyeru agar kita semua merenung kembali diri, memuhasabah, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Abdul ‘Alim Zakaria dari Soutul Amal menjelaskan, “Lagu ini menyorot realiti dunia sekarang yang kian tenat dengan peperangan, perbalahan, dan cabaran. Melalui lagu ini, kami ingin mengingatkan masyarakat agar tidak terleka dengan kemajuan dunia, sebaliknya terus mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan ibadah dan kebaikan.”
Penghasilan Lagu dan Video Muzik
Rakaman lagu dan penggambaran video muzik ‘Manusia (2024)’ telah diterbitkan dan diuruskan oleh Imtiaz Simfoni, dengan penggambaran dijalankan di Studio Smart Audio di Bandar Bukit Raja, Klang. Studio ini dimiliki oleh Amin Nordin, seorang juru audio terkenal dalam industri nasyid tanah air. Rakaman melibatkan seramai tujuh orang artis dan dua kru studio untuk merealisasikan video muzik lagu ini.
Firdaus Sahidin, wakil dari kumpulan Soutul AmalL, menyatakan, “Kami berharap lagu ini akan diterima dengan baik oleh peminat Izyan, Soutul Amal, serta semua peminat irama nasyid dan lagu-lagu ketuhanan. Semoga lagu ini dapat memberi kesedaran dan mengajak kita semua untuk lebih dekat kepada Allah.”
Single ‘Manusia (2024)’ kini boleh didengar di pelbagai platform digital seperti Spotify, Joox, iTunes, Deezer, Kkbox, serta boleh ditonton video muziknya di saluran YouTube rasmi Soutul Amal. Lagu ini juga boleh diminta di stesen-stesen radio.
Razman Shah, salah seorang anggota kumpulan nasyid popular In-Heart, kini berada dalam keadaan kritikal akibat masalah jantung dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Difahamkan, Razman berada dalam keadaan kritikal dan beliau kini di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Isterinya setia berada di sisi beliau, menguruskan segala keperluan sepanjang tempoh rawatan.
Mohd Hafiz, salah seorang anggota kumpulan In-Heart, memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Razman.
“Saya memohon jasa baik anda semua untuk mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga diangkat segala kesakitan yang dialaminya ketika ini,” ujar Mohd Hafiz.
Kumpulan In-Heart terdiri daripada lima anggota iaitu Mohd Firdaus, Khairul Rizam, Razman Shah, Mohd Hafiz dan Mohd Khairi. Mereka pernah menyertai program realiti TV Akademi Nasyid dan tampil dengan album sulung berjudul Sakura.
Berita mengenai keadaan Razman mengejutkan ramai pihak, dan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat serta doa agar beliau segera pulih.
Sama-sama kita doakan semoga Razman Shah diberi kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
Lagu ‘Perjalanan’ yang dinyanyikan oleh penyanyi muda berbakat besar, Putra Aiman dan Haikal Iman, telah mencuri perhatian ramai pendengar muzik tanah air.
Sejak dilancarkan tiga bulan lalu, video muzik lagu ini di platform YouTube telah mencapai jumlah tontonan yang membanggakan, iaitu melebihi 800,000 tontonan.
Lagu “Perjalanan” ini merupakan ciptaan komposer terkenal, Munif Hijjaz, dengan lirik yang ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
Ia bergenre nasyid dan menampilkan melodi yang indah serta lirik yang menyentuh hati. Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan hidup manusia yang penuh dengan ujian dan cabaran, namun tetap perlu diteruskan dengan sabar dan tawakal.
Pencapaian ini membuktikan bahawa lagu ‘Perjalanan’ diterima baik oleh masyarakat. Rata-rata pendengar memberikan komen positif dan memuji vokal Putra Aiman dan Haikal Iman yang merdu serta penghayatan mereka dalam menyampaikan lirik lagu tersebut.
Antara komen yang ditinggalkan oleh penonton di YouTube adalah:
“Lagu ini sangat menyentuh hati. Liriknya sangat mendalam dan membuat saya merenung tentang kehidupan.”
“Vokal Putra Aiman dan Haikal Iman sangat merdu. Saya suka mendengar lagu ini berulang-ulang kali.”
“Saya rasa terinspirasi setelah mendengar lagu ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus menjalani kehidupan ini dengan tabah.”
“Lagu ini sangat sesuai didengar ketika sedang bersantai atau dalam perjalanan jauh.”
“Saya harap Putra Aiman dan Haikal Iman terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini.”
Kejayaan lagu “Perjalanan” ini diharap dapat menjadi batu loncatan buat Putra Aiman dan Haikal Iman untuk terus mewarnai industri nasyid tanahair dengan lagu-lagu berkualiti seperti ini. Tahniah diucapkan kepada Putra Aiman dan Haikal Iman.
Mulanya, Halim hanya menyampaikan secara santai lagu sohor kini ‘Bukan Lagi Kita’ dalam kereta. Alih-alih, ramai pula peminat yang minta Halim nyanyi versi gitar.
Mengenali Halim, beliau tidak akan menghampakan perasaan peminat. Hasilnya, memang sedap! Ramai yang memuji nyanyian beliau dalam cover lagu “Bukan Lagi Kita”.
Halim Ahmad menyampaikan lagu yang penuh emosi ini dengan cara yang tersendiri. Tidak hairanlah ramai yang tertarik dengan versi cover beliau.
Lagu Bukan Lagi Kita memang popular dan sohor kini kerana menjadi runut bunyi untuk drama yang sedang popular, “Curang Tanpa Niat”.
Malah, lagu ini juga semakin mendapat perhatian setelah lagu ini turut di’cover’ oleh Biduanita Negara Dato Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Bukan Lagi Kita bakal bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung pada 16 Februari 2025 di TV3.
Tahniah kepada Halim kerana menyampaikan lagu ini dengan ‘vibes’ tergamaknya sedap! Nak tonton lagu cover Bukan Lagi Kita oleh Halim Ahmad? Layari akaun Tiktok Halim disini: @halim.ahmad