Gambar Faisal AF6 ketika mula-mula dimasukkan ke wad.
Pembedahan Faisal AF6 yang menghidap penyakit tumor otak ditangguhkan. Faisal AF6 dijadualkan menjalani pembedahan membuang tumor otak pada jam 9 pagi ini. Namun, atas nasihat doktor pakar yang merawat beliau, pembedahan Faisal akan ditangguhkan pada hari Rabu, 15 Jun 2011.
Perkara ini disahkan oleh bapa Faisal sendiri, Encik Abdullah, ketika dihubungi oleh pihak Munsyeed{dot}com.
Semalam, pihak Munsyeed{dot}com menyertai penulis lirik terkenal, Mohd Radzi Sulaiman atau lebih mesra disapa Ito Lara dan kumpulan Munsyideen menziarahi Faisal AF6 di Hospital Sg Buluh. Faisal telah dimasukkan ke wad setelah beliau disahkan mengidap penyakit tumor otak oleh doktor.
Faisal yang sebelum itu mengadu sakit mata dan sakit kepala telah mengalami muntah-muntah setiap kali beliau mengadap komputer, televisyen mahupun ketika menaiki kenderaan. Bimbang mengenai kesihatan Faisal, keluarganya memilih untuk membawa Faisal ke pusat kesihatan di Ijok sebelum dipindahkan ke Hospital Sg Buluh untuk rawatan lanjut.
Untuk rekod, Faisal AF6 memulakan perjalanan seninya dengan menyertai kumpulan nasyid Munsyideen dibawah bimbingan Ito Lara dan kumpulan Far East. Melihatkan potensi yang besar pada Faisal, beliau telah diserapkan ke dalam kumpulan Far East tidak lama selepas itu. Pada 2008, Faisal memilih untuk keluar dari kumpulan Far East dan menyertai program realiti tv, Akademi Fantasia untuk menimba ilmu vokal.
Faisal AF6 bersama Ito Lara (berkopiah hitam dan bercermin mata) dan kumpulan Munsyideen
Ketika ditemui, Faisal kelihatan begitu bersemangat dan ceria apabila meerima kunjungan daripada sahabat handai beliau dari SMK Padang Tembak, Kuala Lumpur. Beliau juga terharu apabila menerima lawatan dari sifunya, Ito Lara serta rakan-rakan dari kumpulan Munsyideen. Beliau juga memohon maaf kepada semua rakan artis, media dan sahabat handai atas ketidak upayaan beliau untuk menghubungi semua pihak bagi memberitahu mengenai penyakit yang dihidapinya.
Dalam perkembangan lain, rata-rata artis, selebriti serta peminat melahirkan rasa terkejut dan simpati mereka apabila mendapat tahu penyakit yang dihidapi oleh Faisal. Antara selebriti dan blogger terkenal yang Tweet berita mengenai penyakit yang dihidapi Faisal adalah pengacara terkenal Aznil Hj Nawawi, Aizat Amdan (AF), Suffian Saujana, Hafiz Hamidun, Azlan Ex-Unic, senior journalist dari The Malay Mail, Joe Lee (Klubbkiddkl) dan ramai lagi.
Pihak Munsyeed mendoakan semoga Faisal AF6 terus tabah dan cekal menghadapi ujian. Sesungguhnya, disebalik ujian itu ada hikmah dan ibrah yang perlu kita ambil. Yang paling penting, disaat Faisal diuji dengan penyakit ini, masih ramai kenalan Faisal, rakan artis mahupun peminat yang prihatin dengan apa yang berlaku pada Faisal dan nilai persahabatan ini cukup bererti buat Faisal! -MUNSYEED.COM