PUTRAJAYA – PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) berjaya mengutip zakat berjumlah RM1.03 bilion bagi tahun 2023.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata kutipan meningkat 11 peratus berbanding 2022 iaitu sebanyak RM937 juta.
“Zakat Pendapatan menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM702 juta bersamaan 68 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala kedua tertinggi adalah Zakat Perniagaan sebanyak RM165 juta bersamaan 16 peratus daripada kutipan keseluruhan.
“Baki 16 peratus adalah Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Zakat Fitrah, Qadha dan lain-lain,” katanya pada sidang media hari ini.
Hadir sama, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman Pengerusi PPZ-MAIWP dan Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Jumlah pembayar zakat turut meningkat sebanyak satu peratus iaitu lebih 1.85 juta berbanding lebih 1.83 juta pada pada 2022.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran umat Islam untuk menunaikan zakat, PPZ-MAIWP melaksanakan strategi pemasaran dan promosi berterusan sekali gus dapat menggandakan kutipan dan penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan.
Pada 2023 PPZ-MAIWP berjaya mengutip Wakaf Tunai berjumlah RM6.64 juta dengan kenaikan 162 peratus berbanding 2022 sebanyak RM2.53 juta dengan jumlah pembayar seramai 14,635 orang. Daripada jumlah itu RM4.5 juta adalah melalui kutipan Wakaf Khas selebihnya RM2.1 juta melalui kutipan WakafAm.
Tahun 2024 PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat dan wakaf tunai berjumlah RM1,115 billion dengan jumlah pembayar 1.935 juta orang.
Bermula Januari 2024, MAIWP turut menaikkan kadar bantuan zakat barangan keperluan asasi golongan asnaf kepada RM300 daripada RM150 sebelumnya, yang diagihkan menerusi aplikasi dompet elektronik (e-wallet).
Sumber: MAIWP