Categories: BeritaTempatan

Program Ilmu, Konsert dan Drama Menarik – Sambut Tahun Baru Versi TV AlHijrah!

Jika anda ingat hujung tahun cuma tentang countdown dan bunga api, TV AlHijrah ada kejutan lain: penutup 2025 yang sarat jiwa dengan gabungan hiburan, zikir, ilmu dan karya eksklusif yang bukan sahaja memukau mata, tetapi menyentuh hati.

Menutup tirai siaran 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan, stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam ini tampil dengan kandungan yang lebih matang, berani meneroka program baharu pelbagai format, selain terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam yang memikul amanah pendidikan dan pencerahan buat rakyat Malaysia, kali ini, dengan pendekatan yang lebih segar, relevan dan dekat di hati penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, stesen itu mencatat perkembangan positif sepanjang tahun 2025, sekali gus membuktikan kandungan Islamik berkualiti sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Penerimaan kukuh terhadap kandungan digital dan televisyen, serta kejayaan mempelbagaikan genre dan gaya penyiaran, menjadi antara faktor yang mengukuhkan capaian dakwah TV AlHijrah kepada penonton pelbagai lapisan.

Sebagai tanda penghargaan dan “buah tangan” buat penonton setia, TV AlHijrah mempersembahkan lima program berimpak besar khas untuk tontonan umum di penghujung 2025, daripada acara lapangan berskala mega di PICC, sehinggalah hiburan santai dan telefilem eksklusif di platform digital.

Konsert Malam Hijrah Bergema: gabungan nasyid, zikir & semangat hijrah di ambang 2026

Paling mencuri tumpuan, Konsert Malam Hijrah Bergema bakal berlangsung 31 Disember 2025 (Rabu), jam 9.00 malam di Putrajaya International Convention Centre (PICC)—sebagai konsert ambang tahun baharu yang menyatukan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah.

Konsert ini menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, serta kumpulan Munsyid Muda melibatkan Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath dan Andika. Lebih istimewa, acara ini turut menampilkan nama legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash, menjadikan malam tersebut bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah “pertemuan generasi” yang menghidupkan seni dalam acuan dakwah.

“Konsert ini adalah usaha istimewa… sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Malaysia serta membuktikan dakwah boleh disampaikan dengan penuh seni, jiwa dan kemuliaan nilai,” katanya.

Tambahnya lagi, konsert tersebut disifatkan sebagai santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika melangkah menuju tahun baharu.

Bagi mengemudi acara, gandingan dua hos berpengalaman Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad bakal menjadi taruhan untuk mengangkat mutu persembahan, manakala IKIMfm turut hadir sebagai Rakan Penyiar Radio. TV AlHijrah turut merakamkan penghargaan kepada IKIMfm serta Munsyid Malaysia atas kesudian berkolaborasi bagi memastikan konsert ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Sehari sebelum konsert: Konvensyen Assalamualaikum & Bengkel Solat di PICC

Selain hiburan, TV AlHijrah turut menekankan pengisian ilmu melalui Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang dianjurkan di PICC sehari lebih awal, iaitu pada 30 Disember 2025 (Selasa), jam 10.00 pagi – 12.00 tengah hari.

Pada sebelah petang pula, dari jam 2.00 petang – 4.00 petang, akan diadakan Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Menurut Namanzee, konvensyen ini dianjurkan dalam skala besar dengan penyertaan lebih 800 peserta berdaftar, selain menampilkan tokoh tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

“TV AlHijrah hadiahkan Konsert Malam Hijrah Bergema dan Konvensyen Assalamualaikum buat penonton di lapangan, sebagai warkah penghargaan kepada setiap jiwa yang bersama kami menempuh perjalanan dakwah penuh harapan dan cahaya,” jelasnya.

Anugerah Carta 114 Musim Ketiga: siaran langsung 27 Disember

Bagi penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC, TV AlHijrah turut menyediakan hidangan istimewa di kaca televisyen menerusi Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga.

“Anugerah Carta 114 Musim Ketiga” akan disiarkan secara langsung pada 27 Disember 2025 (Sabtu), jam 9.00 malam sebagai sebuah pengiktirafan yang meraikan karya muzik Islamik serta ketuhanan terbaik pilihan penonton sepanjang tahun. Menurut Namanzee, penganjuran ini bukan sahaja memartabatkan bakat para pemuzik nasyid, malah memperkukuh industri seni berteraskan dakwah.

“Tenang Sekejap” & 5 telefilem terbaik Disember eksklusif di AlHijrah Plus (AH+)

Dalam masa sama, TV AlHijrah turut meraikan penonton digital dengan membawa program dan telefilem khas eksklusif di aplikasi AlHijrah Plus (AH+).

Antaranya ialah program “Tenang Sekejap”, sebuah program gaya hidup Islamik yang mengetengahkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi mereka yang ringan, santai, tetapi tetap penuh makna. Untuk edisi ini, penonton akan ditemani barisan nama seperti Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Nadira Johari, Nabilah Aliah, Beto Khusyairi dan Ustazah Asni Mansor.

Selain itu, lima telefilem terbaik yang disiar eksklusif di AH+ ialah:
1. Surat Dari Syurga
2. Menantu Datuk Nikah Kahwin
3. Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan
4. 30 Juzuk Terakhir
5. Tanda Kiriman Tuhan

Penglibatan pelakon hebat seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, PU Rozi, Nasuha Sulaiman, Syafie Naswip, Datuk Fauziah Nawi, Vanida Imran dan ramai lagi, menjadi bukti bahawa mesej dakwah boleh disampaikan melalui visual yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.

2026: AlHijrah mahu jadi “gerakan masyarakat”, bukan sekadar stesen TV

Melangkah ke 2026, Namanzee menegaskan TV AlHijrah bertekad untuk memperluas capaian, memperhebat kandungan digital, serta kembali aktif di lapangan.

“Tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk menjadikan AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah, dan menyantuni kehidupan melalui penyiaran yang benar-benar membawa perubahan,” katanya.

Antara perancangan utama termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan awam, serta penganjuran Karnival Hijrah 2026 yang bakal membuka lembaran baharu hubungan fizikal antara TV AlHijrah dan masyarakat.

Dengan penuh syukur dan optimisme, TV AlHijrah menutup tirai 2025 dengan semangat baharu mengajak penonton untuk terus menyertai perjalanan dakwah, hiburan dan ilmu yang lebih luas pada tahun hadapan melalui pelbagai inisiatif stesen.

Husaini Hussein

Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.

Recent Posts

Wangian Tular Sampai ‘Sold Out’! Inteam & Earth Home Products Kini Jalin Kerjasama Rasmi

Siapa sangka, “aura” yang dirasai peminat ketika Konsert Kasih Kekasih Inteam (Ulang Tahun ke-25) pada…

10 hours ago

“The Sami Yusuf Circle” – Ruang Eksklusif Untuk Peminat Ke Dunia Kreatif Sami Yusuf

Komposer dan penyanyi terkenal, Sami Yusuf, baru-baru ini mengumumkan pelancaran The Sami Yusuf Circle -…

2 days ago

Cinta Ini – Naufal Azrin Buat ‘Come Back’ Demi Peminat

Selepas lebih dua tahun tidak muncul dengan karya solo, penyanyi berbakat besar Naufal Azrin akhirnya…

4 days ago

“Ramai yang terperangkap dalam cinta toksik, tekanan mendapatkan validasi di media sosial…” – One Path

Kumpulan nasyid One Path tampil dengan karya terbaharu apabila melancarkan single berjudul “KECEWA”, ciptaan Ustaz…

5 days ago

Projek Bangkit – Siapa Usahawan Asnaf Yang Bakal Dinobatkan Sebagai Juara?

Projek Bangkit kini melangkah ke pentas akhir apabila episod terakhir iaitu episod 8 bakal disiarkan…

2 weeks ago

“Bangga lihat Kumpulan Aeydan mampu pimpin jemaah umrah…” – Rabbani Terharu Aeydan Jadi Mutawif Muda The Mahabbah

Kumpulan nasyid Aeydan membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni dan dakwah mereka apabila kini bergelar…

2 months ago