“Ramadan tanpa Faiq…” – INVO Kuatkan Semangat Untuk Terus Bernasyid
INVO
Kumpulan nasyid INVO tampil dengan buah tangan terbaru mereka, iaitu versi ‘cover’ lagu Ramadan Tajalla, sebagai penyemarak semangat dalam menghadapi bulan Ramadan.
Lebih daripada sekadar karya biasa, lagu ini hadir dengan makna mendalam bagi mereka, mengenang pemergian sahabat seperjuangan, Allahyarham Muhammad Faiq Asri, yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2024 akibat penyakit kanser darah tahap akhir dan leukemia.
INVO yang kini dianggotai oleh Mohammad Nasrullah Alahdad dan Mohammad Faiz Safwan Bin Abdul Kadir turut menampilkan Ahmad ‘Ateef’, sebagai penampilan istimewa.
Menurut mereka, projek ini bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat Ramadan, tetapi juga sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang terhadap sahabat yang telah pergi.
“Kami ingin menghadiahkan karya ini sebagai kenangan dan penghormatan kepada arwah. Ramadan kali ini pastinya berbeza, tetapi semangat dan kenangan bersamanya akan terus hidup dalam perjuangan kami,” kata Nasrullah.
Persahabatan yang Lebih Daripada Sekadar di Pentas
Sejak menamatkan pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, pada 2017, tiga sahabat ini aktif dalam dunia nasyid dan pernah mengeluarkan single Setulus di bawah seliaan Bazli UNIC.
Namun, pada akhir 2022, Allahyarham Muhammad Faiq diuji dengan penyakit yang berat, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 2024.
Pemergian beliau memberikan kesan mendalam kepada INVO kerana hubungan mereka bukan sekadar rakan seperjuangan di atas pentas, tetapi juga sahabat dunia akhirat.
Ramadan 2025 menyaksikan INVO berdua meneruskan perjuangan seni, dengan kerinduan yang diterjemahkan menerusi Ramadan Tajalla.
Dengan susunan muzik asal oleh Muhammad Ridwan – Mtrian (RL Studio), lagu ini diharap dapat menyentuh hati para pendengar dan menjadi peringatan akan kasih sayang serta persahabatan yang kekal hingga ke syurga.
“InsyaAllah, kami akan teruskan perjuangan dakwah ini. Mohon doa dari semua,” tambah mereka.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah Muhammad Faiq Asri dan menempatkannya di syurga Firdaus. Al-Fatihah.
Husaini Hussein
Seorang yang positif kepada pembaharuan, komited dengan kerja dan aktif dalam kerja-kerja amal kemasyarakatan.