Nampaknya isu Konsert Sami Yusuf yang terpaksa ditunda ke satu tarikh yang lain tidak menunjukkan sebarang petanda bakal reda. Baik media arus perdana mahupun media baharu semakin rancak membicarakan isu konsert Sami Yusuf ini.
Sebelum ini kami memilih untuk ‘tidak terlalu mengulas’ isu ini memandangkan ia boleh dijernihkan antara kedua-dua belah pihak. Namun, apabila semakin banyak ‘khabar-khabar angin’ dan percanggahan fakta yang timbul daripada kedua belah pihak, maka kami memilih untuk menyiarkan semua berita dan kenyataan yang kami perolehi daripada kedua belah pihak untuk dinilai sendiri oleh para pembaca.
Sebagai media yang menghormati prinsip keadilan dan menjunjung tinggi hak untuk mendapatkan kebenaran serta kesaksamaan, kami akan menyiarkan berita dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak bagi menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku dan ruang-ruang ini kami sediakan khas untuk para pembaca menilai sendiri dan mengadili dengan telus.
Untuk siaran berita ini, kami siarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Sami Yusuf, ETM International melalui wakil rasmi mereka, Arteffects International.
SIARAN AKHBAR
ETM INTERNATIONAL
(Menerusi Arteffects International)
Penjelasan Pembatalan Konsert Salaam Sami Yusuf di Stadium Malawati
Berikutan laporan kurang tepat di media tempatan baru-baru ini, syarikat pengurusan Sami Yusuf, ETM International (ETM), ingin menyatakan kepada para peminat Sami Yusuf di Malaysia sebab sebenar tentang pembatalan konsert di Stadium Malawati pada minggu lalu.
Sebelum meninggalkan Malaysia, pihak ETM terlebih dahulu mengarahkan pihak peguam mereka untuk memberikan notis kepada OEP; pihak penganjur yang bertapak di Singapura, berkaitan beberapa perkara yang telah melanggar kontrak persembahan Sami di Malaysia.
Pihak OEP telah gagal untuk bertindak balas kepada pihak peguam.
Apabila Sami tiba di Kuala Lumpur, secara jelas pihak OEP tidak menangani isu tersebut.
OEP telah secara jelas tidak menghormati tanggungjawab mereka.
Rasa hormat yang tidak ditunjukkan kepada krew Sami, mungkin boleh ditahan tetapi tidak kepada kegagalan OEP untuk mempromosi konsert secukup-cukupnya, dan menyediakan kempen secara komprehensif di media seperti yang dituntut di dalam kontrak.
Kurangnya kesedaran awam tentang konsert ini telah mendorong kami untuk (1) menawarkan konsert ini dienjak ke suatu tarikh yang lain supaya sebuah pasukan promosi yang baru berpeluang untuk mempromosikan semula konsert di Stadium Malawati, dengan sepenuh sokongan kepada Sami Yusuf, dan (2) menawarkan untuk mengaturkan pakej pampasan kepada peminat yang telah membeli tiket persembahan. OEP telah menolak kesemua pilihan-pilihan tersebut.
Jadi, walaupun Sami Yusuf tidak sabar-sabar meneruskan persembahan dan sangat teruja membuat persembahan untuk peminatnya di Malaysia, percanggahan dan masalah dengan OEP menyebabkan ETM tidak mempunyai sebarang pilihan lain, tetapi membatalkan persembahan.
Liza Palana dari ETM berkata “Sedihnya ia telah membuktikan bahawa adalah mustahil untuk diteruskan disebabkan isu kontrak yang bercanggah.”
Sami Yusuf berkata, “Saya sangat sedih kerana tidak dapat membuat persembahan kepada saudara saudari di Malaysia. Saya telah menunggu peluang untuk bersama dengan mereka selama hampir 8 tahun. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu kehadiran melalui persembahan saya dengan cara yang tidak professional – saya telahpun berusaha keras untuk menjadualkan semula persembahan di Malaysia pada masa akan datang. Saya mahu peminat saya dapat menikmati dan merasai pengalaman konsert Sami Yusuf dengan cara yang sepatutnya. Saya berusaha untuk menjadikan ia kenyataan dalam masa terdekat.
Sami akan kembali ke Kuala Lumpur tidak lama lagi untuk mempromosikan album terbarunya SALAAM yang bakal dikeluarkan melalui Arteffects International (Arteffects).
Prebiu material terbitan terbaru ini akan berada di www.SamiYusufOfficial.comdalam beberapa hari lagi.
Arteffects sedang merancang untuk menganjurkan showcase eksklusif Sami Yusuf bersempena dengan pelancaran album SALAAM. Kepada yang berminat untuk menghadiri showcase tersebut, sila ikuti twitter @ArteffectsInt dan @SamiYusuf untuk pengumuman selanjutnya.
Kami akan berusaha menghubungi pihak penganjur OEP untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada mereka pula. Segala berita yang diterima, akan kami siarkan secara adil dan telus untuk penilaian anda semua.
Setiap Artis ada satu persembahan besar yang mendefinisikan siapa mereka.Tengoklah konsert-konsert besar artis tempatan yang berderet diadakan sejak setahun dua ni. Ella, KRU, M. Nasir. Semuanya sold out dan menjadi bualan pmerhati muzik tanah air. Viral, tak boleh move on, tu yang diperkatakan
Dan untuk Inteam, Ahad ini di Axiata Arena, ia adalah segala-galanya. Kali ini lebih besar daripada konsert tahun lepas di Idea Live Damansara. Rasanya, konsert solo artis nasyid terbesar yang pernah dianjurkan di tanah Air.
Dalam satu pengakuan yang cukup jujur dan menyentuh hati, anggota kumpulan Inteam, Hazamin tidak berselindung tentang magnitud acara ini. Bagi mereka, Konsert Nur Kasih bukan sekadar satu lagi show dalam kalendar tahunan.
“Ini boleh jadi kemuncak kepada kejayaan dan karier kami,” akui Hazamin.
Kata-kata itu berat. Ia membawa makna bahawa selepas 25 tahun mengemudi bahtera nasyid, Ahad ini adalah puncak kepada apa yang telah mereka bina selama ini. “Kami sebelum ini tidak pernah bermimpi sebegitu. Jadi tak salah kalau kita katakan ini boleh jadi konsert terbesar kami, mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini,” tambahnya.
Darah, Keringat & Air Mata
Bagi kami di Munsyeed yang mengenali susuk kumpulan Nasyid ini secara peribadi lebih 20 tahun, kami melihat sendiri dengan mata kepala kami saat jatuh bangun mereka. Bermula dari duduk dibawah Hijjaz Records, kemudian bertatih sendiri dengan Inteam Records Sdn Bhd.
Mereka membina empayar mereka sendiri. Segala apa yang difikir boleh jalan, mereka redah sahaja. Dari penerbitan album, mengasah bakat-bakat baru, hingga ke penjualan buku dan produk-produk lain. Semua mereka dah lalui
Untuk sampai ke kemuncak show berskala besar, apatah lagi di venue prestij Axiata ini, laluan yang mereka daki untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Inteam telah berjalan melalui lurah dan jurang. Naik turun adalah benda biasa bagi Inteam.
Orang luar hanya nampak kilauan lampu pentas, tetapi Hazamin tampil membuka cerita tentang “fasa gelap” yang hampir menamatkan riwayat kumpulan ini.
“Detik paling rapuh? Ketika tonggak utama, Syahril jatuh sakit. Inteam ibarat hilang separuh nyawa”Tanpa berselindung Hazamin meluahkan apa yang terbuku di hati. “Alhamdulillah, kembimbangan tu beransur bila kami lihat perkembangan kesihatannya semakin baik lepas tu”
Namun, skrip Allah SWT itu cantik—kepedihan itu menjadi asbab kembalinya Hisyam, melengkapkan semula kepingan puzzle Inteam. Dan mereka dah tak menoleh kebelakang lagi dah.
Satu lagi fasa yang memeritkan apabila mereka terpaksa berdepan dengan zaman peralihan produk fizikal seperti CD dan kaset kepada dunia digital. Penggunaan Youtube, gejala ‘download’ dan kemunculan platform streaming benar-benar memberi tamparan hebat buat mereka.
“Bayangkan, empayar perniagaan kami yang selama ini bertunjangkan penjualan CD dan kaset tiba-tiba ‘lumpuh’. Aset menjadi liabiliti. Stok fizikal menimbun, tetapi pendengar sudah beralih ke alam maya.”
Hazamin menyifatkan fasa ini sebagai satu ‘kegawatan ekonomi yang teruk’—satu frasa sopan untuk menggambarkan detik nyawa-nyawa ikan bagi sesebuah syarikat rakaman.
Secara lebih terperinci, tempoh ini menyaksikan kemerosotan mendadak dalam jualan fizikal, yang sebelum ini merupakan tunjang pendapatan utama syarikat rakaman. Cetak rompak digital yang berleluasa dan peralihan pengguna kepada platform perkongsian fail secara percuma telah melumpuhkan model perniagaan tradisional.
Ramai gergasi muzik tanah air tumbang dan gulung tikar di era transisi ini kerana gagal beradaptasi. Tetapi Inteam enggan menjadi ‘dinosaur’ yang pupus ditelan zaman. Mereka bangkit, belajar ‘berenang’ dalam gelombang teknologi baru, dan menyusun semula strategi.
Pertaruhan Segala-galanya
Bila kami tanya tentang konsert ini 25 Tahun Nur Kasih yang akan diadakan pada Ahad ini, tersimpan satu pertaruhan yang menggusarkan.
Cabaran utama konsert ialah mencapai sasaran jualan tiket dan sambutan tinggi, memandangkan kos penganjuran yang biasanya tinggi, kebanyakannya dibiayai modal sendiri dengan sedikit geran kerajaan. Oleh itu, strategi pemasaran, pengiklanan, dan kesedaran awam penting untuk memastikan konsert diketahui dan disokong melalui pembelian tiket.
“Ketika kami didekati oleh Iman Tang dari Icon Entertainment, sebuah nama yang tidak asing lagi dan dihormati dalam industri penganjuran acara di Malaysia, kami merasakan satu gelombang emosi yang bercampur-campur—rasa dihargai, diberi penghormatan yang tinggi, dan satu kesedaran baharu tentang potensi muzik nasyid”Kata Hazamin
Penglibatan ini merupakan bukti jelas bahawa genre nasyid bukan sahaja relevan, malah berhak mendapat tempat di pentas acara berprestij dan berskala besar.
Pendekatan strategik daripada tokoh seperti Iman Tang dan syarikat seperti Icon Entertainment telah membuka ruang signifikan untuk seni nasyid menembusi arus perdana. Sokongan padu peminat mengesahkan bahawa mesej nasyid bukan sahaja memberi impak yang besar tetapi juga amat dinantikan oleh khalayak yang lebih luas.
Hazamin menjelaskan, “Oleh itu, kami amat menghargai dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Iman Tang dan seluruh pasukan Icon Entertainment. Kepercayaan mereka dalam membenarkan Inteam merealisasikan Konsert Nur Kasih ini melambangkan lebih daripada sekadar sebuah projek; ia adalah pengiktirafan penting terhadap genre nasyid. Sokongan padu ini telah membolehkan hasrat kami untuk mengangkat nasyid ke peringkat yang lebih tinggi menjadi kenyataan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran acara nasyid di masa depan. Kerjasama ini merupakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier kami.”
Pengiktirafan Gergasi & Legasi Masa Depan
Tetapi, adakah ini penamat Inteam? Tidak. Amin menegaskan selepas tirai di Axiata berlabuh, fokus mereka akan berevolusi—ke arah penerbitan, pencarian pelapis baru, dan misi antarabangsa.
Mereka mahu melihat pelapis baru bangkit, menjadi mainstream seperti era emas 1996-2000. Mereka mahu mewariskan legasi ini.
Namun untuk malam Ahad ini, ia adalah tentang Inteam. Ia adalah tentang meraikan puncak perjalanan suku abad mereka.
Seperti kata Amin: “Mungkin tiada lagi yang lebih besar dari ini.”
Jika anda mengaku peminat nasyid, anda wajib berada di sana. Kerana sejarah bakal tercipta.
Debaran kian terasa apabila penganjur Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, Icon Entertainment secara rasmi mengumumkan senarai lagu penuh yang bakal dipersembahkan oleh kumpulan Inteam dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari 2026.
Lebih mengujakan, konsert ulang tahun ke-25 ini turut menampilkan barisan artis jemputan yang cukup istimewa merentas generasi, termasuk maestro muzik Datuk M.Nasir, Nazrey Johani, dan Zizi Kirana, sekali gus memberi bayangan malam penuh kejutan, nostalgia dan momen sing-along yang tak mudah dilupakan.
Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihidangkan dengan deretan karya ikonik yang membina perjalanan Inteam selama lebih dua dekad. Antara lagu yang tersenarai ialah Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga dan lain-lain lagi.
Dengan gabungan set list yang sarat emosi dan tetamu jemputan yang pelbagai warna, Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih jelas bukan sekadar sebuah persembahan biasa tetapi sebuah “pertemuan semula” peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup ramai orang. Titik pertemuan inilah yang akan menyatukan seluruh peminat Inteam di malam konsert tersebut.
Setiap lagu yang akan dipersembahkan bukan hanya lontaran vokal semata-mata, sebaliknya ia dinyanyikan bersama memori kenangan yang akan turut bermain di minda penonton pada malam tersebut. Mungkin akan ada penonton yang terbayang momen sewaktu di zaman universiti, terkenang aktiviti gotong royong asrama di zaman sekolah dan tidak kurang juga memori sesi muhasabah program motivasi yang menggunakan lagu Damba Kasih dan lain-lain.
Kini, persoalannya tinggal satu: lagu mana yang paling anda tunggu untuk dinyanyikan beramai-ramai di Axiata Arena nanti?
Malam Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam bukan sahaja meriah dengan seleksi lagu yang dipertandingkan, malah ia menarik perhatian ramai pihak apabila artis solo versatil Hafiz Hamidun bergandingan dengan ikon dikir barat, Halim Yazid, menerusi lagu “Zikir Dikir.”
Keunikan “Zikir Dikir” terletak pada identitinya yang berani iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir dalam satu karya yang segar, mudah meresap dan dekat dengan jiwa.
Zikir Dikir adalah sebuah karya unik yang terhasil dari dua insan ikonik; Hafiz Hamidun dan Halim Yazid.
Di pentas ACI’25, gandingan Hafiz dan Halim terasa tepat pada tempatnya. Hafiz sememangnya dikenali sebagai penyanyi solo nasyid yang sinonim dengan rangkaian karya zikir dan terapi jiwa termasuk siri album “Zikir Terapi.” Manakala Halim Yazid pula sudah lama menjadi nama besar dalam Dikir Barat, dan kekal diingati ramai menerusi lagu malar segar “Anok Tupai.”
Persembahan mereka malam itu tampil bersahaja tetapi magis seolah-olah mengajak penonton “masuk” bersama getar zikir dan rentak dikir yang bersatu. Malah, dalam media sosial, ramai yang membuat hantaran gambar dan video menggambarkan suasana penonton yang sama-sama mengalun zikir ketika lagu itu dipersembahkan.
Lebih menarik, “Zikir Dikir” di ACI’25 turut diperkemaskan dengan susunan muzik yang segar menerusi iringan pemuzik orkestra dari Fakulti Muzik UiTM Shah Alam, menjadikan persembahan terasa lebih grand tanpa menghilangkan roh tradisi yang dibawa Halim.
“Zikir Dikir” bukan sekadar satu lagu, ia menjadi simbol bagaimana nasyid boleh terus berevolusi: menghormati tradisi, namun tetap berani mencipta ruang baharu. Pada malam Anugerah Carta IKIMfm 2025, gabungan dua ikon ini membuktikan bila nasyid dan dikir dipertemukan dengan niat yang benar, hasilnya boleh jadi satu momen yang ikonik yang akan terus diingati.
Walau pun lagu ini tidak berjaya memenangi mana-mana kategori yang dipertandingkan, tetapi persembahan ikonik ini akan terus tersemat dalam ingatan dan terpahat dalam sejarah industri nasyid itu sendiri.