Baru-baru ini Munsyeed{Dot}Com sempat berbual dengan anggota kumpulan nasyid popular, Saujana melalui laman chat Facebook. Niat dihati ingin mencungkil sedikit demi sedikit rahsia album terbaru Saujana yang dikatakan bakal terbit pada tahun ini. Tetapi, malangnya sehingga di akhir perbualan, satu info pun kami gagal dapat mengenai album terbaru Saujana.
Kalau diperhatikan, kumpulan Saujana memang terkenal dengan sifat suka berahsia mengenai album terbaru mereka sejak di awal kemunculan lagi. Ketika ditanya wartawan, Saujana akan lebih selesa memilih untuk berahsia dan berbicara mengenai perkara lain. Bak kata pepatah, diam-diam ubi berisi. Tup-tup terus dapat undangan ke majlis pelancaran album sahaja!
Pun begitu, Saujana yang dianggotai oleh Suffian, Azalinor, Wan Najran, Adi (sedang bercuti dari Saujana) dan Hafiz (ahli baru) tidak meninggalkan kami dengan tangan kosong. Mereka mengirimkan sebuah gambar terbaru Saujana khas untuk tatapan pembaca Munsyeed{Dot}Com.
Gambar yang dikongsikan oleh Saujana untuk tatapan pembaca Munsyeed{Dot}Com
Melihat gambar ini, kami tertanya-tanya di dalam hati, adakah ini imej terbaru Saujana untuk album terbaru mereka? Umum mengetahui bahawa Saujana merupakan antara kumpulan nasyid terawal yang menggunakan imej santai bernasyid tanpa kopiah. Walaupun tampil berbeza pada ketika itu, imej Saujana tidak sedikit pun janggal di mata peminat malah diterima baik oleh para peminat dan penggiat industri nasyid tanahair.
Dengan gambar terbaru ini, Saujana seakan-akan membuka ruang untuk peminat terus berteka-teki mengenai konsep album terbaru mereka yang dijangka akan terbit pada tahun ini.
Saujana. Dari kiri: Azalinor, Adi, Suffian, Wan Najran dan Hafiz.
Ditambah pula dengan kemasukan ahli baru; Mohd Hafiz Abdul Rahman yang mempunyai vokal mantap dan kebolehan bertaranum, gandingan harmoni kumpulan Saujana pasti akan berbeza berbanding dalam lagu-lagu sebelum ini.
Adakah Saujana akan muncul dengan lagu-lagu bertaranum? Atau Saujana akan mengekalkan konsep seperti sebelum ini dan akan menggunakan keunikan vokal Hafiz pada lagu-lagu tertentu? Jawapannya hanya ada pada Saujana!
Sebelum mengakhiri perbualan, Saujana ada memberitahu yang pada tahun ini, ada seorang artis nasyid akan menjemput Munsyeed{Dot}Com untuk makan nasi minyak! Siapakah artis nasyid tersebut? Pasti ramai yang tersenyum! Apa pun, nantikan pengumuman daripada tuan punya badan sendiri.
-Munsyeed{Dot}Com
p/s: Memetik kata Azalinor Saujana, “Jangan meramal!” 🙂